Tuesday, June 30, 2009

Thursday, June 25, 2009

Tayar, butang dan Michael Jackson.


Alhamdulillah, Anas tak demam lagi, cuma suaranya berubah sikit kerana selesema ringan. Dia aktif macam biasa. Tapi, hari ni aku tak benarkan dia ke sekolah supaya dia dapat berehat di rumah. Tak tahulah dia berehat atau tidak di rumah. Entah-entah.... ligat bermain dengan 'baby'.
Pagi tadi aku bangun awal untuk menguli adunan donat yang Anas minta malam tadi. Ingatkan nak bangun tengah malam, tapi letihlah pulak dan terus tertidur. Nasib baik bangun cepat sikit dan aku terus sediakan bahan yang ada. Sementara mandi dan solat Subuh, sempatlah adunan tu kembang nanti. Selepas aku pakai tudung, terus aku ke dapur. Alhamdulillah, adunan dah kembang. Aku tunjukkan pembantuku cara menerapnya. Anas kata nak donat 'tayar' dan donat 'butang'. Sebenarnya aku yang beri nama tu supaya mudah dan seronok anak-anak menikmatinya. Kalau kita menerap donat dengan menggunakan pencetak yang dijual di pasaran, akan terbentuklah gelungan donat dan bulatan kecil di tengahnya. Maka terhasillah donat 'tayar' dan 'butang'. InsyaAllah, akan seronoklah nanti Anas dan 'baby' makan nanti. Kakak dan Abang bawa nasi goreng aje ke sekolah hari ni. Aku pulak, makan di kantin ajelah...
Oh, ya! Michael Jackson meninggal dunia hari ni. Sibuk betul murid-muridku tentang peristiwa tersebut.
Aku katakan kepada mereka,
"Kita pun akan mati juga kerana semua yang hidup begitulah fitrahnya. Semakin lama kita hidup, semakin dekatlah kita dengan hari kematian yang ditentukan oleh Tuhan. Mungkin bila balik sekolah nanti, cikgu 'accident'. Bila-bila masa pun kita boleh mati dan kita mesti sentiasa bersedia".
Ya, Allah! Semoga aku mati dalam iman. Amin.

Wednesday, June 24, 2009

Peribahasa Tingkatan 4 dan Tingkatan 5

Salam sayang murid-muridku.
Dalam membantu murid-murid dalam mengenal pasti peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, yang berikut disenaraikan peribahasa tersebut dengan muka suratnya sekali:

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. (m/s 10) (SPM 2004)
Dengan adanya kerjasama dalam masyarakat, keadaan masyarakat itu akan menjadi kuat dan sebarang pekerjaan dapat dilaksanakan dengan mudah.

2. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (m/s 10 & 166) (SPM 2004)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.

3. Darah daging. (m/s 10)
Anak yang ada pertalian darah dengan ibu atau bapanya. Adat atau sesuatu kelaziman pada sesuatu kaum ataupun seseorang.

4. Seperti lembu dicucuk hidung. (m/s 166)
Orang bodoh yang mengikut perintah sahaja.

5. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. (m/s 166)
Generasi pelapis yang akan memikul tanggungjawab terhadap negara pada masa depan dan masing-masing mempunyai peranan yang sama penting.

6. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. (m/s 166)
Seimbang dari segi kedudukan dan sama tarafnya.

7. Jika melentur buluh biarlah dari rebungnya. (m/s 174 & 176)
Jika hendak mendidik anak hendaklah bermula sejak kecil lagi.

8. Tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. (m/s 174)
Hajat atau harapan yang begitu besar.

9. Genggam bara api biar sampai jadi arang. (m/s 174)
Apabila melakukan sesuatu pekerjaan, hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan diusahakan sehingga berjaya.

10. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. (m/s 174)
Sesuatu keputusan bergantung pada diri sendiri untuk melakukannya.

11. Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. (m/s 234)
Sesuatu yang sentiasa dikenang atau diingati dan sukar untuk dilupakan.


Di samping itu, peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu tingkatan 5 pula ialah:

1. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (m/s 3)
Setiap keinginan tentu ada cara untuk mencapainya.

2. Lintah darat. (m/s 15)
Peminjam wang yang mengenakan faedah yang tinggi pada peminjam.

3. Jauh perjalanan luas pengalaman. (m/s 80)
4. Banyak berjalan luas pengalaman. (m/s 252)
Semakin banyak pengalaman baru yang diperoleh jika kita pergi ke tempat orang.

5. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. (m/s 91 & 116) (SPM 2004)
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.

6. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama

7. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. (m/s 15 & 98)
Jika ada perpaduan, rakyat akan menjadi kuat, dan kalau berpecah belah, negara akan hancur.

8. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. (m/s 98)
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.

9. Seperti kacang lupakan kulit. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007)
Orang yang tidak tahu mengenang budi.

10. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.

11. Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. (m/s 99)
Perlu mengikut adat dan kepercayaan tempat kita berada pada masa itu.

12.Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. (m/s 99)
Walau di mana sekalipun kita berada, kita hendaklah mengikut cara hidup masyarakat di mana kita menetap kerana setiap masyarakat mempunyai adat resam serta cara hidup mereka yang tertentu.

13. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. (m/s 99)
Orang yang bermuafakat akan tetap setia antara satu dengan yang lain (jika seorang mendapat kesusahan, yang lain turut sama merasakannya.

14. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.
(m/s 114, 115, 116 & 216)
Seseorang itu perlu berusaha untuk memperoleh sesuatu.

15. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. (m/s 114)
Kalaulah kita hendakkan sesuatu kejayaan atau kesenangan, kita hendaklah sanggup menempuh kesusahan dan juga bekerja dengan cara yang bersungguh-sungguh.

16. Rajin dan usaha tangga kejayaan. (m/s 114)
Kejayaan akan dicapai jika disertai dengan usaha dan kerajinan.

17. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. (m/s 115)
Sikap berjimat-cermat akan membolehkan seseorang itu menjadi kaya-raya.

18. Bak cendawan tumbuh selepas hujan. (m/s 115)
Sesuatu perkara yang terlalu banyak pada satu-satu masa.

19. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. (m/s 116) (SPM Ulangan 2007)
Bersusah payah terlebih dahulu supaya dapat mengecap kesenangan pada masa akan datang..

20. Sediakan payung sebelum hujan. (m/s 189)
Hendaklah bersiap sedia dan beringat-ingat sebelum mendapat kesusahan.

21. Memerah otak. (m/s 115)
Memikirkan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh.

22. Genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. (m/s 215)
Melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

23. Bagai aur dengan tebing. (m/s 115)
Saling membantu antara satu sama lain.

24. Mencari jalan. (m/s 115)
Mencari ikhtiar untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

25. Biar mati anak, jangan mati adat. (m/s 179 & 265)
Sikap menghormati dan sayangkan adat tradisi itu lebih daripada menghormati dan menyayangi anak sendiri.

Murid-murid juga boleh merujuk kamus peribahasa untuk meluaskan tahap penguasaan peribahasa seterusnya melihat contoh penggunaannya yang tepat. Jangan lupa biasakan diri dengan latihan berbentuk peribahasa. Cikgu dalam proses mengemas kini peribahasa yang sering digunakan dalam peperiksaan SPM. Sekiranya cikgu ada maklumat terkini, pasti cikgu akan kongsi bersama. Selamat maju jaya.

Penanda Wacana dalam Penulisan Karangan

PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

· Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
· Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
· Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
· Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
· Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
· Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan
· Hal ini penting dalam
· Hal ini serupa dengan
· Hal yang serupa berlaku apabila
· Ini disebabkan
· Ini membuktikan bahawa
· Ini menggambarkan bahawa
· Ini secara tidak langsung akan
· Ini semua meninggalkan kesan kerana
· Ini tentu sekali membuatkan
· Jadi kita perlu
· Jadi kita hendaklah
· Keadaan ini tentunya
· Lantaran itu sehingga kini
· Kesemua ini menyumbang kepada
· Kita mengakui hakikat bahawa
· Kita sering menonton di kaca televisyen
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar
· Memandangkan keadaan yang sedemikian
· Namun sejak kebelakangan ini
· Oleh itu, bolehlah dikatakan
· Secara logiknya masa yang
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
· Keadaan ini seharusnya boleh
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
· Kendatipun demikian, kita masih
· Yang paling nyata ialah
· Yang perlu kita pastikan ialah

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH

· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

Sila gunakan yang bersesuaian dan cuba yang terbaik.

Orang baru.

Assalamualaikum. Pembantu baruku sudah mula bertugas sejak 23 Jun 2009 petang setelah pembantuku yang lama pulang ke kampungnya. Berdebar-debar jugak rasa hati. Itulah perasaan yang kuhadapi setiap kali mendapat pembantu rumah yang baru. Kalau nak diikutkan hati, memang tak nak gunakan khidmat pembantu tetapi disebabkan banyak tugasan dan kekangan waktu, khidmat pembantu rumah amat diperlukan. Yang aku boleh buat, bertawakal dan berdoa. Jadi, setiap kali lepas solat, nama pembantu rumahku pasti akan kusebut agar dia menjalankan tugasnya dengan ikhlas, jujur dan amanah. Apa tidaknya, aku bekerja, suami pula sibuk sentiasa, hanya dia yang ada di rumah menguruskan urusan anak-anak dan makan minum mereka.
Memang risau tak terkata dan aku sering mengingatkan pembantuku yang Allah maha melihat segala-galanya. Kalau aku dan suami tak nampak, Tuhan pasti nampak dan setiap tindak tanduk kita akan diadili di Padang Mahsyar. Nampak macam senang, tapi dalam hati hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Monday, June 22, 2009

Selamat datang, Kak Farah!


Salam. Diam tak diam sudah seminggu semester baru persekolahan bermula. Macam-macam cerita ada. Yang paling hot sudah tentu virus H1N1 yang dah hampir merebak ke seluruh negara. Setakat yang aku tahu, sudah 51 kes dikesan oleh Kementerian Kesihatan. Aku dan rakan-rakan pun naik 'seriau' jugak sebab sekolah-sekolah yang berdekatan pun mula dijangkiti. Apatah lagi SMK Damansara Utama yang merupakan jiran terdekat sekolahku turut mempunyai kes tersebut. Sebuah kelas telah ditutup untuk seminggu. Kalau nak fikir, macam tak logik pulak cuma sekelas ditutup. Bukankah murid tersebut berinteraksi dengan rakan-rakan semasa di kantin, padang, dan di mana-mana sahaja kawasan sekolah. Camne pulak dengan guru-guru yang masuk ke kelas murid tersebut untuk melaksanakan tugas mengajar? Hish... hish... hish.. poning kopalo den dibueknyo. Tapi, aku pasti Kementerian yang berkenaan tahu apa yang mereka buat demi kesejahteraan rakyat.

Hal yang paling penting hari ni ialah ketibaan Kak Farahnaz yang comel ke sekolah selepas 6 hari berehat di rumah. Tapi, Kak Farah bukannya terkena virus H1N1. Kak Farah yang sangat berdedikasi terkena air panas sewaktu nak menyediakan air mandian untuk puteranya yang seorang tu. Begitulah kasihnya seorang ibu terhadap anak. Tiada galang gantinya. Kak Farah yang menjadi Pengerusi Kelab Guru terus menjadi perhatian aku dan rakan-rakan untuk mengetahui hal yang berlaku. Apalagi, Kak Farah pun tunjukkan kesan air panas pada kakinya. Ya, Allah! Besar jugak kesannya dan Kak Farah berjalan dengan berhati-hati, tak macam lipas kudung lagi. 'Steadylah, Kak Farah!'. Semoga Kak Farah cepat sembuh dan terus ceria serta terus berkhidmat untuk kami semua.

Oh, ya. Pengarah Pelajaran Selangor datang ke sekolah aku semalam. Alhamdulillah, semuanya bisa diatur dan teratur. Wassalam.

Sunday, June 21, 2009

3 dalam 1


Salam. Dua hari lepas aku mendapat khabar gembira tentang anak saudaraku yang berjaya menempatkan diri di Universiti Malaya. Bunga-bunga kegembiraan dapat aku bayangkan daripada riak suara abangku, Abang Ajis yang sedang berkursus di Ampang. Maklumlah, anak sulung dapat masuk 'u'. Hari Ahad, 28 Jun 2009 pendaftaran akan berlangsung.

Aku menelefon kakak iparku, Kak Jun di Johor untuk meminta bantuannya memberitahu emak supaya duduk bersamaku dalam seminggu dua untuk memantau pembantu baruku nanti. Abangku ada memberitahu bahawa emak mahu datang ke rumahku sekaligus menghantar cucunya mendaftar di UM. Lega sikit hatiku kalau emak dapat tinggal bersama. Kalau ada orang tua, lain sikit. Bolehlah emak aku memerhati dan menasihati apa yang patut. Aku yang pergi pagi dan balik petang sudah tentu akan terlepas pandang kelakuan pembantuku di rumah nanti.

Apabila aku memberitahu suamiku, dia pun tumpang gembira. "Nampaknya kita bertiga satu tempat belajarlah". Aha, betul jugak tu. Aku kursus Sarjana, suamiku kursus Ph.D, dan anak saudaraku kursus Sarjana Muda. 3 dalam 1. Semoga kami akan terus cekal menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar. InsyaAllah.

Thursday, June 18, 2009

Konflik remaja


Azmira, Gwen dan Siti Fatimah sibuk berlatih untuk PLBS. Mereka membincangkan 'Cara-cara menangani konflik remaja'. Tapi Gwen kata 'not really sibuk'. Seronok melihat mereka berlatih bersama dan ketawa pada benda yang tak sepatutnya ditertawakan. Dulu aku pun macam tu jugak. Akulah murid yang paling suka membuli cikgu dan buat cikgu tak tahu nak kata apa. Hiperaktif dan tak tahu duduk diam. Terima kasih kepada murid-murid yang sedia membantu guru. Yang penting, mereka tak de konflik.

Hidup ini suatu perjuangan

Salam dan terima kasih kepada sesiapa juga yang sudi mengunjungi ruangan ini. Sebenarnya di kala ini aku amat keletihan. Macam-macam yang menyebabkan aku sebegini. Maklumlah, akulah ibu, akulah guru, akulah isteri dan akulah... dan akulah...
Sebenarnya Hari Sukan Sekolah baru sahaja berlalu semalam. Bukannya buat apa sangat. Tapi terik matahari yang membakar amat terasa sampai ke saat ini. Itu baru terik matahari di dunia. Cuba fikirkan tentang terik matahari di akhirat. Aduss. Tak tercapai dek akalku yang dangkal ini. Aku juga sedang sibuk menyiapkan laporan PBS yang akan dipantau oleh pemantau pada bila-bila masa. Ditambah pula dengan masalah pembantu rumahku yang mula buat hal. Hei, pening dan terus pening kepala dibuatnya. Alhamdulillah aku masih ada tempat untuk berkongsi masalah, siapa lagi kalau bukan si 'Dia' yang maha kuasa.
Kalau difikir-fikirkan semula nampaknya macam wanita sahajalah yang banyak bebannya dalam meneruskan kelangsungan hidup ini. Apa tidaknya, anak merengek ibulah yang memujuknya. Kalau suami merengek, isterilah yang melayannya. Tapi, kalau si ibu atau si isteri yang merengek... agak-agaknya akan adakah yang cuba mendodoikannya? Adil @ tak adil? Sebenarnya, walaupun wanita sering menyatakan kesanggupan untuk melaksanakan segala tugas yang dipertanggungjawabkan, memang musuh manusia akan sentiasa cuba menghasut agar perasaan tidak berpuas hati sentiasa bertahta. Oleh itu, kalaulah termuncul perasaan sebegitu, cepat-cepatlah beristighfar dan memohon kemaafan daripada Pencipta.
Aku berdoa agar segala penat lelah dan keletihan yang aku rasakan akan mendapat keredhaan daripadaNya. Semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk mengharungi segala dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Sememangnya hidup ini suatu perjuangan!

Tuesday, June 16, 2009

Belajar lagi...


Assalamualaikum. Hari ni aku belajar lagi sesuatu yang menarik daripada murid-murid tersayang. Mereka 'cute', comel, dan bijak-bijak belaka. Seronok bercakap dan berinteraksi dengan mereka. They are damn cool!! Murid-murid 4 Angsana mengajar aku tentang 'facebook'. Memang lama dah aku dengar, tapi tak tahu macam mana nak mula. Dengan bantuan anak-anak muridku, aku berjaya 'join in' walaupun masih 'blur' lagi. Terima kasih banyak-banyak, ye sayang. Jangan lupa belajar bersungguh-sungguh. Cikgu amat yakin kamu semua akan berjaya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Wassalam.

Monday, June 15, 2009

Belajar dan terus belajar.


Hari ini aku belajar sesuatu yang baru daripada murid-muridku. Terima kasih kepada murid-murid 4 Kempas yang sangat 'supportive'. Tak salah kita belajar daripada anak murid, cikgu pun bukannya tahu semua benda. Amanda, Nicholas dan Wae Hin membantu aku untuk membina ruang 'chat' dalam blog ini. Memang generasi muda amat terdedah dengan teknologi IT. Aku sempat melihat blog Horng Yi yang penuh dengan gambar-gambar wanita jelita 'alohaalohi'. Cantik betul nama blognya.

Perbincangan jawapan peperiksaan pertengahan tahun berjalan lancar. Alhamdulillah, semua murid berpuas hati dan tiada kesilapan dalam penandaan. Maklumlah, kadang-kadang cikgu pun buat silap juga. Apatah lagi kalau dah penat menanda kertas jawapan yang menimbun.

Esok dan lusa sukan sekolah akan berlangsung, jadi keadaan sekolah agak meriah kerana 'raptai' sedang berlangsung dan murid yang tidak terlibat masih belajar di dalam kelas macam biasa. Sukan tetap sukan dan sesi pembelajaran terus berlangsung seperti biasa. Hidup semangat DJian!

Alhamdulillah...murah rezeki.

Assalamualaikum. Rindu rasanya apabila teringakat Kak Ecah yang berada di Kelantan. Seorang guru yang 'cute', cekap dan bijak mengambil hati tetapi kadang-kadang 'lurus bendul' macam 'mr bean'. Semoga kak ecah sentiasa sihat dan gembira di kampung halamannya. Terima kasih kerana mengirimkan 20 amalan murah rezeki. Mudah-mudahan akan murahlah rezeki saya sekeluarga. Marilah kita amalkan bersama-sama.
20 amalan murah rezeki:
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadahAllah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfarIstighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosaIstighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapaDalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemahBerbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lainMenunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawatAda hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyakIbnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagiMenurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahimNabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwudukSeorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. BersedekahSedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat DhuhaAmalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17.. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentuZikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. BerdoaBerdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnyaSiapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. BertawakalDengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Semoga kita semua mendapat keredhaanNya. InsyaAllah. Amin ya rabbal 'alamin.

Amat, sangat, sungguh,.............. sekali.

Bahasa Melayu memang menarik dan unik. Seringkali wujud pertelingkahan pendapat tentang nahu yang agak memeningkan kepala para penutur yang bukan natif. Satu formula dalam penggunaan kata penguat yang boleh hadir di hadapan dan di belakang kata adjektif juga boleh mewujudkan konflik jika tidak didasari oleh fakta yang konkrit.

Perkataan AMAT, SANGAT dan SUNGGUH boleh menerima kata penguat belakang SEKALI dan keadaan ini boleh membentuk formula "ASS......SEKALI". Nampak lucu, bukan? Hal ini kerana 'ass' bermaksud 'punggung' dalam bahasa Inggeris. Selalunya, perkara lucu dan yang tak terfikir dek akal senang untuk diingat.
Cuba kita lihat contoh di bawah;
Siti amat cantik sekali.
Siti sangat cantik sekali.
Siti sungguh cantik sekali.

Ketiga-tiga ayat di atas adalah tepat. Cuba kita lihat contoh di bawah:
Siti paling cantik sekali.
Siti tercantik sekali.
Kedua-dua contoh di atas adalah salah kerana kata penguat 'paling' dan imbuhan'ter' telah menunjukkan darjah penghabisan dan kata penguat 'sekali' tidak perlu wujud bersama mereka.

Mudah, kan. Oleh itu, kalau ingat 'ass', ingat 'sekali'.

Seronoknya...TQ Dr. D.

Alhamdulillah, aku dapat CGPA 4.0 untuk semester yang lepas. Subjek 'Personality' dan 'Adolescence Psychology' memang menyeronokkan. Masih teringat di ruang mata akan raut wajah Dr. Diana Lea Baranovich yang runcing hidungnya. Menarik! dan memang aku tertarik!. Terlalu banyak yang boleh aku pelajari daripada cara pengajaran Doktor Amerika nan sorang ni. Lebih-lebih lagi aku mencabar diriku sendiri untuk mengikuti kelas yang dikendalikan dalam BI ni. Perbincangan dan semua tugasan dalam BI. Terima kasih kepada kak Farahnaz dan kak Shahlawati yang sentiasa sedia membantu. Luv u so much!

Subjek 'Personaliti' mengajar aku tentang diri sendiri. Siapa aku sebenarnya dan apa yang wujud dan terlahir dalam diri aku ini. Oh, ya... aku tak akan lupa tentang 'scrap book- An Untold Story' yang aku hasilkan. Ya, memang aku tak pernah menceritakannya kepada sesiapa. Lukisan yang lahir daripada hati, dan luahan perasaan yang luhur tanpa paksaan. Hebat! Subjek 'Psikologi Remaja' memang banyak membantu aku memahami dengan lebih mendalam tentang fikiran dan perwatakan remaja yang sememangnya murid-muridku terdiri daripada golongan ini. Atau yang lebih penting, aku akan menjadi ibu kepada remaja yang sudah tentu berbeza latar persekitarannya.

Memang Dr. Di seorang yang unik. Aku dan rakan-rakan akan duduk dalam bulatan ketika mendengar perkongsian ideanya. Dia tidak bersyarah, dia tidak membebel, dan jauh sekali memandang rendah kepada keupayaan mana-mana individu. Kami bebas mengutarakan pendapat walaupun seringkali bertentangan dengannya. Beliau sedia mendengar dan mungkin kerana itulah dia selayaknya menjadi seorang 'therapist' untuk insan yang memerlukan bantuannya. Aku pula tanpa segan silu menghadiahkan sepasang anting-anting dan kalung berwarna ungu - warna kegemarannya. Hadiah tersebut kuletakkan di dalam kotak berwarna ungu keemasan dan tertulis kata-kata "You inspire me to bring out the best in me". Sebenarnya aku tak suka memberi hadiah kepada 'lecturer' kerana takut disalah anggap sebagai 'pembodek' tapi... Dr. Di memang lain. Aha, semasa hari peperiksaan yang tak rasa macam periksa, beliau memakai anting-anting tersebut (memang beliau pandai menghargai agar orang lain rasa dihargai).

Walaupun beliau memberi idea dari sudut perspektif barat, itu bukanlah suatu halangan bagiku. Lautan ilmu ini begitu luas. Kalau sarjana barat sedia meneroka ilmu daripada sarjana Islam, mengapa tidak kita. Ambillah yang elok, dan pandai-pandailah menapis keruh yang ada. Akal dan fikiran telah Allah berikan kepada manusia untuk digunakan dengan penuh keinsafan. Semoga 'Queen Di' akan mendapat hidayah daripadaNya.

Jom ke sekolah!

15 Jun datang juga akhirnya! Hari pertama persekolahan selepas dua minggu bercuti. Bagi ibu bapa yang bekerja, sudah tentu sekarang mula rasa lega kerana anak-anak dah pergi sekolah dan tak perlu lagi risau mereka akan bermain permainan video di rumah atau asyik menghadap tv yang tak putus-putus dengan ceritera khas untuk anak-anak. Tak perlulah lagi bertegang urat dengan anak-anak yang bangun lambat atau tak payahlah lagi nak geram tak tentu pasal kerana rumah yang asyik bersepah walau dah sepuluh kali pusingan mengemasnya.

Aduhai, sekolah! Bagi seorang guru, rasanya semua macam tak puas bercuti. Hei, mana ada istilah cuti bagi seorang guru!. Apa tidaknya, masa cutilah kita dok pulun menanda kertas periksa awal tahun. Baik-baik sihat sejahtera, pasti pening kepala bila sekolah nak mula. Tentu murid-murid sibuk bertanya tentang kertas jawapan mereka. Wahai, murid-muridku sayang, cikgu pun nak bercuti juga. Jadi, faham-fahamlah ye. Lebih-lebih lagi bagi cikgu BM macam saya ni. Kadang-kadang naik berpinar juga biji mata membaca 'ayat-ayat cinta' yang dikarang oleh murid-murid yang tersayang.

Kata orang, 'hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran'. Orang putih kata 'no pain no gain'. Sememangnya hidup ini penuh dengan warna-warni dan kita bebas untuk mencorakkannya. Oleh itu, peranan ibu sebagai pembimbing dan pendidik janganlah sekali-kali dikesampingkan. Guru sebagai insan pembina bangsa, teruskanlah berjuang untuk melahirkan generasi yang cemerlang dan seimbang di dunia dan akhirat. Wassalam.