Sunday, July 19, 2009

Mencari keredhaanNya


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Lukisan Mata

Lidah bisa menjaja
omongan merdu bak perindu
tersusun indah laksana madah
memukau
menenang
mengetuk tangkai rasa.

Butir bicara lincah
melindung lara di jiwa
memendam sendu di kalbu
memeram duka di dada

Luahan lisan yang terserlah
tak mampu menongkah
rintihan rasa
pintalan syahdu
gelojak pilu
gegaran bara
yang terlukis di mata

Usah dibiar tautan gelora
mencengkam diri
Lurutkan naluri yang suci
Kembalikan fitrah diri
Bermohonlah pada Ilahi.

Saturday, July 18, 2009

Bulan mengambang

Bulan mengambang terang
Menyinari malam
Kudus dan tulus.

Dalam terang ada silau
Dalam sinar ada kemilau
Dalam kudus ada sendu
Dalam tulus ada pilu.

Bulan mula malu dipinggiri bintang
Lantas awan datang tanpa diundang
Menambah resah hati nan rawan.

Bulan tidak mampu bertahan
Sinar mentari yang dipinjam pasti menghilang
Namun,
Bulan tetap mengambang
Memenuhi tuntutan alam.

Pabila hati berbisik


Kadang kala, akan terdetik di dalam hati tentang matlamat dan misi diri dalam mengharungi duniawi ini. Timbul juga rasa lelah dalam memikirkan hal yang akan terjadi pada masa depan. Adakah aku mampu melaluinya? Adakah aku dapat mengatasi segala dugaan yang telah tersurat?
Mungkin segalanya hanya usikan nakal yang cuba menggugah pendirian diri. Yang penting dan hakiki ialah cuba yang terbaik dan berserah kepada Allah dalam merencana perjalanan diri.

Thursday, July 16, 2009

Kenapa....Kayu manis?

Assalamualaikum buat semua.
Seandainya anda semua sedar atau tidak, nama blog ini telah ditukar kepada 'Kayu Manis". Ada yang bertanya, "Kenapa tukar?", "Kenapa Kayu Manis?".
Sebenarnya, dua persoalan di atas acap kali aku terima sama ada daripada murid-muridku atau rakan-rakan yang sentiasa tidak jemu memberi sokongan dan dorongan.
Jawapannya: Aku menukar nama blog kerana 'mimpi'. Nampak macam tak logik. Tapi, tak tahulah. Pada suatu malam aku asyik termimpikan nama Kayu Manis terpampang di bahagian depan blogku. Apatah lagi dengan gangguan virus yang tidak senonoh dikaitkan dengan namaku. Lagipun, okey jugak nama Kayu Manis ni. Unik dan istimewa untuk seorang wanita sepertiku. Kayu manis sering digunakan sebagai perencah dalam masakan. Walaupun kayu, rasanya yang manis amat membantu dalam menambah keenakan setiap sajian. Tak boleh lebih, dan tak boleh kurang. Kalau terlebih, pasti pahit rasanya dan kalau kurang, sudah tentu ada sesuatu yang janggal pada deria rasa.
Begitulah juga dengan jiwaku sebagai wanita yang amat sensitif dan kadang kala tak terjangkau dek akal apa yang akan berlaku. Kadang-kadang sedih, gembira, dan tiba-tiba aje nak marah tak tentu pasal. Namun, iman dan sahabat yang memahami pasti mampu mengimbangi segala permasalahan diri. Wassalam.