Monday, October 19, 2009

FACEBOOK......penyambung ikatan mesra.


Salam buat semua. Dalam kehidupan ini, sering kali peristiwa yang tidak disangka berlaku secara tiba-tiba. Walaupun kita tidak merancang, tetapi Tuhan menentukan segalanya. Terima kasih kepada teknologi maya yang memungkinkan kita menerobos jauh ke dunia di sebelah sana tanpa perlu menghadirkan fizikal. Memang amat mengasyikkan dan amat menakjubkan teknologi siber masa kini.
FACEBOOK... satu nama yang tidak janggal pada zaman siber ini. Masing-masing bercerita tentangnya. Kadang kala ada yang menghabiskan masa berjam-jam untuk melayari laman ini dalam menyambung kembali ikatan yang mungkin longgar, reput atau mungkin yang sudah terputus. Siapakah yang akan menyangka untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan sepersekolahan semasa di bangku sekolah rendah, menengah, dan zaman darah muda di universiti. Segalanya mungkin melalui ruang sosial FB.
Alhamdulillah, kita dapat bertukar cerita, bertanya khabar dan berkongsi pengalaman hidup dengan rakan-rakan yang tentunya sudah berbeza tahap pemikirannya. Janganlah pula kita terikut-ikut perangai ketika di zaman persekolahan apabila bertemu semula rakan-rakan. Maklumlah...teringat semula waktu muda. Walau apapun keadaannya, diri sendiri dan rakan-rakan tidak seperti dahulu lagi. Pelbagai peristiwa hidup akan menjadikan diri lebih matang dalam menelusuri kehidupan. Gaya percakapan, pakaian dan mungkin cara hidup akan membawa kita jauh daripada rakan-rakan yang dulunya makan di kantin yang sama, tidur di 'dorm' yang sama atau menyalin kerja rumah daripada rakan yang sama.
Walau sehebat manapun teknologi yang dicipta, usahlah kita lupa mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi yang mengurniakan akal dan fikiran kepada manusia untuk mencipta FB. Subhanallah.