Wednesday, March 17, 2010

Latihan Cuti Sekolah - 3 BATAI

Perhatikan kata kerja yang terdapat dapat set soalan (A) dan (B) kemudian tentukan sama ada penggunaannya betul [ / ] atau salah [ x ]

SET A
(1) Nenek membekalkan Najwa pisang goreng. [ ]
(2) Nenek membekali pisang goreng kepada Najwa.[ ]
(3) Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman mati. [ ]
(4) Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah itu. [ ]
(5) Guru menghadiahkan Salima sebuah buku rujukan. [ ]
(6) Guru menghadiahi sebuah buku rujukan kepada Salima. [ ]
(7) Cikgu Zamilah mengajarkan kami mata pelajaran Matematik. [ ]
(8) Cikgu Zamilah mengajar mata pelajaran Matematik kepada kami. [ ]
(9) Saya memberi anak-anak yatim wang sebanyak RM5.00. [ ]
(10) Saya memberikan wang kepada anak-anak yatim sebanyak RM 5.00. [ ]

SET B
(1) Kakak membuatkan secawan kopi untuk ayah. [ ]
(2) Kakak membuat ayah secawan kopi. [ ]
(3) Ibu memasakkan ayah sup kambing. [ ]
(4) Ibu memasak sup kambing untuk ayat. [ ]
(5) Pelayan itu mengambilkan saya makanan. [ ]
(6) Pelayan itu mengambil makanan untuk saya. [ ]
(7) Reza menuliskan sepucuk surat untuk neneknya. [ ]
(8) Reza menulis neneknya sepucuk surat.[ ]
(9) Mereka akan membelikan kami cenderamata. [ ]
(10) Mereka akan membeli cenderamata untuk kami. [ ]
Selamat mencuba!



Tuesday, March 16, 2010

Latihan Cuti Sekolah - 3 BATAI DAN 3 NEMESU

Betulkan ejaan setiap perkataan di bawah:

1. kebanyakkan

2. berkerjasama

3. kadang-kala

4. penyalah gunaan

5. Disamping itu

6. kerosakkan

7. anti-merokok

8. serious

9. terguris

10. seringkali

11. biadap

12. television

13. penguatkuasa

14. dairi

15. barang kali

16. mengulangkaji

17. cermerlang

18. bersatu-padu

19. ibu-bapa

20. pasca kemerdekaan

Salin dalam Diari Sekolah dan kita akan bincangkan jawaban di dalam kelas. Selamat bercuti!


Sunday, March 7, 2010

Fokus SPM 2010 -Cerpen/Drama

Salam sejahtera untuk semua murid-murid yang tersayang. Untuk perhatian murid-murid yang akan mengambil peperiksaan SPM, hanya dua buah cerpen dan sebuah drama yang masih belum digunakan dalam peperiksaan SPM sejak KOMSAS diperkenalkan pada tahun 2001. Cerpen dan drama tersebut ialah :

1. Cerpen LAMBAIAN MALAR HIJAU
2. Cerpen ANNYSS SOPHILLEA
3. Drama SERUNAI MALAM.

Seperti tahun yang sudah, pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada tahun ini.

1. LPM akan menggunakan semua teks yang pernah digunakan.

2. LPM menggunakan semua teks yang belum pernah digunakan.

3. LPM menggabungkan antara teks yang pernah digunakan dan tidak pernah digunakan.

PERHATIAN :

1. Teks asal KOMSAS yang mula digunakan pada tahun 2001 akan digunakan untuk kali terakhir pada peperiksaan SPM (N) 2010 atau SPM Jun (2011).

2. Mulai peperiksaan SPM (N) 2011, teks baru akan mula digunakan.

Pelajar harus memberi tumpuan yang lebih kepada ketiga-tiga teks yang belum digunakan disamping mengulangkaji teks yang pernah digunakan.
Teruskan mengulang kaji.

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian akhir)

“Terima kasih MerahJambu kerana membantu saya dalam menghadapi masalah yang saya hadapi. Saya berasa lebih bersemangat untuk belajar. Masalah keluarga, saya jadikan cabaran untuk lebih berjaya. Mama saya nampaknya dah okey. Baba kami biarkan untuk dia mencari kebahagiaan yang dicarinya. Saya pasti dia akan kembali kepada kami.
Daripada: MerahSaga”
Lega rasanya dapat meluahkan rasa terima kasih kepada MerahJambu yang tidak pernah jemu membalas segala coretannya. Hati Ai Ling semakin girang apabila mendengar khabar yang sememangnya telah dinantikan sekian lama sejak hatinya terpaut dengan merahjambu.blogspot.com.
“Makluman kepada semua yang sudi melayari ruangan maya yang tidak seberapa ini, saya amat berbesar hati sekiranya kita dapat bersua muka pada 16 Mei ini di Kedai Buku Bistari, Pusat Beli Belah OneUtama Petaling Jaya pada pukul 4 petang bersempena pelancaran buku motivasi terbaru saya ‘Generasi Cemerlang’. Semoga ikatan mesra antara kita akan berpanjangan.
Catatan oleh: MerahJambu”
“Kita pergi OneUtama Jumaat ni, ye!” kata Nusrah ketika dia dan Ai Ling sedang berjalan pulang dari sekolah. Keseronokan yang dirasainya ingin sekali dikongsi bersama dengan sahabat baiknya.
“Aku letihlah. Pagi tu aku kena in-charge sukaneka sempena Hari Guru. Engkau tak ingat, ke?” Ai Ling cuba menyembunyikan debarannya ketika Nusrah mengajukan cadangan yang sememangnya sudah terpahat di mindanya.
“Bukannya letih sangat pun. Kita sempat berehat lepas sekolah. 3.30 petang kita bertolaklah dari rumah. Sempat lagi. Takkan kita nak lepaskan peluang berjumpa dengan penulis blog yang hebat ni?” Nusrah betul-betul tidak berpuas hati dengan jawapan Ai Ling. Kadang kala dia sendiri bingung dengan sikap Ai Ling yang sukar dimengerti. Namun, dia bersyukur kerana nampaknya Ai Ling sudah dapat menerima masalah keluarganya.
“Baiklah, aku boleh pergi tapi aku tak nak naik teksi,” tegas sekali jawab Ai Ling.
“No problem, tuan puteri! Ummi aku mesti sedia hantar punya!” Wajah keceriaan jelas terpancar di wajah Nusrah. Bukannya Ai Ling tidak tahu bahawa Ummi Nusrah tidak pernah menghampakan permintaan anak gadisnya. Sering kali Ummi Nusrah menghantar mereka ke destinasi yang ingin mereka pergi. Katakan sahaja sama ada KLCC, Perpustakaan Negara, mahupun Taman Tasik Titiwangsa, sudah tentu Ummi Nusrah yang berkaca mata itu akan dengan rela hati menghantar dan menjemput mereka. Semuanya demi memastikan keselamatan kedua-dua gadis remaja itu.
Akhirnya, mereka tiba juga di Pusat Beli Belah OneUtama yang cukup sinonim dengan Petaling Jaya. Bangunan yang terletak berhampiran Sri Pentas Bandar Utama itu tidak pernah sunyi dengan kunjungan orang ramai. Jam di tangan Nusrah sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Mereka lewat bertolak kerana menunggu Ummi Nusrah yang menghadiri mesyuarat di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Namun, Ai Ling kelihatan tenang saja. Bergegas mereka menaiki lif ke tingkat 3 untuk ke Kedai Buku Bistari yang berada bersebelahan restoran makanan segera KFC.
“Alamak, dah penuh dengan oranglah, macamana nak masuk ni?” rungut Nusrah sendirian tetapi masih dapat didengar oleh Ai Ling. Tertinjau-tinjau kepalanya untuk melihat ke dalam kedai kerana orang ramai sudah mengerumuni meja utama.
“Tak pelah, kita tunggu orang reda sikit. Lepas tu, kita jumpalah si merah jambu tu. Tentu senang kita nak kenal sebab pasti dia pakai baju merah jambu, kan?” cadang Ai Ling memecah kebuntuan. Sebenarnya, hatinya berdegup kencang kerana dia sendiri tidak sabar untuk menemui insan yang banyak memberi nasihat dan perangsang kepadanya. Namun, segalanya cuba disimpul rapi agar tidak ketahuan oleh sahabatnya yang bertudung sutera merah jambu. Ayu sungguh dilihatnya.
Nusrah dan Ai Ling dapat melihat dengan jelas kepuasan yang tergambar pada wajah-wajah yang beransur keluar dari kedai buku itu. Mana tidaknya, dapat bertemu dengan penulis blog terkenal merangkap penulis buku motivasi yang hebat diperkatakan. Apatah lagi mendapat tandatangannya secara eksklusif dan sudah tentu tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.
Debaran gembira tidak dapat Ai Ling sembunyikan lagi apabila mereka melangkah ke meja yang dikelilingi oleh beberapa orang remaja dan dewasa. Namun, kaki Ai Ling seakan tidak mampu melangkah lagi apabila melihat si dia yang sedang sibuk menandatangani buku baharu bertajuk ‘Generasi Cemerlang’ dan sesekali melemparkan senyuman kepada permintaan untuk merakamkan gambarnya. Ai Ling memandang Nusrah tanpa sepatah kata. Nusrah membalas bicara mata Ai Ling dengan mengenyitkan matanya yang bundar itu. Ai Ling keliru tapi dia tetap membisu. Fikirannya hanya tertumpu kepada insan yang kelihatan anggun dan penuh karisma itu.
“Selamat Hari Guru, si MerahJambu,” pantas meluru keluar ungkapan itu dari bibir Nusrah yang melebar dengan senyuman.
“MerahJambu yang berbaju ungu,” tiba pula giliran Ai Ling melafazkan kata tanpa sedar. Segalanya sudah ditentukan Tuhan. Nusrah dan Ai Ling menjabat tangan MerahJambu dengan mesra seperti hari-hari sebelumnya.

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 7)

“Apa kata engkau beritahu pada Cikgu Naemah? Aku rasa dia mesti ada idea.” Nusrah cuba memberi cadangan kepada Ai Ling yang jelas kesedihan.
“Minta maaf ajelah. Aku takkan beritahu sesiapa pun tentang hal ini. Aku tahulah nak uruskan macam mana. Apa yang Cikgu Naemah tahu? Kalau masalah bahasa, bolehlah dia jawab. Sekarang ni masalah keluarga. Diapun tak kahwin lagi!” ucap Ai Ling seakan-akan kata penamat untuk Nusrah yang terkebil-kebil di hadapannya. Sebenarnya Ai Ling tidak mahu menyusahkan Cikgu Naemah yang suka benar berbaju ungu ke sekolah itu. Ketaksubannya kepada warna ungu terserlah apabila kereta Perodua MyVi yang dipandunya juga berwarna ungu. Ada yang mengatakan bahawa orang yang menggemari warna ungu merupakan seorang yang penuh misteri dan perahsia. Ai Ling tidak akan membiarkan Cikgu Naemah membongkar rahsia hidupnya.
“Kak Yam terlibat tak dalam sambutan Hari Guru tahun ni?” Cikgu Naemah mengajukan soalan kepada Cikgu Mariyam yang sedang menghirup teh tarik yang agak panas.
“Ada. Kak Yam kan suka menyibuk. Walaupun Kak Yam tak masuk dalam jawatan kuasa, Kak Yam menyerah diri untuk baca sajak semasa perhimpunan Hari Guru minggu depan,” jawab Kak Yam. Sempat pula dia mengenyit mata kepada Cikgu Naemah yang pada pandanganya merupakan guru muda yang rajin dan suka membantu itu.
Cikgu Naemah tersenyum manis melihat gelagat Cikgu Mariyam.
“Wah, hebatlah Kak Yam beraksi nanti! Kak Yam baca sajak Sasterawan Negara yang mana satu?” Naemah cuba mencungkil berita.
“Apa pulak nak baca Sasterawan Negara punya sajak? Kak Yam baca sajak yang Kak Yam ciptalah. Lebih penghayatan!” Cikgu Mariyam menyambung kata sambil memegang sudu yang dipegang seolah-olah mikrofon.
Maka, pecahlah derai tawa guru-guru yang sedang menjamu selera di ruang makan guru melihat telatah Cikgu Mariyam yang tidak pernah kering idea memeriahkan suasana. Mungkin kerana sikap kelakarnya itulah murid-murid amat menyenanginya. Pada setiap kali Hari Guru, meja Cikgu Mariam pasti penuh dengan hadiah yang pelbagai rupa dan bentuk. Cikgu-cikgu yang lain pun akan tumpang sama membelek dan membuka hadiah yang pastinya diikuti dengan gurauan yang mencuit hati. Terlupa sejenak keletihan dan perasaan sakit hati dengan kelakuan murid-murid yang menjengkelkan.
“Kak Yam kenal tak dengan Tan Ai Ling murid 5 Angsana?” Pertanyaan Naemah yang tiba-tiba itu menarik perhatian Cikgu Mariam yang menyuap karipap ke mulutnya.
“Budak Cina yang macam Melayu, tu? Yang baik dengan Nusrah anak pensyarah UM, kan?” Cikgu Mariyam ingin mendapatkan kepastian. Cikgu Naemah mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kak Yam memang berkenan sangat dengan budak tu. Bersopan-santun, berbudi bahasa dan fasih betul berbahasa Melayu. Cara dia bercakap tu macam Melayu sejati. Kalah murid Melayu kita yang sebahagiannya tu bila bercakap macam orang putih yang tersesat kat Tanah Melayu,” Cikgu Mariyam menyambung kata-katanya.
Biarpun kata-kata Cikgu Mariyam seumpama berseloka, tetapi begitulah realiti generasi muda bandar yang terpaksa dihadapi oleh Cikgu Naemah. Bukan tidak pernah ditegur supaya berbahasa Melayu dengan teratur tetapi ada pula yang memperlekehkan nasihatnya. Agak sukar bagi dirinya untuk membiasakan diri dengan budaya masyarakat segi tiga emas itu pada mulanya. Serba-serbi mengejutkannya. Terasa kerdil benar dirinya apabila bercakap dengan murid-muridnya yang asyik berbahasa Inggeris walaupun ketika dia mengajar Bahasa Melayu. Bukannya dia tidak tahu berbahasa Inggeris, cuma dia tidak biasa berkomunikasi menggunakan bahasa antarabangsa itu. Terpaksalah dia membuat peraturan iaitu hanya bahasa Melayu yang boleh digunakan ketika dia berada di dalam kelas. Dia juga tidak akan melayan sebarang pertanyaan atau jawapan yang diajukannya jika menggunakan bahasa Inggeris.
“Teacher, it’s difficult for us to follow your regulation. We understand BM and we can score high mark in this subject. So, what for we speak BM in class?” begitu lantang suara Jason mengungkapkan kata-kata tersebut mewakili murid-murid lain yang tersenyum sinis ke arahnya. Ada juga yang menutup mulut untuk menyembunyikan tawa kecil mereka. Tidak kurang juga yang berbisik-bisik sesama sendiri.
“Saya tahu, kamu semua murid yang bijak pandai. Tetapi, kamu akan kelihatan lebih bijak apabila mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan nahu yang betul. Bahasa menunjukkan bangsa. Rugilah negara kita jika mempunyai generasi bijak pandai tetapi lupa untuk mendukung Perkara 152 Perlembagaan Negara Malaysia. Tidak mungkin rakyat asing akan memperkasakan bahasa kebangsaan negara kita. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan.” Panjang lebar Cikgu Naemah melontarkan hujahnya. Sejuk juga hatinya apabila melihat beberapa orang murid yang ada di hadapannya terangguk-angguk kepala tanda setuju dengan kata-kata yang disuarakan.
“Saya rasa Ai Ling tu ada masalah keluarga,” tujuan sebenar pertanyaannya terserlah juga.
Cikgu Mariyam mengangkat sedikit keningnya yang tebal itu dan memandang tepat ke anak mata Cikgu Naemah.
“Oh, ye ke? Macamana Naem tahu?” tiba pula giliran Cikgu Mariyam mencungkil maklumat.
“Sekarang ni dia selalu tak siapkan kerja rumah yang saya beri. Semasa tingkatan empat dulu tak macam ni. Di dalam kelas pun dia asyik termenung. Saya pasti sangat pasal hal ni sebab kawan baik dia yang beritahu.” Cikgu Naemah menuturkan bicara seakan berbisik agar hanya mereka sahaja yang mendengarnya.
“Naem berilah nasihat yang sesuai. Kak Yam rasa remaja sekarang ni penuh dengan masalah. Kecelaruan identitilah katakan. Mereka perlukan seseorang untuk mengadu masalah. Kalau ibu bapa tak dapat beri masa untuk mereka, kitalah insan yang paling sesuai untuk memberi panduan kepada mereka. Kak Yam yakin, Naem boleh handle perkara ni. Kalau tak, sia-sia ajelah ada Master dalam Psikologi Pendidikan!” kata Cikgu Mariyam sambil menepuk mesra bahu Cikgu Naemah yang duduk di sebelahnya.
Cikgu Naemah tersenyum penuh makna.

Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 6)

“Amacam? Okey tak blog yang aku beritahu dulu?” tanya Nusrah pada suatu hari ketika mereka berehat selepas mengikuti latihan rumah sukan. Angin sepoi-sepoi bahasa memberi sedikit kesegaran kepada mereka yang bermandi peluh. Tudung yang dipakai oleh Nusrah turut menari-nari dihembus angin petang itu.
“Boleh tahan,” ringkas jawab Ai Ling. Matanya melirik ke tengah padang memerhatikan sekumpulan murid yang sedang berlatih melontar peluru dengan pengawasan Cikgu Norlela.
“Aku suka baca nasihat MerahJambu kepada soalan-soalan yang diajukan. Simple tapi bernas.” Nusrah tidak mampu menyembunyikan rasa kagumnya kepada MerahJambu. Entah mengapa, dia terasa dekat dengan segala kata-kata motivasi dan dorongan yang disampaikan oleh MerahJambu.

“Emm...menarik jugalah,” bagai mahu tidak mahu saja Ai Ling menjawabnya. Sebenarnya, kata-kata yang ditulis oleh MerahJambu lewat malam semalam masih bermain-main di fikirannya.
“Orang yang gagal sering melihat masalah sebagai penghalang manakala orang yang berjaya sering melihat masalah sebagai peluang. Kita hendaklah bersedia menerima hukuman atau ganjaran atas segala perbuatan yang kita lakukan. Berani buat, berani tanggung.”
Catatan oleh : MerahJambu”
Ringkas tetapi menusuk ke kalbu. Begitulah yang dirasakan oleh Ai Ling pada saat dia menatap coretan MerahJambu. Mengapakah dia perlu berfikiran negatif terhadap ibu bapanya yang sibuk mencari rezeki menyara keluarga? Apakah perlunya dia menaruh prasangka kepada Cikgu Naemah yang mengarahkan dia stay-back di sekolah untuk menyiapkan kerja sekolah yang semakin culas dilaksanakannya? Semua persoalan yang berlegar-legar di fikirannya menuntut penjelasan yang hanya dirinya sendiri mampu memberi jawapan pasti.
“Aku rasa MerahJambu tu cikgulah. Cara dia membuat ulasan tentang sesuatu topik tu macam dia sendiri yang melaluinya. Beruntung betul murid-murid dia sebab dapat cikgu yang bermotivasi macam tu,” Nusrah masih tidak berhenti lagi memuji MerahJambu sekaligus menyentak lamunan Ai Ling yang menerawang jauh ke dalam jasadnya.
“Alah...semua orang boleh menulis macam tu. Bukannya susah nak mencipta dan menulis blog. Ikut saja arahan mencipta blog yang ada di internet. Melambak blog dengan macam-macam motif yang kita sendiri susah nak faham. Kadang-kadang tu kita tak tahu yang mana satu betul, dan yang mana satu salah,” seumpama bertih jagung keluar dari mulut Ai Ling yang mungil.
“Sebagai remaja yang berfikiran rasional, itulah tanggungjawab kita untuk memilih bahan mana yang sesuai untuk dibaca. Kalau rasa tak betul, janganlah baca maklumat yang diberi. Yang jadi masalahnya ialah ada remaja yang suka sangat melayari blog dan laman web yang tak berfaedah. Ada pulak yang berfacebook sampai jauh malam. Sampai kat sekolah mulalah mengantuk dan tak siapkan kerja sekolah,” tambah Nusrah lagi.
Nusrah melontarkan pendapatnya yang lahir terus dari hati.
“Ya, aku tahu. Aku dah buat silap. Janganlah menghukum aku sampai tak sudah. Pedih hati dan telinga aku,” Ai Ling menyuarakan rasa yang terpendam setelah seketika mendiamkan diri.
“Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya!” Nusrah masih mahu bermain kata tanpa menyedari linangan manik jernih mula membasahi pipi Ai Ling yang mulus itu.
“Hei, kenapa sensitif sangat ni? Aku bergurau ajelah!” Nusrah mula menggelabah apabila menyedari perubahan rakan baiknya itu. Tidak pernah Ai Ling terasa hati sebegitu selama dia mengenalinya. Biasanya, Ai Ling akan membalas semula kata-katanya atau paling tidak menampar pahanya sekuat hati.
“Engkau tahu yang aku tak bermaksud untuk menyakitkan hati engkau, kan?” Nusrah bersuara sambil menggenggam tangan Ai Ling yang bersandar pada batang pokok semarak yang rimbun daunnya itu.
Titisan jernih masih berlarian di permukaan wajah sahabatnya itu. Dia menduga bahawa Ai Ling sedang dilanda konflik yang tidak sempat dikongsi bersamanya lantaran kesibukannya mengulang kaji untuk peperiksaan.
“Maaf, Nusrah. Dah dekat setahun aku pendam perkara ni,” akhirnya Ai Ling memecah kebuntuan yang bermain di fikiran Nusrah. Debaran masih menderam di hatinya untuk menanti butiran seterusnya.
“Engkau tahu yang Mama dan Baba aku sibuk sangat sampai tak sempat nak bertanya khabar dengan aku. Itu semua aku boleh terima. Tapi, aku susah nak terima bila Baba aku beritahu dia ada perempuan lain,” Ai Ling membongkar rahsia hati yang selama ini disimpan daripada pengetahuan sahabatnya.
Nusrah terpaku seketika. Dia mati kata-kata. Sungguh tidak disangka yang sahabatnya itu menanggung bebanan perasaan yang maha hebat untuk remaja seperti mereka. Patutlah Ai Ling seperti tidak bersemangat tatkala mereka menjejakkan kaki ke tingkatan lima. Bersalah pula rasanya kerana tidak prihatin akan masalah yang terpaksa dipikul oleh Ai Ling.
“Engkau dah berbincang dengan mereka tentang hal ni?” ucap Nusrah dengan teragak-agak. Bimbang jika soalannya itu akan menyinggung perasaan sahabatnya.
“Sudah. Baba seorang yang gentleman. Tapi aku rasa tak bertempat. Baba beritahu kami semasa kami bercuti ke Pulau Pinang semasa cuti akhir tahun lepas. Aku tak tahu nak kata apa. Mama pula menangis dan asyik salahkan dirinya,” Ai Ling cuba menyusun ayat sebaik mungkin.
Tergambar jelas di fikirannya saat Baba memberitahunya dan Mama tentang hal tersebut. Ketika itu mereka bertiga sedang menaiki kereta kabel untuk ke puncak Penang Hill. Kebetulan hanya mereka bertiga di situ. Ironinya, Mama hanya diam memandang ke luar tingkap seolah-olah menyaksikan pemandangan dengan asyiknya. Tiada sebutir patah kata yang keluar daripada mulut Mamanya.
“Habis tu, engkau buat apa?” Nusrah seakan tidak sabar untuk mengetahui hal selanjutnya.
“Aku senyap ajelah, macam tak dengar apa-apa. Cuma aku kesal bila kami keluar dari kereta kabel, Baba kenalkan kami dengan perempuan tu yang memang menunggu kami di situ. Aku kecewa dengan sikap Baba,” getaran suara Ai Ling jelas kedengaran.
Pada saat ini, Ai Ling tidak mampu lagi menyeka air matanya. Nusrah juga terpana kerana tidak menyangka lelaki yang dipanggilnya sebagai ‘Uncle Tan’ sanggup melukakan hati dua wanita yang sangat dekat dalam hidupnya. Cepat-cepat Nusrah membuang tanggapan negatifnya.
“Usah mudah membuat kesimpulan seandainya kita tidak mempunyai cukup bukti untuk mengiakannya. Meranalah orang yang suka berfikiran negatif kerana mindanya akan terkongkong dengan keburukan yang sering difikirkan. Berfikirlah secara positif kerana jiwa yang bersangka baik akan berbahagia dan mindanya terbuka untuk menerima segala kekurangan seterusnya mencari jalan untuk mencipta kejayaan yang lebih hebat.
Catatan oleh: MerahJambu”

Tarikh lahir dan personaliti warna

Salam buat semua. Hidup ini penuh dengan warna. Bergantung kepada individu untuk memberi tafsiran warna mengikut kreativiti dan kemahuan masing-masing. Namun, seronok juga kalau kita boleh lihat kajian rambang yang telah dilakukan oleh pakar psikologi tentang perkaitan tarikh lahir dan personaliti warna kita.

23hb -1hb Disember
Merah

2hb-11hb Januari
Oren

12hb-24hb Januari
Kuning

25hb Januari - 3hb Februari
Merah jambu

4hb - 8hb Februari
Biru

9 hb - 18hb Februari
Hijau

19hb - 28hb Februari
Perang

1hb Februari- 10hb Mac
Aqua (Biru kehijauan)

11hb - 20hb Mac
Lime

21hb Mac
Hitam

22hb-31hb Mac
Ungu

1 hb- 10hb April
Biru

11hb - 20hb April
Perak

21hb- 30hb April
Putih

2 hb- 14hb Mei
Biru

15hb-24hb Mei
Emas

25 hb- 3hb Jun
Krim

4 hb- 13hb Jun
Kelabu

14 hb- 23hb Jun
Maroon

24hb Jun
Kelabu

25 hb- 4hb Julai
Merah

5 hb- 14hb Julai
Oren

15 hb- 25hb Julai
Kuning

26hb Julai - 4hb Ogos
Merah jambu

5 hingga 13hb Ogos
Biru

14 hb- 23hb Ogos
Hijau

24hb Ogos -2hb September
Perang

3 hb- 12hb September
Aqua (Biru kehijauan)

13 hb- 22hb September
Lime

23hb September
Olive

24hb September - 3hb Oktober
Ungu

4 hb-13hb Oktober
Biru

14 hb- 23hb Oktober
Perak

24hb Oktober- 11hb November
Putih

12 hb- 21hb November
Emas

22hb November- 1hb Disember
Krim

2 hb- 11hb Disember
Kelabu

12 hb- 21hb Disember
Maroon

22hb Disember
Teal Merah




Merah
Selalunya mereka yang mewakili warna merah yang garang ini seorang yang comel dan disayangi ramai. Kamu juga suka disayangi dan menyayangi. Kamu juga sentiasa ceria dan gembira namun kadangkala dilanda 'angin satu badan'! Teman/kekasih yang diingini ialah mereka yang mudah diajak berbincang dan boleh membuatkan dirinya rasa selesa bila berdampingan dengan mereka.

Krim
Ha! Kamu ini seorang yang suka bersaing dalam apa juga bidang yang kamu ceburi dan ingin berjaya. Tapi persaingan secara sihatlah. Kamu juga bersikap suka mendorong orang lain untuk mencapai apa yang diidamkan. Namun kamu cukup takut akan 'kehilangan' sama ada teman ataupun kekasih! Selain itu, sudah tentunya kamu seorang yang ceria selalu! Sebagai seorang kawan, kamu boleh dipercayai 100% dan setia pada janji. Dari segi percintaan, kamu amat berhati hati dalam menjalinkan hubungan cinta dan tak mudah jatuh cinta hingga kamu rasakan menemui seseorang yang benar benar kamu cintai! Ketika itu, kamu tak perlukan masa yang lama untuk melafazkan sayang!

Teal (warna kayu)
Bukan main lagi kamu ni yek! Tak kira lelaki ataupun perempuan, terlalu menitikberatkan soal kecantikan dan penampilan fizikal diri kamu. Kamu sering melakukan kesilapan dalam membuat keputusan lantaran sikap kamu yang suka sangat ambil mudah terhadap sesuatu masalah. Manakala dalam memilih pasangan, kamu bercitarasa cukup tinggi. Kamu tak akan pilih yang sebarangan saja! Kamu juga suka memerintah dan gemar orang lain menurut perintah kamu. Walau bagaimanapun, sikap kamu yang peramah membuatkan diri kamu
punya ramai teman.

Merah Jambu
Kamu akan berusaha sedaya mungkin untuk membuat yang terbaik dalam apa juga yang kamu lakukan serta suka menolong orang lain dan mengambil tahu tentang orang orang disekelilingnya. Namun kamu sukar untuk dipenuhi keinginannya dan sering saja berpra sangka buruk terhadap orang lain. Dari segi percintaan kamu mengimpikan percintaan yang penuh dengan keindahan semata.

Hijau
Salah satu kelebihan yang kamu miliki ialah cukup pandai menyesuaikan diri dengan orang yang baru di kenali. Mungkin kerana sikap kamu yang tidak begitu pemalu namun dalam tidak sedar kamu boleh membuatkan orang lain kecil hati dengan kata kata kamu saja! Kamu juga ingin diri kamu disayangi dan diberi perhatian penuh oleh kekasih hati. Namun selalunya mereka ini lebih rela maintain single hingga berjumpa dengan jejaka/gadis yang benar benar sesuai untuk dirinya!

Emas
Kamu seorang yang tahu apa yang kamu lakukan, yang mana betul dan silapnya. Kamu juga seorang yang mudah bergaul dengan sesiapa saja dan ceria serta tak suka bersedih biarpun pelbagai masalah yang menimpa. Dalam soal percintaan, kamu sukar berjumpa dengan orang benar benar kamu sukai tapi sekali kamu menemuinya pasti tidak akan kamu lepaskan begitu saja. Bila sekali gagal, sukar untuk kamu jatuh cinta lagi untuk kali yang seterusnya dalam tempoh yang lama.

Kuning
Kamu seorang yang manis, tenang dan sopan. Sebab itulah kamu dipercayai oleh orang orang yang ada di sekeliling kamu. Selain itu, kamu juga lebih suka menguasai dalam sesebuah perhubungan termasuklah soal cinta. Kembang semangkuk hidung bila tiap kehendak kamu dituruti oleh si dia! Kamu juga mampu membuat keputusan yang tepat kerana fikiran kamu yang jauh ke depan. Tapi, jangan tak tahu. Kamu ni jiwang karat juga orangnya. Sentiasa saja berminta hal hal yang romantik bersama si dia. Alahai!

Maroon
Bagi kamu yang mewakili warna maroon ini, kamu digambarkan seorang yang bijak dan tahu apa yang terbaik untuk diri kamu. Namun kamu juga suka melakukan sesuatu itu menurut kehendak dan pendapat kamu sendiri tanpa pedulikan perasaan atau pendapat orang lain. Itulah yang menjadi masalahnya! Dari segi percintaan, kamu cukup sabar dan tidak terburu-buru untuk menjalinkan percintaan. Kamu juga terkenal dengan sikap setia kamu dalam perhubungan!

Oren
Syabas! Kamu ini jenis orang yang berani menanggung segala risiko atas tiap perbuatan yang kamu lakukan. Baguslah macam tu. Kata orang, berani buat beranilah tanggung. Kamu juga bijak mengambil hati orang-orang disekeliling kamu dan ini membuatkan diri kamu disenangi ramai. Kamu punya matlamat tersendiri dalam hidup yang menjadi target kamu selama ini dan sanggup bersaing untuk berjaya. Menyentuh soal perhubungan, kamu sebenarnya seorang yang sukar untuk mempercayai orang lain tapi bila kepercayaan itu wujud, selamanya kamu akan percayakan dia! Begitu juga dalam perhubungan cinta. Bagi kamu, saling percaya itu amat penting!

Ungu
Amboi! Kamu ini gadis/jejaka misteri rupanya. Tak ramai orang yang dapat mendekati diri kamu kecuali orang yang benar-benar kamu percayai. Walaupun begitu, kamu tak pernah pentingkan diri sendiri dan agak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang baru bagi kamu. Mood memainkan peranan penting mempengaruhi kehidupan kamu seharian. Jika kamu rasa gembira, sudah tentunya hari itu menjadi hari yang paling ceria bagi diri kamu dan begitu juga sebaliknya. Dalam menjalinkan percintaan, kamu lebih cenderung untuk memilih mereka yang punya kedudukan dan agak stabil kewangan mereka.

Warna buah limau (Lime)
Sifat kamu yang tenang saja sepanjang masa amat dikagumi ramai. Tapi jangan tak tahu, kamu juga mudah rasa tertekan bila dilanda masalah. Selain itu, kamu boleh dikatakan agak cerewet juga kerana perkara-perkara kecil pun kamu amat prihatin! Pun begitu, kamu punya personaliti tersendiri yang membuatkan orang ramai menyukai diri kamu.

Perak
ternyata kamu ini seorang yang berimaginasi tinggi dan tak hairanlah kamu turut berbakat dalam bidang yang berkaitan dengan seni. Walaubagaimanapun kamu sebenarnya punya sifat pemalu yang agak menebal juga namun sikap kamu yang suka mencuba sesuatu yang baru mampu menstabilkan keadaan. Bukan apa, kamu suka mencabar diri kamu sendiri untuk melihat sejauhmana kebolehan diri. Dari segi perhubungan cinta, kamu lebih suka bersikap 'hard to get' untuk menduga keikhlasan hati sidia. Namun hubungan cinta kamu seringkali dilanda kekeliruan dan tak begitu stabil. Tapi usah bimbang, kamu akan menemui cinta sejati juga suatu hari nanti.

Hitam
Kamu gemar kehidupan yang mencabar dan punya keberanian untuk melakukan apa saja. Sebab itulah, usah ada sesiapa yang cuba mencabar kamu kerana kamu ni kan pantang dicabar. Tapi kamu tak begitu gemarkan perubahan mendadak dalam hidup kamu. Namun sekali kamu membuat keputusan, ia sukar untuk diubah oleh orang lain. Kisah cinta kamu juga begitu mencabar dan perlukan banyak kesabaran jika inginkan perhubungan itu berkekalan. Belajarlah untuk bertolak ansur sikit!

Warna buah Zaiton (Olive)
Bagi kamu yang mewakili warna ini dikatakan seorang yang baik hati dan suka menolong orang lain. Sebab itu juga kamu tak sukakan keganasan. Kamu juga bijak menyesuaikan diri dengan teman-teman hingga membuatkan kamu menjadi 'favourite' di kalangan mereka. Sememangnya kamu seorang yang baik hati dan sentiasa ceria. Namun ingat, jangan terlalu percayakan orang lain membabi buta. Dalam soal cinta, kamu cukup menenangkan hati si dia dan tak suka cari pasal!

Perang
Kamu seorang yang cukup aktif dan tak suka duduk diam saja. Pelbagai aktiviti yang dilakukan bagi memenuhi masa lapang. Sebagai seorang teman, kamu sentiasa menyokong tindakan positif teman-teman yang lain. Pun begitu, kamu sukar untuk didekati dan agak sombong jika tak boleh sesuaikan diri dengan seseorang. Dalam soal cinta, kamu mudah jatuh cinta. Tapi bila kamu sedar cinta kamu itu tidak berbalas, kamu cepat putus asa dan mengalah dengan mudah. Macam tu pulak? Seharusnya kamu perlu kikis sikap itu dan cuba berusaha untuk mengambil hati si dia. Mungkin 'rezeki' kamu untuk memilikinya nanti?

Kelabu
Kebanyakan mereka yang diwakili oleh warna Kelabu ini sangat menarik orangnya dan aktif. Kamu juga ingin diri kamu dikenali orang ramai dan menjadi kepantangan kamu pula sekiranya tidak dilayan dengan adil oleh sesiapa saja! Kamu juga seorang yang tidak gemar menyimpan apa juga perasaan di dalam hati dan lebih suka meluahkannya. Sesekali kamu boleh bersikap pentingkan diri sendiri. Namun kamu amat pandai menawan hati orang lain apatah lagi dengan sikap humor yang kamu miliki itu.

Biru
Ternyata kamu seorang yang punya keyakinan diri yang rendah dan terlalu pemilih sangat. Tak bolehlah macam tu. Itu adalah sikap negatif yang harus kamu ubah kerana mendatangkan kerugian pada diri kamu sendiri. Selain itu, kamu juga cederung ke arah kesenian dan sememangnya kamu berbakat dalam bidang itu hingga mampu menjadikan kerjaya berkaitan dengan seni sebagai kerjaya tetap. Soal cinta pula, kamu mudah sangat jatuh cinta tapi seringkali juga putus cinta. Mana taknya, orang lain bercinta kamu pun hendak bercinta. Tapi kamu bukan benar-benar menyintai si dia setulus hati. Silap sendiri lah kan? Kalau kamu mahukan hubungan itu berpanjangan, kamu harus bersikap lebih serius dan ikhlas.

Biru laut
Kamu mencintai diri dan kehidupan kamu sendiri melebihi segala-galanya. Bagi kamu, jika kamu tak sayangkan diri sendiri kamu siapa lagi? Kamu juga seorang yang berpersonaliti menarik hingga sering menjadi perhatian ramai. Selain itu, kamu juga berpandangan jauh untuk masa depan. Tapi berhati hati dengan sikap pemarah kamu tu. Sekali kamu marah pada seseorang, sukar kamu nak melupakannya. Jadi, belajarlah memaafkan orang lain. Sebab itu juga kamu sering bertengkar dengan si dia. Mana taknya, ego sangat nak maafkan orang lain sedangkan kamu sendiripun ada melakukan kesilapan!

Putih
Kamu punya matlamat yang jelas dalam hidup dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Orang lain juga sering memberikan penghargaan tinggi terhadap kamu memandangkan kamu agak berkebolehan dalam pelajaran/kerjaya. Walau bagaimanapun, kamu ini kuat cemburu orangnya dan kadangkala sukar nak bekerjasama dengan orang lain. Perhubungan cinta kamu juga sering tegang dek kerana sikap cemburu kamu terhadap si dia. Cemburu itu memang tanda sayang tapi kalau dah melampau tu, cemburu buta namanya!

Biru kehijauan (Aqua)
Mak oi! Angin satu badan kamu ini rupanya. Senang sangat mood kamu berubah secara tiba-tiba hingga kadangkala buat orang lain bosan. Mungkin sebab itu juga membuatkan kamu kadangkala lebih suka menyendiri melayan perasaan tapi kamu suka melancong untuk meluaskan pengalaman. Kamu juga seorang yang jujur dan mudah percaya kepada orang lain. Dari segi percintaan, kamu sukar menemui cinta sejati dan sikap terlalu mudah percaya pada orang lain membuatkan kamu sering tertipu serta gagal dalam bercinta...! Oleh itu, percaya boleh, tapi jangan membuta tuli, kelak memakan diri!

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 5)

“Sering kali murid-murid menganggap denda yang diberi oleh guru seakan hukuman yang menjatuhkan maruah mereka. Namun, berapa ramaikah yang sedar bahawa tujuan guru adalah ikhlas dan murni untuk mendidik murid-muridnya agar berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Sekiranya guru tidak memberi denda terhadap murid yang melakukan kesalahan, mampukah murid berkenaan sedar akan kesalahan mereka? Seseorang guru yang mendenda murid atas kesalahan yang dilakukan menunjukkan bahawa guru tersebut mengambil berat terhadap perkembangan anak didiknya dan tidak mahu kesalahan yang sama berulang pada masa akan datang. Murid yang didenda pula hendaklah berfikiran terbuka dan mengakui kesalahan yang dilakukan. Janganlah pula berdendam kepada guru kerana semua guru mahukan anak didiknya berjaya dan cemerlang dalam kehidupan.
Catatan oleh: MerahJambu”
Aduh! Bagaikan satu tamparan yang hebat dirasakan oleh Ai Ling apabila membaca bait-bait kata yang tertera di skrin komputernya.
“Macam ditujukan khas untuk aku aje ni,” berbicara hatinya sayup di dalam.
Ai Ling terbayangkan raut wajah Cikgu Naemah yang lembut. Dahulu, Cikgu Naemah merupakan guru yang amat disenanginya. Sangat mudah memahami isi pelajaran yang ingin disampaikan. Cikgu Naemah juga sering memberi kata nasihat semasa sesi pengajaran dan pembelajarannya. Tapi, sejak akhir-akhir ini, Ai Ling berasakan Cikgu Naemah menuntut terlalu banyak daripada murid-muridnya. Kerja sekolah yang diberikannya juga dirasakan menjadi bebanan yang membosankan. Ditambah dengan dirinya yang sering keseorangan di rumah lantaran ibu dan ayahnya merupakan warga korporat yang sibuk sepanjang masa. Dirinya hanya ditemani oleh pembantu rumah yang setia melayan segala kehendaknya. Kalau dulu, Nusrah sering ke rumahnya untuk mengulang kaji tetapi kini, Nusrah tidak dapat berbuat demikian kerana dia mahu mengulang kaji sendirian di rumah sebagai persediaan untuk peperiksaan SPM.
Tambahan pula, hobi baru Ai Ling yang gemar berfacebook menyebabkan dia tenggelam dalam alam siber sehingga tidak menghiraukan tugasan sekolahnya. Sebenarnya, bukan Cikgu Naemah sahaja yang naik angin kepadanya tetapi begitu juga halnya dengan guru Bahasa Inggeris, Matematik dan Prinsip Akaun. Dia hanya menelan segala kata-kata gurunya dan sesekali ungkapan marah daripada sahabatnya, Nusrah.
“Saya bosan tinggal di rumah sendirian ditemani pembantu rumah. Ibu dan ayah saya sibuk. Saya boleh dikategorikan sebagai murid yang bijak, tapi sekarang saya mula malas belajar. Saya rasa kalau saya tak belajar pun tak mengapa kerana ibu dan ayah saya berharta.
Daripada: Merah saga”
Ai Ling meninggalkan catatan pada ruang chatbox yang terletak pada bahagian kiri blog yang menjadi singgahan tetapnya itu. Sengaja dia menggunakan nama ‘Merah saga’ agar nampak sekufu dengan ‘Merah jambu’. Akan ditunggunya jawapan yang akan diberikan oleh penulis blog yang sudah mula memancing perhatiannya.

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 4)

“Apa sangatlah yang menariknya dengan facebook tu? Buang masa aje,” akhirnya berjaya juga Nusrah meluahkan perasaan tidak puas hatinya tentang hobi baru Ai Ling.
“Seronok, beb! Dapat kenal dengan macam-macam orang. Dalam negara, luar negara, orang putih, biru, coklat, hitam, semua ada!’ dengan penuh bersemangat Ai Ling memberi penjelasan.
“Sampai lupa nak buat kerja sekolah? Sampai lupa nak buat ulang kaji?” tiba pula giliran Nusrah memulangkan paku buah keras kepada Ai Ling.
“Okeylah, memang salah aku. Aku tak ingat pun pasal homework yang Cikgu Naemah beri tu,” Ai Ling merendahkan suaranya dengan harapan memadamkan api kemarahan yang mula membuak dari nada suara Nusrah.
“Sebenarnya, aku rasa Cikgu Naemah tu saja nak kenakan aku,” tiba-tiba Ai Ling memecahkan kesunyian.
Janggal benar rasanya perjalanan pulang ke rumah pada hari itu. Nusrah lebih banyak berdiam diri. Ai Ling pula seakan sedar yang Nusrah tidak ceria seperti biasa. Selalunya, gelak tawa mereka akan menghiasi perjalanan pulang mereka. Pasti ada sahaja cerita yang melucukan untuk dikongsi bersama.
“Janganlah nak buat tuduhan pulak. Mengaku sajalah kalau dah buat salah!” alunan suara Naemah masih pada tona yang sama.
“Bukannya aku nak buat tuduhan. Tapi, engkau tak ingat ke yang Cikgu Naemah denda aku berdiri kat belakang kelas minggu lepas? Dua hari lepas pulak dia denda aku berdiri sepanjang masa BM,” Ai Ling masih tidak berputus asa untuk menegakkan hujahnya.
“Wahai tuan puteri yang bijak bistari. Adapun tuan puteri diarahkan menjadi hulubalang di belakang kelas kerana tuan puteri sahajalah yang tidak menyembahkan buku latihan tatabahasa. Perihal berdiri itu pula adalah angkara tidak menyiapkan jawapan pemahaman novel seperti yang dititahkan oleh paduka guru,” Nusrah yang sememangnya berbakat dalam kesusasteraan begitu bijak mengatur ayat.
Terkesima dibuatnya Ai Ling yang tidak kurang hebat dalam berpidato. Kedua-dua mereka mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan. Amat sukar untuk mematahkan hujah mereka yang bernas dan penuh analogi yang menarik hati pendengar.
“Aku rasalah, baik engkau berhenti aje berfacebook. Banyak sangat buang masa. Tengok blog lagi best! Adalah jugak unsur ilmiahnya,” Nusrah melontarkan pendapatnya.
Nusrah tahu, bukan mudah untuk mempengaruhi Ai Ling.
“Blog tu boringlah. Aku rasa penulis blog cuma syok sendiri aje sebab dia berikan pendapat berdasarkan apa yang mereka fikirkan. Entah-entah, mereka tu cuma pandai beri nasihat tapi diri mereka sendiri tak buat pun.” Ai Ling menyuarakan pendapatnya.
“Memanglah betul ada blog syok sendiri. Tapi, tak kurang yang bermanfaat dan boleh kita jadikan panduan,” semakin kendur getar suara Nusrah.
“Aku ada jumpa satu blog yang memang best betul. Banyak panduan untuk kita hadapi masalah dunia remaja. Bahasa yang digunakan pun sempoi tapi penuh beretika. Dah dekat sebulan aku jadi follower,” begitu yakin Nusrah melobi blog yang diminatinya itu.
“Wow, nampak macam hebat aje bunyinya! Bukan senang kawan aku nak jadi pengikut setia blog,” Ai Ling menepuk-nepuk bahu Nusrah yang dua bulan lebih muda daripadanya.
“Kalau engkau baca tulisan dalam blog ni, tentu engkau tak berfikiran negatif dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Yang lebih penting, kita akan sentiasa ingin berjaya dalam kehidupan!” semakin bersemangat Nusrah bercerita sambil terbayangkan blog yang berlatarbelakangkan merah jambu dan berhiaskan bunga-bungaan pelbagai warna.
“Baiklah cik puan, sila berikan hamba gerangan alamat blog yang menjadi sebutan itu,” giliran Ai Ling pula berbangsawan.
“Arakian dimaklumkan bahawa alamat blog tersebut ialah merahjambu.blogspot.com. Sudikanlah apa kiranya tuan puteri melayarinya untuk membersih nurani yang bergelora. Tetapi, usah melayarinya sehingga terlupa tugasan yang lainnya. Kelak merana esok didenda,” untaian kata-kata Nusrah disambut oleh tawa mesra mereka berdua.