Sunday, July 8, 2012

Program Pengkarya Guru Siri IV/2012

Alhamdulillah, tamatlah sudah program pengkarya guru bagi tahun 2012. Banyak sungguh kenangan manis diiringi dengan ilmu dan perkongsian pengalaman baru yang ditimba. Bukan senang nak dapat peluang macam ni. Apatah lagi terpaksa mencuri masa dalam kesibukan mendidik anak bangsa. Apa tidaknya, kerja sekolah tak pernah habis-habis dan tak mungkin ada noktahnya. Jadi, pandai-pandailah mencari ruang dan peluang untuk lari sekejap demi pembangunan diri. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Majlis Buku Malaysia, KPM. Begitu juga seribu kasih dan kalungan penghargaan kepada mentor kumpulan puisi iaitu Puan Hajah Zaiton Ajamain yang sangat baik hati kerana sudi berkongsi pengalaman berharga dan ilmu bersama ahli-ahli kumpulan puisi. Tidak dilupakan rakan-rakan puisi yang pasti akan dirindui selepas ini terutamanya Kak Zaharah Abd. Manaf (pensyarah muzik di IPG Ipoh yang suka menyanyi), Siti Atiqah (mudah-mudahan selamat bersalin), Siti Khuzaimah(yang sangat berbudi bahasa dan baik budi), Kak Nazimah dan Kak Sarimah (pensyarah di IB, KL), Kak Rozaidah (penuh sikap keibuan), Siti Norbaya (ceria sentiasa), Norazliza (suka bersyair dan bergurindam), Shirley (Cikgu SMK Jln 3 BBB), Gertrude (Pengetua Cemerlang di Sabah), Faizal (cikgu comel yang berkhidmat di Sabah) dan lain-lain. Kumpulan puisi ni memang menarik kerana mula-mula cuma ada 16 orang sahaja yang berminat menyertai kami kemudian bertambah kepada 26 orang pada akhir sesi. Itulah penangan aura mentor kami agaknya. Khabarnya, ada juga yang menjadi dua alam maksudnya kumpulan sana masuk, kumpulan sini pun masuk (jangan marah, ye...). Tahniah juga kepada Encik Haidi yang terpilih sebagai peserta terbaik kumpulan puisi. Gambar di bawah merupakan ahli Kumpulan Puisi dalam siri 1/2012 di Hotel Flamingo by the Lake, KL.
Sememangnya pengisian program amat berguna terutamanya dalam siri terakhir ini yang diadakan di Hotel Vistana, KL. Sesi bersama peguam yang bertukar kepada penulis, Puan Nisah Haron amat berguna kepada semua pengkarya terutamanya saya yang baru-baru nak menceburkan diri dalam bidang ini secara lebih serius. Beliau menyampaikan maklumat berkaitan hak-hak pengkarya dan undang-undang yang berkaitan.
Begitu juga sesi bersama penerbit yang agak mengujakan. Banyak ilmu tentang penerbitan yang dikongsi oleh wakil penerbit. Pastinya semua orang menunggu-nunggu syarikat PTS dan Karangkraf selain 14 lagi syarikat penerbitan hebat di Malaysia. Bagi saya sendiri, kehadiran ITNM dan Syarikat Al-Ameen amat menggembirakan hati.
Oh, ya jangan lupa pameran-pameran yang menarik hasil kreativiti para pengkarya guru yang mungkin selama ini hanya memendamkan bakat yang ada. Nah...inilah masanya yang ditunggu-tunggu. Serlahkan bakat dan kreativiti masing-masing.
Tibalah saat yang dinantikan pada 8 Julai 2012 tepat jam 10 pagi, majlis penutupan berlangsung. Seperti biasa, ucapan tetamu kehormat dan acara persembahan diadakan. Terima kasih kepada Tuan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Abdul Wahab bin Ibrahim yang berkongsi kata-kata dan video motivasi dengan kami. Akhirnya, hasil program ini saya telah berjaya menghasilkan Kumpulan Puisi Kanak-kanak bertajuk Datuk Harimau sempena Seloka Datuk Harimau yang saya hasilkan. Kumpulan puisi ini mengandungi puisi moden dan puisi tradisional. Terima kasih kepada rakan sekerja di SMK Damansara Jaya iaitu Puan Latifah Latiff seorang guru Pendidikan Seni yang sangat berbakat kerana sudi menjadi ilustrator. Alhamdulillah, buku ini telah dipilih oleh pihak penganjur untuk diajukan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (harap-harap dapatlah diterbitkan, ye!)
Terima kasih kepada semua. Selamat berkarya demi memartabatkan bahasa bangsa.
"Puisi...untaian kata-kata bermakna yang menghidupkan jiwa manusia" p/s: terima kasih kepada kekasih hati dan cinta hati saya yang sentiasa cuba memahami diri ini. Upahnya...mandi-mandi sepuas hati :)