Friday, February 19, 2010

Adab murid dengan guru

"Mengapa saya perlu menghormati guru? Mereka bukan ibu bapa saya!".
Mungkin ada yang terkejut tatkala membaca petikan bicara di atas. Namun, begitulah realiti kehidupan di alam persekolahan sekarang. Kalau dulu, guru merupakan insan yang disanjung tinggi dan amat dihormati dalam kalangan masyarakat, namun kini situasinya agak berbeza. Acapkali kita mendengar rintihan hati guru yang berasa kesal dan sebal dengan tingkah laku anak-anak murid yang boleh dikatakan kurang ajar kepada mereka. Hal yang menyedihkan ialah murid-murid ini bukanlah lahir daripada keluarga yang sebegitu. Jika dilihat kepada latar belakang ibu bapa dan penjaga mereka pun, agak sukar mempercayai mereka sanggup mengeluarkan kata-kata yang menghiris hati sebegitu.
Biar apapun sebabnya, generasi muda yang masih belajar di sekolah haruslah sedar bahawa hampir 80% kehidupan mereka dihabiskan di sekolah dengan bimbingan guru-guru. Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada guru dengan alasan mereka sibuk bekerja dan mungkin sebenarnya tidak mampu mendidik anak-anak dengan sempurna. Oleh itu, semua anak muda tidak harus memandang sebelah mata kepada insan yang bernama 'guru'. Merekalah yang mencurahkan ilmu kepada mereka sama ada rela atau terpaksa. Agak sukar sebenarnya meneroka alam perguruan jika anak didik yang diasuh tidak tahu menghargai segala titik peluh yang telah dicurahkan.
Amatlah diharapkan agar generasi muda berinteraksi dengan guru sebaik mungkin kerana merekalah penjaga mereka ketika ibu bapa mereka sibuk bekerja. Sayangilah mereka kerana daripada hubungan yang penuh kasih sayang akan melahirkan jalinan mesra yang membahagiakan.

No comments:

Post a Comment