Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 1)

“Riiiinggggg”.

Loceng yang menandakan tamatnya sesi persekolahan pada hari itu telahpun berbunyi. Ai Ling yang duduk di sebelah Nusrah hanya berdengus perlahan sambil menjeling penuh makna kepada Nusrah. Nusrah tahu bahawa jelingan sahabatnya itu bukanlah jelingan maut tanda marah kepadanya. Nusrah juga faham bahawa jelingan tajam tersebut merupakan isyarat dalam menzahirkan perasaan Ai Ling yang kurang senang dengan tindakan Cikgu Naemah. Mereka biarkan rakan-rakan sekelas yang seramai 35 orang beredar keluar dari kelas Tingkatan 5 Angsana untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Itulah, kenapa engkau tak siapkan karangan tu di rumah?” Nusrah bertanya perlahan. Sekurang-kurangnya tidaklah dia menjadi tunggul kayu sementara menanti si rambut ikal menyudahkan tugasan karangan yang diberikan pada hari Isnin yang lepas oleh guru Bahasa Melayu mereka.

“Bukannya engkau tak tahu, aku sibuk sangat dalam dua minggu ni. Janganlah nak tambah geram aku pula,” jawab Ai Ling tanpa menoleh walau sekilas ke arah Nusrah. Tangannya masih rancak menulis bahagian penutup karangan yang seakan mendera perasaannya.

Nusrah hanya tersenyum penuh makna. Memang Nusrah masak benar akan perangai gadis keturunan Baba Melaka itu. Bukan baru sehari dua Nusrah mengenalinya. Mereka bersahabat baik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Secara kebetulan mereka ditempatkan di kelas yang sama dan duduk bersebelahan ketika di darjah satu. Yang menariknya, sehingga kini mereka kekal bersama dan duduk bersebelahan seperti sepuluh tahun yang lalu. Bukan sedikit rakan dan guru yang berasa hairan dengan keakraban mereka. Malahan mereka juga digelar ‘seperti belangkas’ oleh warga sekolah. Di mana ada Nusrah, sudah tentu kelibat Ai Ling akan turut bersama. Bagi mereka, hubungan mesra yang terjalin merupakan satu ikatan yang sangat istimewa biarpun mereka berlainan agama dan bangsa. Mereka serasi serba-serbi. Makanan, kegemaran, hobi, dan bahan bicara mereka boleh dikatakan seiring dan sejalan. Mereka gemar berpakaian kasual; berseluar longgar dan berkemeja separas paha. Yang membezakan mereka hanyalah tudung polos berwarna lembut yang sering digayakan oleh Nusrah sesuai dengan persona seorang gadis muslim kontemporari. Manakala Ai Ling pula acap kali mengikat rambutnya yang lembut itu seperti ekor kuda.

No comments:

Post a Comment