Thursday, February 10, 2011

JAM TANGAN: Satu analogi


Hari ini semasa mengajar tingkatan 4 Balau berkaitan novel Papa...akhirnya kau tewas jua! karya Deana Yusof, sempat aku menyelitkan kisah jam tangan yang sering kujadikan analogi dalam mendidik murid-muridku tentang pentingnya menjaga maruah diri. Sememangnya kebejatan sosial yang berlaku di sekeliling kita amat membimbangkan. Lebih-lebih lagi dengan aktiviti pergaulan bebas yang terlihat di depan mata...memang merimaskan naluriku yang bergelar guru dan ibu kepada seorang anak gadis yang sedang meningkat remaja.
Beginilah kaedah yang sering aku gunakan:
"Tentu kamu semua pernah melihat jam tangan yang dijual, kan! Ada macam- macam harga dan jenisnya. Kalau jam tangan berharga RM5 atau RM10, di mana diletakkan? Sudah tentu diletakkan di atas meja dan kita boleh lihat dengan bebas dan mencuba sesuka hati. Bagaimana pula dengan jam yang berharga beratus atau ribuan ringgit? Di mana tempatnya? Sudah tentu akan diletakkan di dalam kotak kaca di dalam kedai dan kadang kala dikunci kotak kaca tersebut. Tak semua orang yang boleh lihat dan pegang kecuali orang yang betul-betul berminat untuk membeli. Begitu jugalah dengan diri kau semua tidak kira perempuan mahupun lelaki. Kalau kamu membiarkan diri kamu dipegang oleh orang lain sesuka hati atau membenarkan orang lain melihat bahagian tubuh kamu yang tidak sepatutnya mereka lihat, maka kamu seumpama jam tangan MURAH. Namun, jika kamu meletakkan diri kamu sebagai jam tangan MAHAL, sudah tentu kamu akan menjaga maruah diri dan tidak membiarkan diri kamu dilihat, dipegang, dan dipergunakan sesuka hati. Pilihan terletak di tangan kamu sama ada nak jadi JAM TANGAN MURAH @ JAM TANGAN MAHAL!"

Kelihatan beberapa orang murid mengangguk-anggukkan kepala mereka. Aku amat berharap mesej yang ingin kusampaikan dapat mereka fahami. Sebagai guru, aku cuba mendidik manusia menjadi manusia namun, aku perlu akur tentang latar belakang dan cara hidup mereka yang mungkin sedikit berbeza. Sesungguhnya, anak-anak yang kudidik ini merupakan kain putih yang bersifat suci dan bersih. Aku merupakan sebahagian pelukis yang perlu mengalunkan berus yang bersih agar kesucian mereka terpelihara.



No comments:

Post a Comment