Wednesday, February 9, 2011

Menulis Pendahuluan Karangan Umum

Pendahuluan karangan merupakan aspek yang penting dalam penulisan karangan. Unsur ini tidak boleh dipandang ringan kerana pendahuluan yang baik dapat memberi impresi yang baik kepada pemeriksa terhadap keseluruhan karangan. Untuk menghasilkan pendahuluan karangan yang baik berikut merupakan panduan asas yang boleh diamalkan oleh calon SPM
Bina sekurang-kurangnya 8 ayat pendahuluan yang merangkumi maklumat berikut:
Ayat 1- Latar tema secara umum
Ayat 2- Huraian latar tema
Ayat 3- Tema karangan
Ayat 4- Huraian tema karangan
Ayat 5- Fokus karangan
Ayat 6- Huraian fokus karangan
Ayat 7- Persoalan/Peribahasa
Ayat 8- Hala tuju karangan/kehendak soalan karangan

Contoh soalan:
Masalah remaja ponteng sekolah semakin membimbangkan masyarakat. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masalah ini boleh berlaku?

Contoh pendahuluan:
Ayat 1- Latar tema secara umum
Sejak kebelakangan ini, isu tentang gejala sosial semakin hangat dipaparkan dalam media massa.

Ayat 2- Huraian latar tema
Gejala sosial ini semakin membimbangkan kerana melibatkan golongan remaja yang menjadi pewaris masa depan negara

Ayat 3- Tema karangan
Tidak dapat dinafikan bahawa deria masyarakat sering didendangkan dengan masalah sosial seperti vandalisme, kejadian pecah rumah, remaja lari dari rumah dan pelbagai masalah yang membimbangkan minda.

Ayat 4- Huraian tema karangan
Selain itu, masalah remaja yang sering ponteng sekolah turut menambah lagi bilangan gejala sosial yang melingkari golongan remaja.

Ayat 5- Fokus karangan
Masalah remaja yang sering ponteng sekolah sememangnya membimbangkan segenap lapisan masyarakat.

Ayat 6- Huraian fokus karangan
Sekiranya gejala ini tidak dibendung, sudah tentu sebuah negara yang maju dan mampan pembangunannya tidak dapat dicapai.

Ayat 7- Persoalan/Peribahasa
Yang menjadi pokok persoalannya, mengapakan masalah yang menjadi duri dalam daging ini semakin terus berleluasa dalam kalangan remaja yang sepatutnya menimba ilmu di bangku sekolah?

Ayat 8- Hala tuju karangan/kehendak soalan karanga
Justeru, punca-punca yang menyebabkan masalah ponteng sekolah ini berlaku perlu dirungkai dengan sewajarnya agar hal ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin.

Begitulah contoh binaan ayat bagi sebuah pendahuluan yang mantap.

Biasakan diri dengan membuat latihan menulis pendahuluan karangan umum agar kemahiran menulis karangan anda dapat diperbaiki. Percayalah, semakin banyak anda cuba membuat latihan, semakin mahirlah diri anda menulis. Selamat menulis!

No comments:

Post a Comment