Thursday, February 10, 2011

JAM TANGAN: Satu analogi


Hari ini semasa mengajar tingkatan 4 Balau berkaitan novel Papa...akhirnya kau tewas jua! karya Deana Yusof, sempat aku menyelitkan kisah jam tangan yang sering kujadikan analogi dalam mendidik murid-muridku tentang pentingnya menjaga maruah diri. Sememangnya kebejatan sosial yang berlaku di sekeliling kita amat membimbangkan. Lebih-lebih lagi dengan aktiviti pergaulan bebas yang terlihat di depan mata...memang merimaskan naluriku yang bergelar guru dan ibu kepada seorang anak gadis yang sedang meningkat remaja.
Beginilah kaedah yang sering aku gunakan:
"Tentu kamu semua pernah melihat jam tangan yang dijual, kan! Ada macam- macam harga dan jenisnya. Kalau jam tangan berharga RM5 atau RM10, di mana diletakkan? Sudah tentu diletakkan di atas meja dan kita boleh lihat dengan bebas dan mencuba sesuka hati. Bagaimana pula dengan jam yang berharga beratus atau ribuan ringgit? Di mana tempatnya? Sudah tentu akan diletakkan di dalam kotak kaca di dalam kedai dan kadang kala dikunci kotak kaca tersebut. Tak semua orang yang boleh lihat dan pegang kecuali orang yang betul-betul berminat untuk membeli. Begitu jugalah dengan diri kau semua tidak kira perempuan mahupun lelaki. Kalau kamu membiarkan diri kamu dipegang oleh orang lain sesuka hati atau membenarkan orang lain melihat bahagian tubuh kamu yang tidak sepatutnya mereka lihat, maka kamu seumpama jam tangan MURAH. Namun, jika kamu meletakkan diri kamu sebagai jam tangan MAHAL, sudah tentu kamu akan menjaga maruah diri dan tidak membiarkan diri kamu dilihat, dipegang, dan dipergunakan sesuka hati. Pilihan terletak di tangan kamu sama ada nak jadi JAM TANGAN MURAH @ JAM TANGAN MAHAL!"

Kelihatan beberapa orang murid mengangguk-anggukkan kepala mereka. Aku amat berharap mesej yang ingin kusampaikan dapat mereka fahami. Sebagai guru, aku cuba mendidik manusia menjadi manusia namun, aku perlu akur tentang latar belakang dan cara hidup mereka yang mungkin sedikit berbeza. Sesungguhnya, anak-anak yang kudidik ini merupakan kain putih yang bersifat suci dan bersih. Aku merupakan sebahagian pelukis yang perlu mengalunkan berus yang bersih agar kesucian mereka terpelihara.



Wednesday, February 9, 2011

Menulis Pendahuluan Karangan Umum

Pendahuluan karangan merupakan aspek yang penting dalam penulisan karangan. Unsur ini tidak boleh dipandang ringan kerana pendahuluan yang baik dapat memberi impresi yang baik kepada pemeriksa terhadap keseluruhan karangan. Untuk menghasilkan pendahuluan karangan yang baik berikut merupakan panduan asas yang boleh diamalkan oleh calon SPM
Bina sekurang-kurangnya 8 ayat pendahuluan yang merangkumi maklumat berikut:
Ayat 1- Latar tema secara umum
Ayat 2- Huraian latar tema
Ayat 3- Tema karangan
Ayat 4- Huraian tema karangan
Ayat 5- Fokus karangan
Ayat 6- Huraian fokus karangan
Ayat 7- Persoalan/Peribahasa
Ayat 8- Hala tuju karangan/kehendak soalan karangan

Contoh soalan:
Masalah remaja ponteng sekolah semakin membimbangkan masyarakat. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan masalah ini boleh berlaku?

Contoh pendahuluan:
Ayat 1- Latar tema secara umum
Sejak kebelakangan ini, isu tentang gejala sosial semakin hangat dipaparkan dalam media massa.

Ayat 2- Huraian latar tema
Gejala sosial ini semakin membimbangkan kerana melibatkan golongan remaja yang menjadi pewaris masa depan negara

Ayat 3- Tema karangan
Tidak dapat dinafikan bahawa deria masyarakat sering didendangkan dengan masalah sosial seperti vandalisme, kejadian pecah rumah, remaja lari dari rumah dan pelbagai masalah yang membimbangkan minda.

Ayat 4- Huraian tema karangan
Selain itu, masalah remaja yang sering ponteng sekolah turut menambah lagi bilangan gejala sosial yang melingkari golongan remaja.

Ayat 5- Fokus karangan
Masalah remaja yang sering ponteng sekolah sememangnya membimbangkan segenap lapisan masyarakat.

Ayat 6- Huraian fokus karangan
Sekiranya gejala ini tidak dibendung, sudah tentu sebuah negara yang maju dan mampan pembangunannya tidak dapat dicapai.

Ayat 7- Persoalan/Peribahasa
Yang menjadi pokok persoalannya, mengapakan masalah yang menjadi duri dalam daging ini semakin terus berleluasa dalam kalangan remaja yang sepatutnya menimba ilmu di bangku sekolah?

Ayat 8- Hala tuju karangan/kehendak soalan karanga
Justeru, punca-punca yang menyebabkan masalah ponteng sekolah ini berlaku perlu dirungkai dengan sewajarnya agar hal ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin.

Begitulah contoh binaan ayat bagi sebuah pendahuluan yang mantap.

Biasakan diri dengan membuat latihan menulis pendahuluan karangan umum agar kemahiran menulis karangan anda dapat diperbaiki. Percayalah, semakin banyak anda cuba membuat latihan, semakin mahirlah diri anda menulis. Selamat menulis!

Monday, February 7, 2011

Latihan menulis pendahuluan rumusan (4 Balau)

Perhatian kepada murid-murid 4 Balau yang dikasihi, sila sambung latihan menulis pendahuluan rumusan. Kita telah berbincang soalan no. 1 dan no. 2 di dalam kelas. Berikut ialah soalan no. 3 hingga no. 10.

3. Buat satu rumusan tentang sebab-sebab merosotnya disiplin pelajar dan peranan guru dalam mengatasi masalah ini.
4. Buat satu rumusan tentang cara-cara mewujudkan amalan berjimat cermat dan masalah ibu bapa dalam menguruskan kewangan keluarga.
5. Buat satu rumusan tentang punca seseorang mengalami tekanan perasaan dan peranan rakan terdekat untuk mengatasinya.
6. Buat satu rumusan tentang manfaat membaca buku dan cara menggalakkannya.
7. Buat satu rumusan tentang akibat ponteng sekolah dan usaha mengatasinya.
8. Buat satu rumusan tentang tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak dan masalah yang dihadapi oleh mereka.
9. Buat satu rumusan tentang kaedah mengatasi pemerdagangan orang dan peranan media untuk membendung masalah ini.
10. Buat satu rumusan tentang impak media baharu dan peranan keluarga dalam menangani masalah akibat daripada media baharu.

Selamat menjawab ;)