Thursday, August 6, 2009

Jaga hati + Jaga mulut

Dalam menelusuri hidup seharian, pelbagai cabaran dan dugaan pasti mendatang. Walau bagaimanapun, segala masalah yang dihadapi akan dapat diminimumkan jika hubungan kita sesama rakan, keluarga dan orang di sekeliling kita terjaga. Hati mana yang tidak gundah gulana jika persekitaran kita dipenuhi dengan hasad dengki, kata-mengata, dan lebih serius jika ada pihak yang tidak 'senang' melihat orang lain berada dalam keadaan 'senang'. Oh... inilah dunia yang penuh dengan masam, manis, pahit, dan payau kehidupan.
Sebenarnya tidaklah sesukar mana untuk hidup gembira di dunia yang fana ini. Emm.. memang senang cakap daripada buat. Tetapi, kita juga perlu ingat bahawa jika tiada orang mahu bercakap tentang hal ini mungkin ada orang yang ketandusan idea atau tidak tahu untuk berbuat apa takkala masalah melanda.
Cubalah kita menjaga hati orang lain dan mengelakkan diri daripada menimbulkan konflik sesama manusia. Adalah penting kita menjaga butir bicara yang ingin diluahkan kepada orang lain. Oleh itu, berfikirlah sejenak sebelum menuturkan kata kepada insan di sekeliling kita. Jika kita tidak mahu orang lain menyakitkan hati kita, usahlah membuat orang lain terasa hati apabila kita berbicara.
Tuntasnya, Allah mengurniakan akal fikiran kepada semua manusia. Gunakanlah harta yang tidak ternilai harganya untuk mensyukuri nikmat Tuhan dan sentiasa cuba membaiki diri. Bermuhasabahlah demi keharmonian hidup di dunia. Semoga kita semua mendapat kerahmatan daripada yang maha Esa.

No comments:

Post a Comment