Friday, August 14, 2009

KISMeMaK dan ABCTOK

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Cikgu ingin berkongsi dengan anda semua tentang teknik menulis isi karangan yang dapat memudahkan anda mengingati isi penting karangan dengan mudah.

K-----Keluarga
I----- Ibu bapa
S-----Sekolah
Me---Media massa
Ma---Masyarakat
K-----Kerajaan

KELUARGA (K)
Huraian tentang keluarga meliputi aspek adik-beradik, saudara mara, dan sesiapa sahaja yang boleh dikaitkan sebagai keluarga. Jelaskan peranan dan tanggungjawab setiap individu yang boleh dipanggil keluarga dalam karangan anda. Kata-kata hikmat kepimpinan melalui teladan boleh menggambarkan betapa contoh yang baik amat diperlukan dalam menjalani kehidupan.

IBU BAPA (I)
Ibu bapa sering digambarkan sebagai suri teladan kepada anak-anak. Oleh itu, isi ini agak mudah untuk dikembangkan oleh sesiapa sahaja. Pastikan anda menjelaskan secara terperinci aspek ini. Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya amat sinonim dengan fungsi ibu bapa dalam mendidik anak-anak sejak kecil.

SEKOLAH (S)
Sekolah menjadi rumah kedua kepada remaja. Jelaskan peranan pihak sekolah dalam menguatkuasakan disiplin dan program di sekolah. Begitu juga dengan peranan guru dalam mendidik murid sama ada di dalam kelas ataupun semasa aktiviti kokurikulum. Peribahasa guru kencing berdiri, murid kencing berlari boleh digunakan.

MEDIA (Me)
Media massa amat berpengaruh dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat sama ada media cetakan mahupun media elektronik. Huraikan kesan penyaluran maklumat oleh media massa terhadap sesuatu isu yang dibincangkan. Frasa mata pena lebih tajam daripada mata pedang amat sesuai digunakan dalam konteks ini.

MASYARAKAT (Ma)
Setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam sesuatu isu. Setiap insan mempunyai peranan yang penting. Jelaskan secara terperinci fungsi ahli masyarakat.
Penggunaan peribahasa berkaitan bekerjasama boleh digunakan, misalnya ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni atau bagai aur dengan tebing atau yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

KERAJAAN (K)
Peranan kerajaan amat penting dalam sesuatu isu kerana kerajaanlah badan pemerintah, pembuat dasar dan pihak yang memastikan dasar dilaksanakan dengan sempurna. Kempen yang berterusan yang berkesan boleh dilakukan oleh kerajaan. Penjelasan tentang kesan kempen atau penguatkuasaan undang-undang di sesebuah negara boleh dihuraikan. Janganlah sampai nasi menjadi bubur atau amalan sudah terhantuk baru tengadah diamalkan oleh pihak kerajaan.

Seterusnya, bagi setiap isi, anda boleh menggunakan teknik ABCTOK dalam menghuraikan dan menjelaskannya.

A-----Apakah isu yang dibincangkan atau ingin dihuraikan?
B-----Bilakah hal tersebut boleh dilakukan atau berlaku?
C-----Cara perkara tersebut dilaksanakan.
T-----Tempat perkara tersebut dilakukan.
O-----Orang yang terlibat dalam perkara tersebut.
K-----Kenapakah perkara tersebut penting dalam isu yang dibincangkan.

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment