Showing posts with label Cerita kita. Show all posts
Showing posts with label Cerita kita. Show all posts

Thursday, April 1, 2010

Di sebalik...APRIL FOOL.

Pada setiap tanggal 1 April, ada sahaja orang (terutama anak-anak muda) yang merayakan hari tersebut dengan membuat pelbagai kejutan atau sesuatu aneh yang di luar jangkaan. April Fools Day, demikian orang Barat menyebut hari tanggal 1 April. Namun, tahukah anda jika perayaan tersebut sesungguhnya berasal dari sejarah pembantaian tentera Salib terhadap kaum Muslim Sepanyol yang memang didahului dengan upaya penipuan? Inilah sejarahnya yang disalin kembali sebahagiannya dari buku ‘Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Halloween: So What?’� (Rizki Ridyasmara, Pustaka Alkautsar, 2005)

Sejarah April Fool

Perayaan April Fool yang selalu diakhiri dengan kegembiraan dan kepuasan itu sesungguhnya berasal dari satu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. The April’s Fool Day berasal dari satu episod sejarah Muslim Sepanyol pada tahun 1487 atau bersamaan dengan 892 H. Sebelum mengungkap tragedi tersebut, ada baiknya kita melihat sejarah Sepanyol dahulu ketika masih di bawah kekuasaan Islam.

Sejak dibebaskan Islam pada abad ke-8 M oleh Panglima Thariq bin Ziyad, Sepanyol tumbuh menjadi satu negeri yang makmur secara beransur-ansur. Pasukan Islam tidak setakat berhenti di Sepanyol, namun terus melakukan pembebasan di negeri-negeri sekitarnya menuju Perancis. Perancis Selatan dengan mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya jatuh. Walau sangat kuat, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang terletak di pergunungan.

Islam telah menerangi Sepanyol. Ini kerana sikap para penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka banyak orang-orang Sepanyol yang kemudian dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Muslim Sepanyol bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mengamalkan kehidupan secara Islami. Mereka tidak hanya membaca Al-Quran, tetapi juga bertingkah laku berdasarkan Al-Quran. Mereka selalu berkata untuk tidak minum khamar, bergaul bebas, dan segala macam hal yang dilarang oleh Islam. Keadaan seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Selama itu pula kaum kafir yang masih ada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal lelah terus berupaya membersihkan Islam dari Sepanyol, namun mereka selalu gagal. Mereka telah mencuba beberapa kali tapi selalu tidak berhasil. Dikirimlah sejumlah perisik untuk mempelajari kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemukan cara untuk menaklukkan Islam di Sepanyol, yakni yang pertama adalah harus melemahkan iman mereka dahulu dengan jalan serangan pemikiran dan budaya.

Maka mulailah secara diam-diam mereka mengirim alkohol dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk membujuk kaum mudanya agar lebih suka bernyanyi dan menari berbanding membaca Al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya adalah untuk menyemarakkan perpecahan di dalam tubuh umat Islam Sepanyol. Lama-kelamaan upaya ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan berjaya dikuasai pasukan Salib. Penyerangan oleh pasukan Salib benar-benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal peri kemanusiaan. Tidak hanya pasukan Islam yang dibantai, tetapi juga rakyat biasa, wanita, anak-anak kecil, orang-orang tua, semuanya dibantai dengan sadis dan kejam.

Satu persatu daerah di Sepanyol ditakluki. Granada adalah daerah terakhir yang ditaklukkan. Penduduk Islam di Sepanyol (juga disebut orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian terus mengejar mereka.

Ketika jalan-jalan mulai sepi, yang tinggal adalah ribuan mayat yang bergelimpangan dan bermandikan aliran darah. Tentera Salib mengetahui bahawa banyak Muslim Granada yang masih bersembunyi di rumah-rumah. Dengan lantang tentera Salib itu meneriakkan pengumuman, bahawa para Muslim Granada boleh keluar dari rumah dengan aman dan dibenarkan berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka. “Kapal-kapal yang akan membawa kalian keluar dari Sepanyol sudah kami persiapkan di pelabuhan. Kami menjamin keselamatan kalian jika ingin keluar dari Sepanyol, setelah ini maka kami tidak lagi memberikan jaminan!� demikian bujuk tentera Salib.

Orang-orang Islam masih curiga dengan tawaran ini. Beberapa dari orang Islam dibenarkan melihat sendiri kapal-kapal penumpang yang sudah dipersiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat ada kapal yang sudah dipersiapkan, maka mereka segera bersiap untuk meninggalkan Granada bersama-sama menuju ke kapal-kapal tersebut. Mereka pun bersiap untuk berlayar.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada yang keluar dari rumah-rumahnya dengan membawa seluruh barang-barang keperluannya beriringan jalan menuju pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai tentera Salib bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumahnya. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan cepat tentera Salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan penghuninya. Lidah api terlihat menjilat-jilat angkasa ketika para tentera Salib itu membakar rumah-rumah tersebut bersama orang-orang Islam yang masih bertahan di dalamnya.

Manakala ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan berasa terkejut ketika tentera Salib juga membakar kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal itu dengan cepat tenggelam. Ribuan umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama sekali tidak bersenjata. Mereka juga kebanyakan terdiri dari para perempuan dan anak-anak yang masih kecil. Lalu tentera Salib segera mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan dari pemimpinnya, ribuan tentera Salib itu segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir membahana. Dengan buas tentera Salib terus membunuh orang awam yang sama sekali tidak berdaya.

Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah menggenang di mana-mana. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Tragedi ini bertepatan dengan tanggal 1 April. Inilah yang kemudian diperingati oleh dunia Kristian pada setiap tanggal 1 April sebagai The Aprils Fool Day.

Bagi umat Islam April Fool tentu merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari dimana ribuan saudara seimannya disembelih dan dibantai oleh tentera Salib di Granada, Sepanyol. Sebab itu, adalah sangat tidak layak jika ada orang Islam yang ikut-ikutan merayakan tradisi ini. Sebab dengan merayakan April Fool, sesungguhnya orang-orang Islam itu ikut bergembira dan tertawa atas tragedi tersebut. Siapa pun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya tengah merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai terhadap ribuan saudara-saudaranya di Granada, Sepanyol, beberapa abad silam.

April Fool Merupakan Perayaan Pembantaian Umat Islam, Tidak Layak Dirayakan

Umat Islam sangat tidak boleh merayakan “The April Fool Day” kerana kebiasaan itu didasarkan untuk memperingati peristiwa pembantaian umat Islam di Sepanyol pada 1 April 1487 Masihi.

Ir.H.Asmara Dharma, seorang cendekiawan muslim dari Indonesia menuturkan di dalam tulisannya; Umat Islam banyak yang telah dan merayakan April Fool tanpa mengetahui dasar dan asal muasal peristiwa tersebut.

Ia menjelaskan, perayaan April Fool itu didasarkan atas peristiwa penyerangan besar-besaran oleh tentera Salib terhadap negara Sepanyol yang ketika itu di bawah kekuasaan kekhalifahan Islam pada Mac 1487 Masihi.

Kota-kota Islam di Sepanyol seperti Zaragoza dan Leon di wilayah Utara, Vigo dan Forto di wilayah Timur, Valencia di wilayah Barat, Lisbon dan Cordoba di Selatan serta Madrid di pusat kota dan Granada sebagai kota pelabuhan berjaya dikuasai tentera Salib.

Umat Islam yang tersisa dari peperangan itu dijanjikan kebebasan jika meninggalkan Sepanyol dengan kapal yang disiapkan di pelabuhan Granada. Tentera Salib itu menjanjikan keselamatan dan membolehkan umat Islam menaiki kapal jika mereka meninggalkan Sepanyol dan tidak membawa sebarang persenjataan mereka.

Namun, ketika ribuan umat Islam sudah berkumpul di pelabuhan, kapal yang tadinya berlabuh di pelabuhan segera dibakar dan kaum muslim dibantai dengan kejam sehingga air laut menjadi merah kerana darah.

Peristiwa pembantaian dan pengingkaran janji tersebut terjadi pada 1 April 1487 Masehi dan dikenang sebagai “The April Fool Day.”

Selanjutnya, Dharma menjelaskan, peristiwa The April Fool Day itu dipopularkan dengan cara yang mempersendakan, menipu dan memperbodohkan orang lain tetapi bernuansa gembira.

“Ritual tersebut disyaratkan agar orang-orang yang dipersendakan tidak boleh berasa marah atau membalas” katanya.

Sumber: http://www.eramuslim.com

Saturday, March 6, 2010

Tarikh lahir dan personaliti warna

Salam buat semua. Hidup ini penuh dengan warna. Bergantung kepada individu untuk memberi tafsiran warna mengikut kreativiti dan kemahuan masing-masing. Namun, seronok juga kalau kita boleh lihat kajian rambang yang telah dilakukan oleh pakar psikologi tentang perkaitan tarikh lahir dan personaliti warna kita.

23hb -1hb Disember
Merah

2hb-11hb Januari
Oren

12hb-24hb Januari
Kuning

25hb Januari - 3hb Februari
Merah jambu

4hb - 8hb Februari
Biru

9 hb - 18hb Februari
Hijau

19hb - 28hb Februari
Perang

1hb Februari- 10hb Mac
Aqua (Biru kehijauan)

11hb - 20hb Mac
Lime

21hb Mac
Hitam

22hb-31hb Mac
Ungu

1 hb- 10hb April
Biru

11hb - 20hb April
Perak

21hb- 30hb April
Putih

2 hb- 14hb Mei
Biru

15hb-24hb Mei
Emas

25 hb- 3hb Jun
Krim

4 hb- 13hb Jun
Kelabu

14 hb- 23hb Jun
Maroon

24hb Jun
Kelabu

25 hb- 4hb Julai
Merah

5 hb- 14hb Julai
Oren

15 hb- 25hb Julai
Kuning

26hb Julai - 4hb Ogos
Merah jambu

5 hingga 13hb Ogos
Biru

14 hb- 23hb Ogos
Hijau

24hb Ogos -2hb September
Perang

3 hb- 12hb September
Aqua (Biru kehijauan)

13 hb- 22hb September
Lime

23hb September
Olive

24hb September - 3hb Oktober
Ungu

4 hb-13hb Oktober
Biru

14 hb- 23hb Oktober
Perak

24hb Oktober- 11hb November
Putih

12 hb- 21hb November
Emas

22hb November- 1hb Disember
Krim

2 hb- 11hb Disember
Kelabu

12 hb- 21hb Disember
Maroon

22hb Disember
Teal Merah




Merah
Selalunya mereka yang mewakili warna merah yang garang ini seorang yang comel dan disayangi ramai. Kamu juga suka disayangi dan menyayangi. Kamu juga sentiasa ceria dan gembira namun kadangkala dilanda 'angin satu badan'! Teman/kekasih yang diingini ialah mereka yang mudah diajak berbincang dan boleh membuatkan dirinya rasa selesa bila berdampingan dengan mereka.

Krim
Ha! Kamu ini seorang yang suka bersaing dalam apa juga bidang yang kamu ceburi dan ingin berjaya. Tapi persaingan secara sihatlah. Kamu juga bersikap suka mendorong orang lain untuk mencapai apa yang diidamkan. Namun kamu cukup takut akan 'kehilangan' sama ada teman ataupun kekasih! Selain itu, sudah tentunya kamu seorang yang ceria selalu! Sebagai seorang kawan, kamu boleh dipercayai 100% dan setia pada janji. Dari segi percintaan, kamu amat berhati hati dalam menjalinkan hubungan cinta dan tak mudah jatuh cinta hingga kamu rasakan menemui seseorang yang benar benar kamu cintai! Ketika itu, kamu tak perlukan masa yang lama untuk melafazkan sayang!

Teal (warna kayu)
Bukan main lagi kamu ni yek! Tak kira lelaki ataupun perempuan, terlalu menitikberatkan soal kecantikan dan penampilan fizikal diri kamu. Kamu sering melakukan kesilapan dalam membuat keputusan lantaran sikap kamu yang suka sangat ambil mudah terhadap sesuatu masalah. Manakala dalam memilih pasangan, kamu bercitarasa cukup tinggi. Kamu tak akan pilih yang sebarangan saja! Kamu juga suka memerintah dan gemar orang lain menurut perintah kamu. Walau bagaimanapun, sikap kamu yang peramah membuatkan diri kamu
punya ramai teman.

Merah Jambu
Kamu akan berusaha sedaya mungkin untuk membuat yang terbaik dalam apa juga yang kamu lakukan serta suka menolong orang lain dan mengambil tahu tentang orang orang disekelilingnya. Namun kamu sukar untuk dipenuhi keinginannya dan sering saja berpra sangka buruk terhadap orang lain. Dari segi percintaan kamu mengimpikan percintaan yang penuh dengan keindahan semata.

Hijau
Salah satu kelebihan yang kamu miliki ialah cukup pandai menyesuaikan diri dengan orang yang baru di kenali. Mungkin kerana sikap kamu yang tidak begitu pemalu namun dalam tidak sedar kamu boleh membuatkan orang lain kecil hati dengan kata kata kamu saja! Kamu juga ingin diri kamu disayangi dan diberi perhatian penuh oleh kekasih hati. Namun selalunya mereka ini lebih rela maintain single hingga berjumpa dengan jejaka/gadis yang benar benar sesuai untuk dirinya!

Emas
Kamu seorang yang tahu apa yang kamu lakukan, yang mana betul dan silapnya. Kamu juga seorang yang mudah bergaul dengan sesiapa saja dan ceria serta tak suka bersedih biarpun pelbagai masalah yang menimpa. Dalam soal percintaan, kamu sukar berjumpa dengan orang benar benar kamu sukai tapi sekali kamu menemuinya pasti tidak akan kamu lepaskan begitu saja. Bila sekali gagal, sukar untuk kamu jatuh cinta lagi untuk kali yang seterusnya dalam tempoh yang lama.

Kuning
Kamu seorang yang manis, tenang dan sopan. Sebab itulah kamu dipercayai oleh orang orang yang ada di sekeliling kamu. Selain itu, kamu juga lebih suka menguasai dalam sesebuah perhubungan termasuklah soal cinta. Kembang semangkuk hidung bila tiap kehendak kamu dituruti oleh si dia! Kamu juga mampu membuat keputusan yang tepat kerana fikiran kamu yang jauh ke depan. Tapi, jangan tak tahu. Kamu ni jiwang karat juga orangnya. Sentiasa saja berminta hal hal yang romantik bersama si dia. Alahai!

Maroon
Bagi kamu yang mewakili warna maroon ini, kamu digambarkan seorang yang bijak dan tahu apa yang terbaik untuk diri kamu. Namun kamu juga suka melakukan sesuatu itu menurut kehendak dan pendapat kamu sendiri tanpa pedulikan perasaan atau pendapat orang lain. Itulah yang menjadi masalahnya! Dari segi percintaan, kamu cukup sabar dan tidak terburu-buru untuk menjalinkan percintaan. Kamu juga terkenal dengan sikap setia kamu dalam perhubungan!

Oren
Syabas! Kamu ini jenis orang yang berani menanggung segala risiko atas tiap perbuatan yang kamu lakukan. Baguslah macam tu. Kata orang, berani buat beranilah tanggung. Kamu juga bijak mengambil hati orang-orang disekeliling kamu dan ini membuatkan diri kamu disenangi ramai. Kamu punya matlamat tersendiri dalam hidup yang menjadi target kamu selama ini dan sanggup bersaing untuk berjaya. Menyentuh soal perhubungan, kamu sebenarnya seorang yang sukar untuk mempercayai orang lain tapi bila kepercayaan itu wujud, selamanya kamu akan percayakan dia! Begitu juga dalam perhubungan cinta. Bagi kamu, saling percaya itu amat penting!

Ungu
Amboi! Kamu ini gadis/jejaka misteri rupanya. Tak ramai orang yang dapat mendekati diri kamu kecuali orang yang benar-benar kamu percayai. Walaupun begitu, kamu tak pernah pentingkan diri sendiri dan agak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang baru bagi kamu. Mood memainkan peranan penting mempengaruhi kehidupan kamu seharian. Jika kamu rasa gembira, sudah tentunya hari itu menjadi hari yang paling ceria bagi diri kamu dan begitu juga sebaliknya. Dalam menjalinkan percintaan, kamu lebih cenderung untuk memilih mereka yang punya kedudukan dan agak stabil kewangan mereka.

Warna buah limau (Lime)
Sifat kamu yang tenang saja sepanjang masa amat dikagumi ramai. Tapi jangan tak tahu, kamu juga mudah rasa tertekan bila dilanda masalah. Selain itu, kamu boleh dikatakan agak cerewet juga kerana perkara-perkara kecil pun kamu amat prihatin! Pun begitu, kamu punya personaliti tersendiri yang membuatkan orang ramai menyukai diri kamu.

Perak
ternyata kamu ini seorang yang berimaginasi tinggi dan tak hairanlah kamu turut berbakat dalam bidang yang berkaitan dengan seni. Walaubagaimanapun kamu sebenarnya punya sifat pemalu yang agak menebal juga namun sikap kamu yang suka mencuba sesuatu yang baru mampu menstabilkan keadaan. Bukan apa, kamu suka mencabar diri kamu sendiri untuk melihat sejauhmana kebolehan diri. Dari segi perhubungan cinta, kamu lebih suka bersikap 'hard to get' untuk menduga keikhlasan hati sidia. Namun hubungan cinta kamu seringkali dilanda kekeliruan dan tak begitu stabil. Tapi usah bimbang, kamu akan menemui cinta sejati juga suatu hari nanti.

Hitam
Kamu gemar kehidupan yang mencabar dan punya keberanian untuk melakukan apa saja. Sebab itulah, usah ada sesiapa yang cuba mencabar kamu kerana kamu ni kan pantang dicabar. Tapi kamu tak begitu gemarkan perubahan mendadak dalam hidup kamu. Namun sekali kamu membuat keputusan, ia sukar untuk diubah oleh orang lain. Kisah cinta kamu juga begitu mencabar dan perlukan banyak kesabaran jika inginkan perhubungan itu berkekalan. Belajarlah untuk bertolak ansur sikit!

Warna buah Zaiton (Olive)
Bagi kamu yang mewakili warna ini dikatakan seorang yang baik hati dan suka menolong orang lain. Sebab itu juga kamu tak sukakan keganasan. Kamu juga bijak menyesuaikan diri dengan teman-teman hingga membuatkan kamu menjadi 'favourite' di kalangan mereka. Sememangnya kamu seorang yang baik hati dan sentiasa ceria. Namun ingat, jangan terlalu percayakan orang lain membabi buta. Dalam soal cinta, kamu cukup menenangkan hati si dia dan tak suka cari pasal!

Perang
Kamu seorang yang cukup aktif dan tak suka duduk diam saja. Pelbagai aktiviti yang dilakukan bagi memenuhi masa lapang. Sebagai seorang teman, kamu sentiasa menyokong tindakan positif teman-teman yang lain. Pun begitu, kamu sukar untuk didekati dan agak sombong jika tak boleh sesuaikan diri dengan seseorang. Dalam soal cinta, kamu mudah jatuh cinta. Tapi bila kamu sedar cinta kamu itu tidak berbalas, kamu cepat putus asa dan mengalah dengan mudah. Macam tu pulak? Seharusnya kamu perlu kikis sikap itu dan cuba berusaha untuk mengambil hati si dia. Mungkin 'rezeki' kamu untuk memilikinya nanti?

Kelabu
Kebanyakan mereka yang diwakili oleh warna Kelabu ini sangat menarik orangnya dan aktif. Kamu juga ingin diri kamu dikenali orang ramai dan menjadi kepantangan kamu pula sekiranya tidak dilayan dengan adil oleh sesiapa saja! Kamu juga seorang yang tidak gemar menyimpan apa juga perasaan di dalam hati dan lebih suka meluahkannya. Sesekali kamu boleh bersikap pentingkan diri sendiri. Namun kamu amat pandai menawan hati orang lain apatah lagi dengan sikap humor yang kamu miliki itu.

Biru
Ternyata kamu seorang yang punya keyakinan diri yang rendah dan terlalu pemilih sangat. Tak bolehlah macam tu. Itu adalah sikap negatif yang harus kamu ubah kerana mendatangkan kerugian pada diri kamu sendiri. Selain itu, kamu juga cederung ke arah kesenian dan sememangnya kamu berbakat dalam bidang itu hingga mampu menjadikan kerjaya berkaitan dengan seni sebagai kerjaya tetap. Soal cinta pula, kamu mudah sangat jatuh cinta tapi seringkali juga putus cinta. Mana taknya, orang lain bercinta kamu pun hendak bercinta. Tapi kamu bukan benar-benar menyintai si dia setulus hati. Silap sendiri lah kan? Kalau kamu mahukan hubungan itu berpanjangan, kamu harus bersikap lebih serius dan ikhlas.

Biru laut
Kamu mencintai diri dan kehidupan kamu sendiri melebihi segala-galanya. Bagi kamu, jika kamu tak sayangkan diri sendiri kamu siapa lagi? Kamu juga seorang yang berpersonaliti menarik hingga sering menjadi perhatian ramai. Selain itu, kamu juga berpandangan jauh untuk masa depan. Tapi berhati hati dengan sikap pemarah kamu tu. Sekali kamu marah pada seseorang, sukar kamu nak melupakannya. Jadi, belajarlah memaafkan orang lain. Sebab itu juga kamu sering bertengkar dengan si dia. Mana taknya, ego sangat nak maafkan orang lain sedangkan kamu sendiripun ada melakukan kesilapan!

Putih
Kamu punya matlamat yang jelas dalam hidup dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Orang lain juga sering memberikan penghargaan tinggi terhadap kamu memandangkan kamu agak berkebolehan dalam pelajaran/kerjaya. Walau bagaimanapun, kamu ini kuat cemburu orangnya dan kadangkala sukar nak bekerjasama dengan orang lain. Perhubungan cinta kamu juga sering tegang dek kerana sikap cemburu kamu terhadap si dia. Cemburu itu memang tanda sayang tapi kalau dah melampau tu, cemburu buta namanya!

Biru kehijauan (Aqua)
Mak oi! Angin satu badan kamu ini rupanya. Senang sangat mood kamu berubah secara tiba-tiba hingga kadangkala buat orang lain bosan. Mungkin sebab itu juga membuatkan kamu kadangkala lebih suka menyendiri melayan perasaan tapi kamu suka melancong untuk meluaskan pengalaman. Kamu juga seorang yang jujur dan mudah percaya kepada orang lain. Dari segi percintaan, kamu sukar menemui cinta sejati dan sikap terlalu mudah percaya pada orang lain membuatkan kamu sering tertipu serta gagal dalam bercinta...! Oleh itu, percaya boleh, tapi jangan membuta tuli, kelak memakan diri!

Monday, October 19, 2009

FACEBOOK......penyambung ikatan mesra.


Salam buat semua. Dalam kehidupan ini, sering kali peristiwa yang tidak disangka berlaku secara tiba-tiba. Walaupun kita tidak merancang, tetapi Tuhan menentukan segalanya. Terima kasih kepada teknologi maya yang memungkinkan kita menerobos jauh ke dunia di sebelah sana tanpa perlu menghadirkan fizikal. Memang amat mengasyikkan dan amat menakjubkan teknologi siber masa kini.
FACEBOOK... satu nama yang tidak janggal pada zaman siber ini. Masing-masing bercerita tentangnya. Kadang kala ada yang menghabiskan masa berjam-jam untuk melayari laman ini dalam menyambung kembali ikatan yang mungkin longgar, reput atau mungkin yang sudah terputus. Siapakah yang akan menyangka untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan sepersekolahan semasa di bangku sekolah rendah, menengah, dan zaman darah muda di universiti. Segalanya mungkin melalui ruang sosial FB.
Alhamdulillah, kita dapat bertukar cerita, bertanya khabar dan berkongsi pengalaman hidup dengan rakan-rakan yang tentunya sudah berbeza tahap pemikirannya. Janganlah pula kita terikut-ikut perangai ketika di zaman persekolahan apabila bertemu semula rakan-rakan. Maklumlah...teringat semula waktu muda. Walau apapun keadaannya, diri sendiri dan rakan-rakan tidak seperti dahulu lagi. Pelbagai peristiwa hidup akan menjadikan diri lebih matang dalam menelusuri kehidupan. Gaya percakapan, pakaian dan mungkin cara hidup akan membawa kita jauh daripada rakan-rakan yang dulunya makan di kantin yang sama, tidur di 'dorm' yang sama atau menyalin kerja rumah daripada rakan yang sama.
Walau sehebat manapun teknologi yang dicipta, usahlah kita lupa mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi yang mengurniakan akal dan fikiran kepada manusia untuk mencipta FB. Subhanallah.

Tuesday, September 29, 2009

Petua Kuruskan Badan...cubalah, baru tahu.


















1. JANGAN BERLAPAR
Makanan memberi kita tenaga dan bila kita menggunakan tenaga kurang dari apa yang kita ambil, tubuh akan terkejut. Tubuh akan mula membakar ‘muscle’(otot) untuk menggantikan makanan. Ini menyebabkan kadar metabolisma tubuh menjadi rendah. Bila anda tidak tahan berlapar, pada kebiasanya anda akan makan dengan lebih banyak. Pada masa ini, walaupun tahap pengambilan makanan anda telah kembali ke paras normal, tetapi metabolisma tubuh masih lagi rendah. Ini menyebabkan ia tidak membakar kalori pada tahap yang sama lagi

2. AMBIL SESUATU YANG PAHIT SEBELUM MAKAN
Minumlah kopi dan kumur beberapa saat sebelum makan. Cara ini menyebabkan tekak merasa pahit dan menghantar isyarat melalui otak bagi menggalakan rembesan enzim dan asid HCL. Kekurangan enzim dan asid HCL di dalam perut boleh menyebabkan ketidakcekapan penghadaman.

3. MINUM 8 GELAS AIR SEHARI
Air mengurangkan selera makan anda secara semulajadi dan membantu badan memetabolisma simpanan lemak di dalam tubuh. Sebelum makan makanan yang berat-berat, cuba minum air, pasti anda tidak akan makan dengan banyak.

4. ELAKKAN MINUM MINUMAN YANG BERGAS
Minuman bergas biasanya mengandungi 7-8 sudu gula dan tidak baik untuk kesihatan tubuh.

5. KURANGKAN PENGAMBILAN GARAM
Pengambilan garam yang tinggi menggalakan penangkungan air. Mengurangkan pengambilan garam bermakna badan anda menangkung sedikit air. Ini bermakna anda kurang berat yang disebabkan air.

6. AMBIL SARAPAN PAGI
Anda juga boleh menurunkan berat badan dengan pengambilan sarapan pagi. Menurut satu kajian, mereka yang tidak mengambil sarapan pagi lebih cenderung untuk gemuk berbanding dengan mereka yang mengambilnya. Bagaimana ia terjadi? Sarapan pagi menstabilkan hormone dan paras gula di
dalam darah. Kadar metabolsima juga meningkat untuk membakar kalori.

7. MAKANLAH DENGAN PERLAHAN-LAHAN
Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan dan jangan gopoh. Kerana apabila kita makan secara perlahan-lahan, tubuh akan menghantar isyarat menunjukan kepuasan.

8. KUNYAH MAKANAN KEPADA CEBISAN LEBIH KECIL
Kunyahlah makanan kepada cebisan lebih kecil sebelum menelan kerana dengan cara ini ia lebih mudah dihadam.

9. Biar makan kerap dengan kuantiti yang sedikit daripada makan hanya sekali, dua tetapi dengan kuantiti yang banyak.

10. Jika anda terasa ingin makan snek atau makanan ringan, beruslah gigi anda atau kunyahlah gula-gula getah. Rasa mint atau berangin di mulut akan membantutkan selera anda.

11. Kurangkan pengambilan marjerin, butter dalam makanan anda. Kalau boleh, usah ada di dalam peti ais anda.

12. Apabila makan di restoran atau gerai , pesanlah air limau nipis atau jus oren kerana minuman masam menggalakan pembakaran lemak. Mintalah minuman yang kurang gula.

13. Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber terbaik untuk vitamin, mineral dan serat dan kandungan lemak yang rendah.

14. Jangan timbang berat badan anda setiap hari kerana anda tidak akan nampak perubahannya. Jika anda minum banyak, dan waktu itu anda timbang berat badan yang pastinya meningkat, mungkin anda akan berputus asa untuk berdiet

15. Ambil makanan yang berempah
Sesetengah rempah seperti cili, biji sawi, didapati boleh membakar kalori. Penambahan lada hitam bukan sahaja meningkatkan penghadaman, ia juga meningkatkan pembakaran lemak.

16. Pilih Lebih Banyak Bijirin dan Kekacang Dalam Makanan
Bijirin penuh adalah sumber utama tenaga. Bijiran dan hasil bijirin banyak mengandungi karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak.

17. Simpan Satu Diari
Simpan satu diari makanan boleh berpengaruh besar dalam proses penurunan berat badan. Rekodkan dalam sehari, berapa kali anda makan dan berapa banyak, tahap kelaparan yang memerlukan anda makan, dan perasaan anda ketika makan. Diari makanan boleh membuatkan anda peka kepada
keinginan makan anda. Setelah beberapa lama membuat catatan, perhati dan kenal pasti di mana anda boleh membuat atau perbaiki tabiat pemakanan anda kepada yang lebih sihat. Diari ini juga boleh membuatkan anda lebih fokus dan lebih komited terhadap pelan diet anda. Mulakan diari makanan anda
dan rajin-rajinlah membuat catatan.

18. Tumpukan perhatian untuk sihat, bukan kurus
Ramai orang lebih berjaya dalam penurunan berat badan dalam jangka masa panjang apabila mereka menukar motif mereka daripada untuk kurus kepada untuk kekal sihat dan segar. Tukarlah fikiran anda untuk memikirkan dan memilih makanan apa yang boleh menyihatkan tubuh badan.

19. Cara memasak paling baik untuk mengurangi jumlah kalori dalam makanan adalah merebus memanggang atau mengukus. Khusus untuk sayuran, anda boleh menumisnya dengan sedikit minyak(misalnya satu sudu minyak masak). Hindari minyak atau lemak haiwan.

20. Ketika memilih piring makanan , ambilah piring yang rata dan bukan piring cekung. Ambil sayuran dahulu untuk memenuhi piring, kemudian baru nasi dan yang terakhir, lauk dagingnya. Jika ingin tambah, hanya sayuran yang boleh anda ambil. Jangan lupa, makanlah di meja makan dan jangan di
sembarang tempat apa lagi sambil menonton tv. Sebab, makin menarik program tv, semakin banyak makanan ringan yang anda habiskan!

21. Selain memberi peluang makanan untuk turun , kebiasaan berjalan-jalan sesudah makan akan membantu menghabiskan sebahagian kalori dari makanan itu. Setiap 25 langkah anda berjalan satu kalori akan diguna. Lebih-lebih lagi anda menaiki tangga. Tentu saja semua ini harus dilakukan dengan santai kerana perut anda baru saja terisi.

22. Khusus bagi kaum wanita , yang juga perlu diperhatikan adalah tabiat berbelanja dan memasak. Seelok-eloknya, tidak berbelanja semasa perut kosong. Rancanglah perbelanjaan sesuai dengan keperluan. Jika ingin membeli makanan, kunjungilah dahulu gerai buah dan sayuran. Gerai makanan
segera harus anda kunjungi paling akhir sekali jika memang benar-benar memerlukannya.

23. Untuk mengempiskan perut , gerakan punggung yang ringan tetapi lama akan lebih efektif. Latihan dapat dilakukan dengan alat seperti untuk permainan hula hoop. Gerakan ini mungkin boleh disamakan dengan gerakan penari gelek, dangdut atau hula-hula yang memiliki perut lebih kecil dan cantik.

24. Kurangkan pengambilan gula kerana setiap satu sudu gula mengandungi 32 kilokalori.

25. Beberapa aktiviti fizikal yang mudah untuk langsing
i. Jalan cepat. Gunalah kasut yang cukup selesa dipakai agar kaki tidak melecet dan sihat
ii. Gunakan tangga untuk naik ke tingkat atas. Jika terlalu tinggi,naik tangga untuk beberapa tingkat, kemudian sambunglah denagan menaiki lif
iii. Renang adalah latihan menyeluruh. Berenang dengan laju dengan nafas yang dalam
iv. Bersenam atau peregangan, sangat baik bagi otot-otot dan sendi-sendi yang kaku. Melenturkan otot dapat melancarkan peredaran darah
v. Tunggang basikal dan kayuh perlahan-lahan tetapi dalam tempoh yang lama. Ini dapat mencantik dan merampingkan peha.

PETUA UNTUK KURUS DAN LANGSING

Berat yang Berlebihan

Dibawah ini ada beberapa cara untuk menurunkannya.

26. Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan berat badan anda.
Caranya: Sediakan dua biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari, setelah itu perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas anda makan tengahari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur turun.

27. Ambil 3 sudu besar serbuk teh cina dan rendam dalam air. Tapis dan campurkan dengan air perahan limau nipis. Amalkan selalu meminumnya 2 kali sehari iaitu sebelum sarapan dan sebelum tidur.

28. Jika anda mengalami masalah berat badan, air asam jawa baik dijadikan minuman harian. Air asam jawa akan mengurangkan kadar lemak dalam badan anda. Caranya: Ambil sebuku asam jawa, ramas ke dalam air sebanyak segelas. Masukkan ke dalam peti sejuk, anda jadikan minuman, selepas anda makan tengahari atau makan malam. Amalkan setiap hari, anda akan dapati tubuh anda akan bertambah segar dan langsing.

29. Nak Turunkan Berat Badan
Selepas makan amalkan meminum Teh Hijau atau Teh Cina tambah dengan serbuk Kayu Manis dan Madu

30. Badan Langsing Selepas Bersalin
Untuk mengelakkan badan menjadi gemuk selepas bersalin, cuba petua berikut : Ambil 5 halia bara ( Halia Cina ), 10 biji lada hitam, 30 ekor ikan bilis.
Tumbuk kesemua sehingga lumat. Perahkan air Limau Nipis. Dan makanlah bersama nasi panas waktu pagi dan malam, setiap hari sewaktu dalam pantang.

31. Mengurangkan buncit
Bagi lelaki yang mengalami masalah perut buncit, anda boleh mencuba petua ini.iaitu ambil sedikit kapur makan dan sebiji limau purut yang telah di perah jusnya.kapur dan limau tadi dicampur dan digaul hingga sebati. Amalkan sapu disekeliling perut sebelum masuk tidur biarkan kering sehingga pagi.

32. Mengempiskan Perut
Petua yang mudah dan kos yang murah. Anda perlu mengambil limau nipis yang telah dicampur dengan teh tanpa gula untuk tiap-tiap hari kemudian diminum. Amalkan meminum air ini dan insyaallah perut anda yang buncit akan menjadi kempis. Petua ini untuk orang yang tiada mengidap sebarang penyakit. Selamat mencuba

33. Kempiskan Perut Anda
Nak kempiskan perut senang aje, ambil air limau nipis dan campur dengan kapur sirih. Lumurkan atau sapu dekat perut, amalkan setiap malam. Insyaallah perut anda akan lebih menarik.

artikel dari www.istimewa2u.blogspot.com

Thursday, August 6, 2009

Jaga hati + Jaga mulut

Dalam menelusuri hidup seharian, pelbagai cabaran dan dugaan pasti mendatang. Walau bagaimanapun, segala masalah yang dihadapi akan dapat diminimumkan jika hubungan kita sesama rakan, keluarga dan orang di sekeliling kita terjaga. Hati mana yang tidak gundah gulana jika persekitaran kita dipenuhi dengan hasad dengki, kata-mengata, dan lebih serius jika ada pihak yang tidak 'senang' melihat orang lain berada dalam keadaan 'senang'. Oh... inilah dunia yang penuh dengan masam, manis, pahit, dan payau kehidupan.
Sebenarnya tidaklah sesukar mana untuk hidup gembira di dunia yang fana ini. Emm.. memang senang cakap daripada buat. Tetapi, kita juga perlu ingat bahawa jika tiada orang mahu bercakap tentang hal ini mungkin ada orang yang ketandusan idea atau tidak tahu untuk berbuat apa takkala masalah melanda.
Cubalah kita menjaga hati orang lain dan mengelakkan diri daripada menimbulkan konflik sesama manusia. Adalah penting kita menjaga butir bicara yang ingin diluahkan kepada orang lain. Oleh itu, berfikirlah sejenak sebelum menuturkan kata kepada insan di sekeliling kita. Jika kita tidak mahu orang lain menyakitkan hati kita, usahlah membuat orang lain terasa hati apabila kita berbicara.
Tuntasnya, Allah mengurniakan akal fikiran kepada semua manusia. Gunakanlah harta yang tidak ternilai harganya untuk mensyukuri nikmat Tuhan dan sentiasa cuba membaiki diri. Bermuhasabahlah demi keharmonian hidup di dunia. Semoga kita semua mendapat kerahmatan daripada yang maha Esa.

Thursday, July 16, 2009

Kenapa....Kayu manis?

Assalamualaikum buat semua.
Seandainya anda semua sedar atau tidak, nama blog ini telah ditukar kepada 'Kayu Manis". Ada yang bertanya, "Kenapa tukar?", "Kenapa Kayu Manis?".
Sebenarnya, dua persoalan di atas acap kali aku terima sama ada daripada murid-muridku atau rakan-rakan yang sentiasa tidak jemu memberi sokongan dan dorongan.
Jawapannya: Aku menukar nama blog kerana 'mimpi'. Nampak macam tak logik. Tapi, tak tahulah. Pada suatu malam aku asyik termimpikan nama Kayu Manis terpampang di bahagian depan blogku. Apatah lagi dengan gangguan virus yang tidak senonoh dikaitkan dengan namaku. Lagipun, okey jugak nama Kayu Manis ni. Unik dan istimewa untuk seorang wanita sepertiku. Kayu manis sering digunakan sebagai perencah dalam masakan. Walaupun kayu, rasanya yang manis amat membantu dalam menambah keenakan setiap sajian. Tak boleh lebih, dan tak boleh kurang. Kalau terlebih, pasti pahit rasanya dan kalau kurang, sudah tentu ada sesuatu yang janggal pada deria rasa.
Begitulah juga dengan jiwaku sebagai wanita yang amat sensitif dan kadang kala tak terjangkau dek akal apa yang akan berlaku. Kadang-kadang sedih, gembira, dan tiba-tiba aje nak marah tak tentu pasal. Namun, iman dan sahabat yang memahami pasti mampu mengimbangi segala permasalahan diri. Wassalam.

Thursday, June 25, 2009

Tayar, butang dan Michael Jackson.


Alhamdulillah, Anas tak demam lagi, cuma suaranya berubah sikit kerana selesema ringan. Dia aktif macam biasa. Tapi, hari ni aku tak benarkan dia ke sekolah supaya dia dapat berehat di rumah. Tak tahulah dia berehat atau tidak di rumah. Entah-entah.... ligat bermain dengan 'baby'.
Pagi tadi aku bangun awal untuk menguli adunan donat yang Anas minta malam tadi. Ingatkan nak bangun tengah malam, tapi letihlah pulak dan terus tertidur. Nasib baik bangun cepat sikit dan aku terus sediakan bahan yang ada. Sementara mandi dan solat Subuh, sempatlah adunan tu kembang nanti. Selepas aku pakai tudung, terus aku ke dapur. Alhamdulillah, adunan dah kembang. Aku tunjukkan pembantuku cara menerapnya. Anas kata nak donat 'tayar' dan donat 'butang'. Sebenarnya aku yang beri nama tu supaya mudah dan seronok anak-anak menikmatinya. Kalau kita menerap donat dengan menggunakan pencetak yang dijual di pasaran, akan terbentuklah gelungan donat dan bulatan kecil di tengahnya. Maka terhasillah donat 'tayar' dan 'butang'. InsyaAllah, akan seronoklah nanti Anas dan 'baby' makan nanti. Kakak dan Abang bawa nasi goreng aje ke sekolah hari ni. Aku pulak, makan di kantin ajelah...
Oh, ya! Michael Jackson meninggal dunia hari ni. Sibuk betul murid-muridku tentang peristiwa tersebut.
Aku katakan kepada mereka,
"Kita pun akan mati juga kerana semua yang hidup begitulah fitrahnya. Semakin lama kita hidup, semakin dekatlah kita dengan hari kematian yang ditentukan oleh Tuhan. Mungkin bila balik sekolah nanti, cikgu 'accident'. Bila-bila masa pun kita boleh mati dan kita mesti sentiasa bersedia".
Ya, Allah! Semoga aku mati dalam iman. Amin.

Wednesday, June 24, 2009

Orang baru.

Assalamualaikum. Pembantu baruku sudah mula bertugas sejak 23 Jun 2009 petang setelah pembantuku yang lama pulang ke kampungnya. Berdebar-debar jugak rasa hati. Itulah perasaan yang kuhadapi setiap kali mendapat pembantu rumah yang baru. Kalau nak diikutkan hati, memang tak nak gunakan khidmat pembantu tetapi disebabkan banyak tugasan dan kekangan waktu, khidmat pembantu rumah amat diperlukan. Yang aku boleh buat, bertawakal dan berdoa. Jadi, setiap kali lepas solat, nama pembantu rumahku pasti akan kusebut agar dia menjalankan tugasnya dengan ikhlas, jujur dan amanah. Apa tidaknya, aku bekerja, suami pula sibuk sentiasa, hanya dia yang ada di rumah menguruskan urusan anak-anak dan makan minum mereka.
Memang risau tak terkata dan aku sering mengingatkan pembantuku yang Allah maha melihat segala-galanya. Kalau aku dan suami tak nampak, Tuhan pasti nampak dan setiap tindak tanduk kita akan diadili di Padang Mahsyar. Nampak macam senang, tapi dalam hati hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Monday, June 22, 2009

Selamat datang, Kak Farah!


Salam. Diam tak diam sudah seminggu semester baru persekolahan bermula. Macam-macam cerita ada. Yang paling hot sudah tentu virus H1N1 yang dah hampir merebak ke seluruh negara. Setakat yang aku tahu, sudah 51 kes dikesan oleh Kementerian Kesihatan. Aku dan rakan-rakan pun naik 'seriau' jugak sebab sekolah-sekolah yang berdekatan pun mula dijangkiti. Apatah lagi SMK Damansara Utama yang merupakan jiran terdekat sekolahku turut mempunyai kes tersebut. Sebuah kelas telah ditutup untuk seminggu. Kalau nak fikir, macam tak logik pulak cuma sekelas ditutup. Bukankah murid tersebut berinteraksi dengan rakan-rakan semasa di kantin, padang, dan di mana-mana sahaja kawasan sekolah. Camne pulak dengan guru-guru yang masuk ke kelas murid tersebut untuk melaksanakan tugas mengajar? Hish... hish... hish.. poning kopalo den dibueknyo. Tapi, aku pasti Kementerian yang berkenaan tahu apa yang mereka buat demi kesejahteraan rakyat.

Hal yang paling penting hari ni ialah ketibaan Kak Farahnaz yang comel ke sekolah selepas 6 hari berehat di rumah. Tapi, Kak Farah bukannya terkena virus H1N1. Kak Farah yang sangat berdedikasi terkena air panas sewaktu nak menyediakan air mandian untuk puteranya yang seorang tu. Begitulah kasihnya seorang ibu terhadap anak. Tiada galang gantinya. Kak Farah yang menjadi Pengerusi Kelab Guru terus menjadi perhatian aku dan rakan-rakan untuk mengetahui hal yang berlaku. Apalagi, Kak Farah pun tunjukkan kesan air panas pada kakinya. Ya, Allah! Besar jugak kesannya dan Kak Farah berjalan dengan berhati-hati, tak macam lipas kudung lagi. 'Steadylah, Kak Farah!'. Semoga Kak Farah cepat sembuh dan terus ceria serta terus berkhidmat untuk kami semua.

Oh, ya. Pengarah Pelajaran Selangor datang ke sekolah aku semalam. Alhamdulillah, semuanya bisa diatur dan teratur. Wassalam.

Sunday, June 21, 2009

3 dalam 1


Salam. Dua hari lepas aku mendapat khabar gembira tentang anak saudaraku yang berjaya menempatkan diri di Universiti Malaya. Bunga-bunga kegembiraan dapat aku bayangkan daripada riak suara abangku, Abang Ajis yang sedang berkursus di Ampang. Maklumlah, anak sulung dapat masuk 'u'. Hari Ahad, 28 Jun 2009 pendaftaran akan berlangsung.

Aku menelefon kakak iparku, Kak Jun di Johor untuk meminta bantuannya memberitahu emak supaya duduk bersamaku dalam seminggu dua untuk memantau pembantu baruku nanti. Abangku ada memberitahu bahawa emak mahu datang ke rumahku sekaligus menghantar cucunya mendaftar di UM. Lega sikit hatiku kalau emak dapat tinggal bersama. Kalau ada orang tua, lain sikit. Bolehlah emak aku memerhati dan menasihati apa yang patut. Aku yang pergi pagi dan balik petang sudah tentu akan terlepas pandang kelakuan pembantuku di rumah nanti.

Apabila aku memberitahu suamiku, dia pun tumpang gembira. "Nampaknya kita bertiga satu tempat belajarlah". Aha, betul jugak tu. Aku kursus Sarjana, suamiku kursus Ph.D, dan anak saudaraku kursus Sarjana Muda. 3 dalam 1. Semoga kami akan terus cekal menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar. InsyaAllah.

Thursday, June 18, 2009

Hidup ini suatu perjuangan

Salam dan terima kasih kepada sesiapa juga yang sudi mengunjungi ruangan ini. Sebenarnya di kala ini aku amat keletihan. Macam-macam yang menyebabkan aku sebegini. Maklumlah, akulah ibu, akulah guru, akulah isteri dan akulah... dan akulah...
Sebenarnya Hari Sukan Sekolah baru sahaja berlalu semalam. Bukannya buat apa sangat. Tapi terik matahari yang membakar amat terasa sampai ke saat ini. Itu baru terik matahari di dunia. Cuba fikirkan tentang terik matahari di akhirat. Aduss. Tak tercapai dek akalku yang dangkal ini. Aku juga sedang sibuk menyiapkan laporan PBS yang akan dipantau oleh pemantau pada bila-bila masa. Ditambah pula dengan masalah pembantu rumahku yang mula buat hal. Hei, pening dan terus pening kepala dibuatnya. Alhamdulillah aku masih ada tempat untuk berkongsi masalah, siapa lagi kalau bukan si 'Dia' yang maha kuasa.
Kalau difikir-fikirkan semula nampaknya macam wanita sahajalah yang banyak bebannya dalam meneruskan kelangsungan hidup ini. Apa tidaknya, anak merengek ibulah yang memujuknya. Kalau suami merengek, isterilah yang melayannya. Tapi, kalau si ibu atau si isteri yang merengek... agak-agaknya akan adakah yang cuba mendodoikannya? Adil @ tak adil? Sebenarnya, walaupun wanita sering menyatakan kesanggupan untuk melaksanakan segala tugas yang dipertanggungjawabkan, memang musuh manusia akan sentiasa cuba menghasut agar perasaan tidak berpuas hati sentiasa bertahta. Oleh itu, kalaulah termuncul perasaan sebegitu, cepat-cepatlah beristighfar dan memohon kemaafan daripada Pencipta.
Aku berdoa agar segala penat lelah dan keletihan yang aku rasakan akan mendapat keredhaan daripadaNya. Semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk mengharungi segala dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Sememangnya hidup ini suatu perjuangan!

Monday, June 15, 2009

Seronoknya...TQ Dr. D.

Alhamdulillah, aku dapat CGPA 4.0 untuk semester yang lepas. Subjek 'Personality' dan 'Adolescence Psychology' memang menyeronokkan. Masih teringat di ruang mata akan raut wajah Dr. Diana Lea Baranovich yang runcing hidungnya. Menarik! dan memang aku tertarik!. Terlalu banyak yang boleh aku pelajari daripada cara pengajaran Doktor Amerika nan sorang ni. Lebih-lebih lagi aku mencabar diriku sendiri untuk mengikuti kelas yang dikendalikan dalam BI ni. Perbincangan dan semua tugasan dalam BI. Terima kasih kepada kak Farahnaz dan kak Shahlawati yang sentiasa sedia membantu. Luv u so much!

Subjek 'Personaliti' mengajar aku tentang diri sendiri. Siapa aku sebenarnya dan apa yang wujud dan terlahir dalam diri aku ini. Oh, ya... aku tak akan lupa tentang 'scrap book- An Untold Story' yang aku hasilkan. Ya, memang aku tak pernah menceritakannya kepada sesiapa. Lukisan yang lahir daripada hati, dan luahan perasaan yang luhur tanpa paksaan. Hebat! Subjek 'Psikologi Remaja' memang banyak membantu aku memahami dengan lebih mendalam tentang fikiran dan perwatakan remaja yang sememangnya murid-muridku terdiri daripada golongan ini. Atau yang lebih penting, aku akan menjadi ibu kepada remaja yang sudah tentu berbeza latar persekitarannya.

Memang Dr. Di seorang yang unik. Aku dan rakan-rakan akan duduk dalam bulatan ketika mendengar perkongsian ideanya. Dia tidak bersyarah, dia tidak membebel, dan jauh sekali memandang rendah kepada keupayaan mana-mana individu. Kami bebas mengutarakan pendapat walaupun seringkali bertentangan dengannya. Beliau sedia mendengar dan mungkin kerana itulah dia selayaknya menjadi seorang 'therapist' untuk insan yang memerlukan bantuannya. Aku pula tanpa segan silu menghadiahkan sepasang anting-anting dan kalung berwarna ungu - warna kegemarannya. Hadiah tersebut kuletakkan di dalam kotak berwarna ungu keemasan dan tertulis kata-kata "You inspire me to bring out the best in me". Sebenarnya aku tak suka memberi hadiah kepada 'lecturer' kerana takut disalah anggap sebagai 'pembodek' tapi... Dr. Di memang lain. Aha, semasa hari peperiksaan yang tak rasa macam periksa, beliau memakai anting-anting tersebut (memang beliau pandai menghargai agar orang lain rasa dihargai).

Walaupun beliau memberi idea dari sudut perspektif barat, itu bukanlah suatu halangan bagiku. Lautan ilmu ini begitu luas. Kalau sarjana barat sedia meneroka ilmu daripada sarjana Islam, mengapa tidak kita. Ambillah yang elok, dan pandai-pandailah menapis keruh yang ada. Akal dan fikiran telah Allah berikan kepada manusia untuk digunakan dengan penuh keinsafan. Semoga 'Queen Di' akan mendapat hidayah daripadaNya.

Jom ke sekolah!

15 Jun datang juga akhirnya! Hari pertama persekolahan selepas dua minggu bercuti. Bagi ibu bapa yang bekerja, sudah tentu sekarang mula rasa lega kerana anak-anak dah pergi sekolah dan tak perlu lagi risau mereka akan bermain permainan video di rumah atau asyik menghadap tv yang tak putus-putus dengan ceritera khas untuk anak-anak. Tak perlulah lagi bertegang urat dengan anak-anak yang bangun lambat atau tak payahlah lagi nak geram tak tentu pasal kerana rumah yang asyik bersepah walau dah sepuluh kali pusingan mengemasnya.

Aduhai, sekolah! Bagi seorang guru, rasanya semua macam tak puas bercuti. Hei, mana ada istilah cuti bagi seorang guru!. Apa tidaknya, masa cutilah kita dok pulun menanda kertas periksa awal tahun. Baik-baik sihat sejahtera, pasti pening kepala bila sekolah nak mula. Tentu murid-murid sibuk bertanya tentang kertas jawapan mereka. Wahai, murid-muridku sayang, cikgu pun nak bercuti juga. Jadi, faham-fahamlah ye. Lebih-lebih lagi bagi cikgu BM macam saya ni. Kadang-kadang naik berpinar juga biji mata membaca 'ayat-ayat cinta' yang dikarang oleh murid-murid yang tersayang.

Kata orang, 'hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran'. Orang putih kata 'no pain no gain'. Sememangnya hidup ini penuh dengan warna-warni dan kita bebas untuk mencorakkannya. Oleh itu, peranan ibu sebagai pembimbing dan pendidik janganlah sekali-kali dikesampingkan. Guru sebagai insan pembina bangsa, teruskanlah berjuang untuk melahirkan generasi yang cemerlang dan seimbang di dunia dan akhirat. Wassalam.

Thursday, May 28, 2009

Hidup ini penuh cerita


Memang seronok kalau kita boleh duduk goyang kaki di rumah sambil menonton televisyen. Macam2 cerita ada. Ada yang gembira, sedih, dan kelakar. Cerita yang tak logik pun ada. Begitu jugalah hidup kita di dunia ni yang banyak cerita. Kitalah pelakon yang paling handal sekali dalam memainkan peranan masing-masing tanpa kita sedari.
Oh, ya! Nak cerita tentang cerita ni ingin saya kongsi tentang sebuah cerita yang tengah 'hot' kat TV9. Saya dan anak-anak pun suka jugak tengok cerita tu. Walaupun ada unsur yang tak logiknya, tapi seronok juga. Anak-anak saya yang comel tu tak henti-henti tanya tentang hal yang berlaku kepada si mawas tu. Saya dengan gembiranya akan bercerita tentang betapa 'karutnya' cerita tersebut dan sentiasa mengingatkan anak-anak tentang hal sebenar yang berlaku. Yalah...budak-budak. Kalau ibu bapa tak menjelaskannya, siapa lagi. Takkan nak harapkan pembantu yang terangkan. Dia pun ikut sama percaya dengan cerita macam tu. Begitu jugalah dengan ibu bapa yang lain. Sebenarnya tidak salah membenarkan anak-anak menonton cerita hantu atau cerita mitos tetapi panduan dan ingatan perlulah sentiasa diberi oleh ibu bapa. Jangalah pulak ibu bapa yang ikut 'naik' sama terikut-ikut dengan cerita yang dipaparkan.
Sememangnya, terdapat banyak kajian yang telah dilakukan di Eropah tentang kesan aktiviti menonton tv kepada anak-anak. Masalah obesiti dan kurang daya tumpuan semasa di sekolah banyak disebabkan oleh faktor ini. Apa tidaknya, kalau asyik menonton tv sambil mengudap sudah tentu badan pun jadi bulat. Kalau dah letih menonton cerita hantu dan kartun, tentu kerja sekolah tak sempat disiapkan. Oleh itu, ibu-ibu dan bapa-bapa termasuk saya, silalah sentiasa memantau aktiviti anak-anak kita. Salam hormat dari saya.