Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 1)

“Riiiinggggg”.

Loceng yang menandakan tamatnya sesi persekolahan pada hari itu telahpun berbunyi. Ai Ling yang duduk di sebelah Nusrah hanya berdengus perlahan sambil menjeling penuh makna kepada Nusrah. Nusrah tahu bahawa jelingan sahabatnya itu bukanlah jelingan maut tanda marah kepadanya. Nusrah juga faham bahawa jelingan tajam tersebut merupakan isyarat dalam menzahirkan perasaan Ai Ling yang kurang senang dengan tindakan Cikgu Naemah. Mereka biarkan rakan-rakan sekelas yang seramai 35 orang beredar keluar dari kelas Tingkatan 5 Angsana untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Itulah, kenapa engkau tak siapkan karangan tu di rumah?” Nusrah bertanya perlahan. Sekurang-kurangnya tidaklah dia menjadi tunggul kayu sementara menanti si rambut ikal menyudahkan tugasan karangan yang diberikan pada hari Isnin yang lepas oleh guru Bahasa Melayu mereka.

“Bukannya engkau tak tahu, aku sibuk sangat dalam dua minggu ni. Janganlah nak tambah geram aku pula,” jawab Ai Ling tanpa menoleh walau sekilas ke arah Nusrah. Tangannya masih rancak menulis bahagian penutup karangan yang seakan mendera perasaannya.

Nusrah hanya tersenyum penuh makna. Memang Nusrah masak benar akan perangai gadis keturunan Baba Melaka itu. Bukan baru sehari dua Nusrah mengenalinya. Mereka bersahabat baik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Secara kebetulan mereka ditempatkan di kelas yang sama dan duduk bersebelahan ketika di darjah satu. Yang menariknya, sehingga kini mereka kekal bersama dan duduk bersebelahan seperti sepuluh tahun yang lalu. Bukan sedikit rakan dan guru yang berasa hairan dengan keakraban mereka. Malahan mereka juga digelar ‘seperti belangkas’ oleh warga sekolah. Di mana ada Nusrah, sudah tentu kelibat Ai Ling akan turut bersama. Bagi mereka, hubungan mesra yang terjalin merupakan satu ikatan yang sangat istimewa biarpun mereka berlainan agama dan bangsa. Mereka serasi serba-serbi. Makanan, kegemaran, hobi, dan bahan bicara mereka boleh dikatakan seiring dan sejalan. Mereka gemar berpakaian kasual; berseluar longgar dan berkemeja separas paha. Yang membezakan mereka hanyalah tudung polos berwarna lembut yang sering digayakan oleh Nusrah sesuai dengan persona seorang gadis muslim kontemporari. Manakala Ai Ling pula acap kali mengikat rambutnya yang lembut itu seperti ekor kuda.

Friday, February 19, 2010

Adab murid dengan guru

"Mengapa saya perlu menghormati guru? Mereka bukan ibu bapa saya!".
Mungkin ada yang terkejut tatkala membaca petikan bicara di atas. Namun, begitulah realiti kehidupan di alam persekolahan sekarang. Kalau dulu, guru merupakan insan yang disanjung tinggi dan amat dihormati dalam kalangan masyarakat, namun kini situasinya agak berbeza. Acapkali kita mendengar rintihan hati guru yang berasa kesal dan sebal dengan tingkah laku anak-anak murid yang boleh dikatakan kurang ajar kepada mereka. Hal yang menyedihkan ialah murid-murid ini bukanlah lahir daripada keluarga yang sebegitu. Jika dilihat kepada latar belakang ibu bapa dan penjaga mereka pun, agak sukar mempercayai mereka sanggup mengeluarkan kata-kata yang menghiris hati sebegitu.
Biar apapun sebabnya, generasi muda yang masih belajar di sekolah haruslah sedar bahawa hampir 80% kehidupan mereka dihabiskan di sekolah dengan bimbingan guru-guru. Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada guru dengan alasan mereka sibuk bekerja dan mungkin sebenarnya tidak mampu mendidik anak-anak dengan sempurna. Oleh itu, semua anak muda tidak harus memandang sebelah mata kepada insan yang bernama 'guru'. Merekalah yang mencurahkan ilmu kepada mereka sama ada rela atau terpaksa. Agak sukar sebenarnya meneroka alam perguruan jika anak didik yang diasuh tidak tahu menghargai segala titik peluh yang telah dicurahkan.
Amatlah diharapkan agar generasi muda berinteraksi dengan guru sebaik mungkin kerana merekalah penjaga mereka ketika ibu bapa mereka sibuk bekerja. Sayangilah mereka kerana daripada hubungan yang penuh kasih sayang akan melahirkan jalinan mesra yang membahagiakan.

Wednesday, February 10, 2010

HIDUP YANG PENUH KASIH SAYANG


Salam untuk semua.
Sering kali berlaku kejutan dalam kehidupan. Faktor yang paling penting ialah kita sentiasa cuba menyediakan diri untuk menghadapi segala kemungkinan. Memang bukan mudah untuk menerima segala kekurangan diri, namun, jika kita berfikiran positif, sudah tentu segala masalah dijadikan peluang.
Menyentuah soal kasih sayang yang menjadi landasan utama dalam kehidupan, kita perlulah membuang segala rasa ego di hati ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain. Jika kita mahu orang lain memberi kasih sayang mereka kepada kita, maka bersedialah untuk menghulurkan kasih sayang yang ada kepada mereka. Pasti hidup akan menjadi gembira jika semua orang hidup berkasih sayang!
Salam sayang untuk semua.

Friday, January 8, 2010

Muhasabah Cinta

Wahai Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Ku pasrahkan semua padaMu

Tuhan, baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir dikidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi Penawar dosaku

Butir-butir cinta airmataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi ...
Muhasabah cintaku ...

Tuhan, kuatkan aku
Lindungi ku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu

Wednesday, December 2, 2009

Bentuk Soalan BM SPM 2009 Kertas 1

Bahagian A - Faedah-faedah yang diperoleh apabila menyertai badan beruniform.

Bahagian B: (diubahsuai daripada soalan sebenar)
1. Usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa supaya anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
2. Kebaikan-kebaikan aktiviti bercucuk tanam.
3. Pengetahuan tentang sejarah penubuhan negara kita amat penting difahami oleh setiap rakyat demi memupuk rasa cinta akan negara.
4. Rencana - Kesan-kesan Pemanasan Global terhadap Bumi dan Hidupannya.
5. Pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam novel.

Bentuk Soalan BM SPM 2009 Kertas 2

Salam sejahtera buat semua murid yang tersayang. Nampaknya sebahagian besar murid tingkatan 5 menarik nafas lega apabila melihat soalan-soalan yang dikemukakan semasa peperiksaan kertas Bahasa Melayu SPM. Berikut cikgu sertakan soalan-soalan tersebut untuk dijadikan panduan oleh murid-murid tingkatan 4 dalam membuat ulang kaji SPM tahun 2010.

KERTAS 2
Soalan 1: Rumusan - kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur.

Soalan 2: (a) - Petikan umum
(b) - Petikan cerpen - Virus Zel Untuk Abah (Antologi Kerusi)
(c) - Petikan prosa klasik - Kepahlawanan Tun Beraim Bapa (Antologi Kerusi)
(d) - Petikan sajak - Anak Laut (Antologi Anak Laut)
Soalan 3: (a) - Membina ayat berdasarkan kata ganda berentak /berirama
(b) - Kenal pasti Subjek dan Predikat
(c) - Kenal pasti kesalahan kesalahan ejaan dan penggunaan imbuhan
(d) - Kenal pasti kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa
(e) - Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.
Soalan 4: (a) - Huraikan 2 contoh yang dapat membuktikan ketabahan watak utama dalam sebuah novel.
(b) - Jelaskan satu contoh nilai kasih sayang yang terdapat dalam dua buah novel.

Apakah pendapat kamu tentang soalan-soalan di atas? Mudah bukan? Mulakan ulang kaji dari sekarang, pasti kamu semua akan berjaya!

Tuesday, November 24, 2009

Sikap insan CEMERLANG!

  • Mengeratkan hubungan dengan Maha Pencipta

  • Ada cita - cita dan matlamat hidup

  • Sikap positif (mencari jalan bukan mencari alasan)

  • Cerdas minda

  • Akhlak mulia

  • Bersih minda dan jasmani

  • Menepati masa

  • Bersih, cekap dan amanah (Jujur)

  • Bertanggungjawab

  • Percaya akan diri sendiri

  • Pandai bergaul, tidak sombong

  • Mempunyai kestabilan emosi; tidak mudah naik darah

  • Mempunyai daya inisiatif yang tinggi

  • Kreatif

  • Mempunyai kemahuan untuk maju

  • Mempunyai sikap terbuka

  • Mudah dihubungi

  • Berwibawa