Sunday, June 21, 2009

3 dalam 1


Salam. Dua hari lepas aku mendapat khabar gembira tentang anak saudaraku yang berjaya menempatkan diri di Universiti Malaya. Bunga-bunga kegembiraan dapat aku bayangkan daripada riak suara abangku, Abang Ajis yang sedang berkursus di Ampang. Maklumlah, anak sulung dapat masuk 'u'. Hari Ahad, 28 Jun 2009 pendaftaran akan berlangsung.

Aku menelefon kakak iparku, Kak Jun di Johor untuk meminta bantuannya memberitahu emak supaya duduk bersamaku dalam seminggu dua untuk memantau pembantu baruku nanti. Abangku ada memberitahu bahawa emak mahu datang ke rumahku sekaligus menghantar cucunya mendaftar di UM. Lega sikit hatiku kalau emak dapat tinggal bersama. Kalau ada orang tua, lain sikit. Bolehlah emak aku memerhati dan menasihati apa yang patut. Aku yang pergi pagi dan balik petang sudah tentu akan terlepas pandang kelakuan pembantuku di rumah nanti.

Apabila aku memberitahu suamiku, dia pun tumpang gembira. "Nampaknya kita bertiga satu tempat belajarlah". Aha, betul jugak tu. Aku kursus Sarjana, suamiku kursus Ph.D, dan anak saudaraku kursus Sarjana Muda. 3 dalam 1. Semoga kami akan terus cekal menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment