Monday, June 15, 2009

Amat, sangat, sungguh,.............. sekali.

Bahasa Melayu memang menarik dan unik. Seringkali wujud pertelingkahan pendapat tentang nahu yang agak memeningkan kepala para penutur yang bukan natif. Satu formula dalam penggunaan kata penguat yang boleh hadir di hadapan dan di belakang kata adjektif juga boleh mewujudkan konflik jika tidak didasari oleh fakta yang konkrit.

Perkataan AMAT, SANGAT dan SUNGGUH boleh menerima kata penguat belakang SEKALI dan keadaan ini boleh membentuk formula "ASS......SEKALI". Nampak lucu, bukan? Hal ini kerana 'ass' bermaksud 'punggung' dalam bahasa Inggeris. Selalunya, perkara lucu dan yang tak terfikir dek akal senang untuk diingat.
Cuba kita lihat contoh di bawah;
Siti amat cantik sekali.
Siti sangat cantik sekali.
Siti sungguh cantik sekali.

Ketiga-tiga ayat di atas adalah tepat. Cuba kita lihat contoh di bawah:
Siti paling cantik sekali.
Siti tercantik sekali.
Kedua-dua contoh di atas adalah salah kerana kata penguat 'paling' dan imbuhan'ter' telah menunjukkan darjah penghabisan dan kata penguat 'sekali' tidak perlu wujud bersama mereka.

Mudah, kan. Oleh itu, kalau ingat 'ass', ingat 'sekali'.

No comments:

Post a Comment