Monday, June 15, 2009

Jom ke sekolah!

15 Jun datang juga akhirnya! Hari pertama persekolahan selepas dua minggu bercuti. Bagi ibu bapa yang bekerja, sudah tentu sekarang mula rasa lega kerana anak-anak dah pergi sekolah dan tak perlu lagi risau mereka akan bermain permainan video di rumah atau asyik menghadap tv yang tak putus-putus dengan ceritera khas untuk anak-anak. Tak perlulah lagi bertegang urat dengan anak-anak yang bangun lambat atau tak payahlah lagi nak geram tak tentu pasal kerana rumah yang asyik bersepah walau dah sepuluh kali pusingan mengemasnya.

Aduhai, sekolah! Bagi seorang guru, rasanya semua macam tak puas bercuti. Hei, mana ada istilah cuti bagi seorang guru!. Apa tidaknya, masa cutilah kita dok pulun menanda kertas periksa awal tahun. Baik-baik sihat sejahtera, pasti pening kepala bila sekolah nak mula. Tentu murid-murid sibuk bertanya tentang kertas jawapan mereka. Wahai, murid-muridku sayang, cikgu pun nak bercuti juga. Jadi, faham-fahamlah ye. Lebih-lebih lagi bagi cikgu BM macam saya ni. Kadang-kadang naik berpinar juga biji mata membaca 'ayat-ayat cinta' yang dikarang oleh murid-murid yang tersayang.

Kata orang, 'hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran'. Orang putih kata 'no pain no gain'. Sememangnya hidup ini penuh dengan warna-warni dan kita bebas untuk mencorakkannya. Oleh itu, peranan ibu sebagai pembimbing dan pendidik janganlah sekali-kali dikesampingkan. Guru sebagai insan pembina bangsa, teruskanlah berjuang untuk melahirkan generasi yang cemerlang dan seimbang di dunia dan akhirat. Wassalam.

No comments:

Post a Comment