Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 2)

Rasa bersalah menyelinap sanubari Cikgu Naemah kerana memaksa Ai Ling menyiapkan karangan yang diarahkannya pada minggu lepas. Bukannya dia sengaja mahu mendera Ai Ling tetapi dia perlu tegas terhadap semua murid. Dia tidak mahu murid-muridnya mengambil ringan setiap tugasan yang diberikan.
“Walaupun kamu cemerlang dalam mata pelajaran yang lain, tetapi tak lulus dalam Bahasa Melayu, jangan haraplah kamu nak dapat sijil SPM nanti. Buang masa kamu saja bersekolah selama 11 tahun. Menghabiskan beras mak bapak kamu saja!” Sering kali dia mengungkapkan kata-kata sebegitu kepada murid-muridnya. Seakan-akan pita rakaman yang diulang-ulang pada setiap kali murid-muridnya tidak menyiapkan kerja yang diarahkan.
“Semua tugasan yang saya beri perlu disiapkan pada masanya. Kalau tak, macamana saya nak tanda? Melalui latihan dan tugasanlah kamu tahu kelemahan kamu dalam Bahasa Melayu,” dia juga tidak pernah berasa jemu untuk mengingatkan murid-muridnya tentang hal tersebut.
Bagi dirinya, tanggungjawab sebagai guru bukan hanya mengajar tetapi mendidik anak bangsa supaya sedar akan tugas yang perlu dipikul sebagai generasi muda. Tidak pernah dia menyesal memilih kerjaya sebagai pendidik kerana profesion inilah yang dimimpi-mimpikannya sejak kecil lagi.
“Saya nak jadi cikgu sebab nak ajar orang lain supaya jadi pandai,” begitulah jawabnya ketika ditanya tentang cita-citanya ketika di alam persekolahan.
Dia sering tertawa kecil sendirian apabila teringat akan zaman kanak-kanaknya yang sering berlagak sebagai seorang guru. Sewaktu cuti sekolah, pasti dia akan mengarahkan adik-adiknya yang seramai 3 orang itu untuk duduk diam-diam di anjung rumah kayunya untuk mendengar dia mengajar ABC atau 123 ketika ibu dan ayahnya ke bendang. Bukan main bersemangat lagi dia meminta adik bongsunya yang berumur 5 tahun ketika itu mengikut butir abjad yang disebutnya.
“Ya, aku memang dilahirkan sebagai seorang pendidik,” Cikgu Naemah menarik nafas dalam-dalam seraya melontar jauh-jauh kenangan silamnya. Dia sedar bahawa cabaran globalisasi turut memberi tempias kepada insan yang bernama guru.

No comments:

Post a Comment