Sunday, March 7, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian akhir)

“Terima kasih MerahJambu kerana membantu saya dalam menghadapi masalah yang saya hadapi. Saya berasa lebih bersemangat untuk belajar. Masalah keluarga, saya jadikan cabaran untuk lebih berjaya. Mama saya nampaknya dah okey. Baba kami biarkan untuk dia mencari kebahagiaan yang dicarinya. Saya pasti dia akan kembali kepada kami.
Daripada: MerahSaga”
Lega rasanya dapat meluahkan rasa terima kasih kepada MerahJambu yang tidak pernah jemu membalas segala coretannya. Hati Ai Ling semakin girang apabila mendengar khabar yang sememangnya telah dinantikan sekian lama sejak hatinya terpaut dengan merahjambu.blogspot.com.
“Makluman kepada semua yang sudi melayari ruangan maya yang tidak seberapa ini, saya amat berbesar hati sekiranya kita dapat bersua muka pada 16 Mei ini di Kedai Buku Bistari, Pusat Beli Belah OneUtama Petaling Jaya pada pukul 4 petang bersempena pelancaran buku motivasi terbaru saya ‘Generasi Cemerlang’. Semoga ikatan mesra antara kita akan berpanjangan.
Catatan oleh: MerahJambu”
“Kita pergi OneUtama Jumaat ni, ye!” kata Nusrah ketika dia dan Ai Ling sedang berjalan pulang dari sekolah. Keseronokan yang dirasainya ingin sekali dikongsi bersama dengan sahabat baiknya.
“Aku letihlah. Pagi tu aku kena in-charge sukaneka sempena Hari Guru. Engkau tak ingat, ke?” Ai Ling cuba menyembunyikan debarannya ketika Nusrah mengajukan cadangan yang sememangnya sudah terpahat di mindanya.
“Bukannya letih sangat pun. Kita sempat berehat lepas sekolah. 3.30 petang kita bertolaklah dari rumah. Sempat lagi. Takkan kita nak lepaskan peluang berjumpa dengan penulis blog yang hebat ni?” Nusrah betul-betul tidak berpuas hati dengan jawapan Ai Ling. Kadang kala dia sendiri bingung dengan sikap Ai Ling yang sukar dimengerti. Namun, dia bersyukur kerana nampaknya Ai Ling sudah dapat menerima masalah keluarganya.
“Baiklah, aku boleh pergi tapi aku tak nak naik teksi,” tegas sekali jawab Ai Ling.
“No problem, tuan puteri! Ummi aku mesti sedia hantar punya!” Wajah keceriaan jelas terpancar di wajah Nusrah. Bukannya Ai Ling tidak tahu bahawa Ummi Nusrah tidak pernah menghampakan permintaan anak gadisnya. Sering kali Ummi Nusrah menghantar mereka ke destinasi yang ingin mereka pergi. Katakan sahaja sama ada KLCC, Perpustakaan Negara, mahupun Taman Tasik Titiwangsa, sudah tentu Ummi Nusrah yang berkaca mata itu akan dengan rela hati menghantar dan menjemput mereka. Semuanya demi memastikan keselamatan kedua-dua gadis remaja itu.
Akhirnya, mereka tiba juga di Pusat Beli Belah OneUtama yang cukup sinonim dengan Petaling Jaya. Bangunan yang terletak berhampiran Sri Pentas Bandar Utama itu tidak pernah sunyi dengan kunjungan orang ramai. Jam di tangan Nusrah sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Mereka lewat bertolak kerana menunggu Ummi Nusrah yang menghadiri mesyuarat di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Namun, Ai Ling kelihatan tenang saja. Bergegas mereka menaiki lif ke tingkat 3 untuk ke Kedai Buku Bistari yang berada bersebelahan restoran makanan segera KFC.
“Alamak, dah penuh dengan oranglah, macamana nak masuk ni?” rungut Nusrah sendirian tetapi masih dapat didengar oleh Ai Ling. Tertinjau-tinjau kepalanya untuk melihat ke dalam kedai kerana orang ramai sudah mengerumuni meja utama.
“Tak pelah, kita tunggu orang reda sikit. Lepas tu, kita jumpalah si merah jambu tu. Tentu senang kita nak kenal sebab pasti dia pakai baju merah jambu, kan?” cadang Ai Ling memecah kebuntuan. Sebenarnya, hatinya berdegup kencang kerana dia sendiri tidak sabar untuk menemui insan yang banyak memberi nasihat dan perangsang kepadanya. Namun, segalanya cuba disimpul rapi agar tidak ketahuan oleh sahabatnya yang bertudung sutera merah jambu. Ayu sungguh dilihatnya.
Nusrah dan Ai Ling dapat melihat dengan jelas kepuasan yang tergambar pada wajah-wajah yang beransur keluar dari kedai buku itu. Mana tidaknya, dapat bertemu dengan penulis blog terkenal merangkap penulis buku motivasi yang hebat diperkatakan. Apatah lagi mendapat tandatangannya secara eksklusif dan sudah tentu tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.
Debaran gembira tidak dapat Ai Ling sembunyikan lagi apabila mereka melangkah ke meja yang dikelilingi oleh beberapa orang remaja dan dewasa. Namun, kaki Ai Ling seakan tidak mampu melangkah lagi apabila melihat si dia yang sedang sibuk menandatangani buku baharu bertajuk ‘Generasi Cemerlang’ dan sesekali melemparkan senyuman kepada permintaan untuk merakamkan gambarnya. Ai Ling memandang Nusrah tanpa sepatah kata. Nusrah membalas bicara mata Ai Ling dengan mengenyitkan matanya yang bundar itu. Ai Ling keliru tapi dia tetap membisu. Fikirannya hanya tertumpu kepada insan yang kelihatan anggun dan penuh karisma itu.
“Selamat Hari Guru, si MerahJambu,” pantas meluru keluar ungkapan itu dari bibir Nusrah yang melebar dengan senyuman.
“MerahJambu yang berbaju ungu,” tiba pula giliran Ai Ling melafazkan kata tanpa sedar. Segalanya sudah ditentukan Tuhan. Nusrah dan Ai Ling menjabat tangan MerahJambu dengan mesra seperti hari-hari sebelumnya.

No comments:

Post a Comment