Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 3)

“Bosan betul aku dengan perangai budak-budak sekarang ni. Bukannya nak hormat kat kita. Aku tahulah yang mak ayah diaorang tu lebih kaya daripada kita. Tapi, kita ni cikgu yang ajar diaorang. Susah sangat ke nak beri salam atau senyum bila jumpa kita?” Luahan kata Cikgu Mariyam sebaik melangkah ke bilik guru memancing perhatian guru-guru yang sedang sibuk melaksanakan tugasan masing-masing di bilik guru.
“Betul tu, Kak Yam. Kadang-kadang melintas lalu di depan kita pun buat-buat tak nampak. Padahal, masa mereka tingakatan tiga dulu kitalah juga yang mengajar mereka. Bila dah tingkatan lima, macam tak pernah kenal kita pulak!” Cikgu Razif yang sedang menulis Buku Persediaan Mengajar turut tidak ketinggalan memberi pendapat.
“Tapi, kalau lepas periksa mulalah murid-murid tunjuk hormat sangat kat kita. Yalah, nak minta markah lebih!” Cikgu Mariyam masih meneruskan rungutannya.
“Siapalah kita ni, Kak Yam. Kereta diaorang tu pun lebih besar daripada kita. Siap ada pemandu lagi,” sampuk Cikgu Aini sambil memuncungkan mulutnya yang tidak pernah lekang dengan gincu bibir berkilat. Tangannya pula pantas menanda buku latihan Matematik yang baru sahaja dihantar oleh murid-muridnya.
“Eh, aku pun ada pemandu jugak! Kalau kereta aku buat hal, pemandu teksi dan pemandu bas sedia berkhidmat untuk aku, tau! Cikgu Mariyam masih tidak mahu mengalah.
Guru-guru yang lain tertawa kecil mendengar kata-kata spontan Cikgu Mariyam. Memang Puan Mariyam sering menjadi penglipur lara tanpa mengira masa. Walaupun begitu, beliau amat dihormati oleh guru-guru yang lain kerana beliau amat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya biarpun usianya hampir mencecah setengah abad.
“Naem, dah siap ke upload gambar-gambar aktiviti Minggu Kurikulum dalam blog panitia kita?” tanya Cikgu Mariyam kepada Cikgu Naemah yang duduk di hadapannya sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang setia selama 15 tahun dia mengajar di SMK Damansuria itu.
“Dah, Kak Yam. Malam tadi saya bereskan,” jawab Cikgu Naemah yang sedang asyik mengetuk kekunci komputer ribanya untuk menyiapkan minit mesyuarat Jawatankuasa Disiplin yang diadakan semalam. Fikirannya tentang Ai Ling dibuangnya jauh-jauh.
“Nasib baiklah aku ada engkau, Naemah. Kalau tak, mahunya pitam akak menghadap komputer tu. Pengetua tu bukannya tak tahu yang akak ni fobia dengan komputer. Bukannya akak tak nak cuba. Tapi, akak takut komputer tu meletup je bila akak bukak nanti.” Cikgu Mariyam masih sempat berseloroh walaupun tadi hatinya hangat dengan kelakuan murid yang amat sukar menunjukkan sikap hormat kepada guru-guru.
Cikgu Naemah sekadar tersenyum mendengar kata-kata Cikgu Mariyam yang boleh dipanggilnya ibu itu. Baginya, Cikgu Mariyam merupakan idolanya kerana Cikgu Mariyam sering memberinya nasihat dan panduan dalam mengendalikan murid-muridnya. Maklumlah, di SMK Damansuria inilah dia memulakan kerjaya sebagai seorang guru setelah menamatkan pengajian Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan di Universiti Sains Malaysia empat tahun yang lalu.
“Jadi cikgu pada zaman sekarang tak sama dengan zaman dulu. Masa Kak Yam mula-mula mengajar dulu, pandangan masyarakat sangat tinggi kepada golongan pendidik. Kitalah sumber maklumat dan sering jadi rujukan kalau ada masalah,” Cikgu Mariyam berkongsi pengalamannya dengan Cikgu Naemah yang ketika itu baru sahaja sebulan ditempatkan di daerah Lembah Klang itu.
“Tapi sekarang, sebelah mata pun susah nak pandang kita. Ada juga ibu bapa yang lebih percayakan anak mereka daripada guru yang mengajar. Anak mereka tu memang jadi malaikat kat rumah tapi bila kat sekolah.....,” Cikgu Mariyam seakan kehilangan kata-kata untuk meneruskan ayatnya.
Cikgu Naemah pula khusyuk mendengar perkongsian pengalaman yang sering diberikan secara percuma oleh Cikgu Mariyam. Bagi Cikgu Naemah, segala kata-kata yang keluar dari bibir Cikgu Mariyam merupakan ilmu yang tidak mungkin diperoleh daripada buku atau kitab yang ada di dunia ini.
“Lebih-lebih lagi kalau kita jadi cikgu di kawasan bandar besar macam sekolah kita ni. Silap-silap, kita ni cuma dianggap macam baby-sitter anak-anak mereka saja. Apa tidaknya, ibu bapa keluar sebelum anak-anak bangun tidur dan balik ke rumah semasa anak-anak dah tidur. Akhirnya, komputerlah yang jadi teman setia budak-budak ni. Kesian budak-budak sekarang.” Masih sempat Cikgu Mariyam melahirkan simpatinya kepada generasi muda di kawasan metropolitan itu.

No comments:

Post a Comment