Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 6)

“Amacam? Okey tak blog yang aku beritahu dulu?” tanya Nusrah pada suatu hari ketika mereka berehat selepas mengikuti latihan rumah sukan. Angin sepoi-sepoi bahasa memberi sedikit kesegaran kepada mereka yang bermandi peluh. Tudung yang dipakai oleh Nusrah turut menari-nari dihembus angin petang itu.
“Boleh tahan,” ringkas jawab Ai Ling. Matanya melirik ke tengah padang memerhatikan sekumpulan murid yang sedang berlatih melontar peluru dengan pengawasan Cikgu Norlela.
“Aku suka baca nasihat MerahJambu kepada soalan-soalan yang diajukan. Simple tapi bernas.” Nusrah tidak mampu menyembunyikan rasa kagumnya kepada MerahJambu. Entah mengapa, dia terasa dekat dengan segala kata-kata motivasi dan dorongan yang disampaikan oleh MerahJambu.

“Emm...menarik jugalah,” bagai mahu tidak mahu saja Ai Ling menjawabnya. Sebenarnya, kata-kata yang ditulis oleh MerahJambu lewat malam semalam masih bermain-main di fikirannya.
“Orang yang gagal sering melihat masalah sebagai penghalang manakala orang yang berjaya sering melihat masalah sebagai peluang. Kita hendaklah bersedia menerima hukuman atau ganjaran atas segala perbuatan yang kita lakukan. Berani buat, berani tanggung.”
Catatan oleh : MerahJambu”
Ringkas tetapi menusuk ke kalbu. Begitulah yang dirasakan oleh Ai Ling pada saat dia menatap coretan MerahJambu. Mengapakah dia perlu berfikiran negatif terhadap ibu bapanya yang sibuk mencari rezeki menyara keluarga? Apakah perlunya dia menaruh prasangka kepada Cikgu Naemah yang mengarahkan dia stay-back di sekolah untuk menyiapkan kerja sekolah yang semakin culas dilaksanakannya? Semua persoalan yang berlegar-legar di fikirannya menuntut penjelasan yang hanya dirinya sendiri mampu memberi jawapan pasti.
“Aku rasa MerahJambu tu cikgulah. Cara dia membuat ulasan tentang sesuatu topik tu macam dia sendiri yang melaluinya. Beruntung betul murid-murid dia sebab dapat cikgu yang bermotivasi macam tu,” Nusrah masih tidak berhenti lagi memuji MerahJambu sekaligus menyentak lamunan Ai Ling yang menerawang jauh ke dalam jasadnya.
“Alah...semua orang boleh menulis macam tu. Bukannya susah nak mencipta dan menulis blog. Ikut saja arahan mencipta blog yang ada di internet. Melambak blog dengan macam-macam motif yang kita sendiri susah nak faham. Kadang-kadang tu kita tak tahu yang mana satu betul, dan yang mana satu salah,” seumpama bertih jagung keluar dari mulut Ai Ling yang mungil.
“Sebagai remaja yang berfikiran rasional, itulah tanggungjawab kita untuk memilih bahan mana yang sesuai untuk dibaca. Kalau rasa tak betul, janganlah baca maklumat yang diberi. Yang jadi masalahnya ialah ada remaja yang suka sangat melayari blog dan laman web yang tak berfaedah. Ada pulak yang berfacebook sampai jauh malam. Sampai kat sekolah mulalah mengantuk dan tak siapkan kerja sekolah,” tambah Nusrah lagi.
Nusrah melontarkan pendapatnya yang lahir terus dari hati.
“Ya, aku tahu. Aku dah buat silap. Janganlah menghukum aku sampai tak sudah. Pedih hati dan telinga aku,” Ai Ling menyuarakan rasa yang terpendam setelah seketika mendiamkan diri.
“Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya!” Nusrah masih mahu bermain kata tanpa menyedari linangan manik jernih mula membasahi pipi Ai Ling yang mulus itu.
“Hei, kenapa sensitif sangat ni? Aku bergurau ajelah!” Nusrah mula menggelabah apabila menyedari perubahan rakan baiknya itu. Tidak pernah Ai Ling terasa hati sebegitu selama dia mengenalinya. Biasanya, Ai Ling akan membalas semula kata-katanya atau paling tidak menampar pahanya sekuat hati.
“Engkau tahu yang aku tak bermaksud untuk menyakitkan hati engkau, kan?” Nusrah bersuara sambil menggenggam tangan Ai Ling yang bersandar pada batang pokok semarak yang rimbun daunnya itu.
Titisan jernih masih berlarian di permukaan wajah sahabatnya itu. Dia menduga bahawa Ai Ling sedang dilanda konflik yang tidak sempat dikongsi bersamanya lantaran kesibukannya mengulang kaji untuk peperiksaan.
“Maaf, Nusrah. Dah dekat setahun aku pendam perkara ni,” akhirnya Ai Ling memecah kebuntuan yang bermain di fikiran Nusrah. Debaran masih menderam di hatinya untuk menanti butiran seterusnya.
“Engkau tahu yang Mama dan Baba aku sibuk sangat sampai tak sempat nak bertanya khabar dengan aku. Itu semua aku boleh terima. Tapi, aku susah nak terima bila Baba aku beritahu dia ada perempuan lain,” Ai Ling membongkar rahsia hati yang selama ini disimpan daripada pengetahuan sahabatnya.
Nusrah terpaku seketika. Dia mati kata-kata. Sungguh tidak disangka yang sahabatnya itu menanggung bebanan perasaan yang maha hebat untuk remaja seperti mereka. Patutlah Ai Ling seperti tidak bersemangat tatkala mereka menjejakkan kaki ke tingkatan lima. Bersalah pula rasanya kerana tidak prihatin akan masalah yang terpaksa dipikul oleh Ai Ling.
“Engkau dah berbincang dengan mereka tentang hal ni?” ucap Nusrah dengan teragak-agak. Bimbang jika soalannya itu akan menyinggung perasaan sahabatnya.
“Sudah. Baba seorang yang gentleman. Tapi aku rasa tak bertempat. Baba beritahu kami semasa kami bercuti ke Pulau Pinang semasa cuti akhir tahun lepas. Aku tak tahu nak kata apa. Mama pula menangis dan asyik salahkan dirinya,” Ai Ling cuba menyusun ayat sebaik mungkin.
Tergambar jelas di fikirannya saat Baba memberitahunya dan Mama tentang hal tersebut. Ketika itu mereka bertiga sedang menaiki kereta kabel untuk ke puncak Penang Hill. Kebetulan hanya mereka bertiga di situ. Ironinya, Mama hanya diam memandang ke luar tingkap seolah-olah menyaksikan pemandangan dengan asyiknya. Tiada sebutir patah kata yang keluar daripada mulut Mamanya.
“Habis tu, engkau buat apa?” Nusrah seakan tidak sabar untuk mengetahui hal selanjutnya.
“Aku senyap ajelah, macam tak dengar apa-apa. Cuma aku kesal bila kami keluar dari kereta kabel, Baba kenalkan kami dengan perempuan tu yang memang menunggu kami di situ. Aku kecewa dengan sikap Baba,” getaran suara Ai Ling jelas kedengaran.
Pada saat ini, Ai Ling tidak mampu lagi menyeka air matanya. Nusrah juga terpana kerana tidak menyangka lelaki yang dipanggilnya sebagai ‘Uncle Tan’ sanggup melukakan hati dua wanita yang sangat dekat dalam hidupnya. Cepat-cepat Nusrah membuang tanggapan negatifnya.
“Usah mudah membuat kesimpulan seandainya kita tidak mempunyai cukup bukti untuk mengiakannya. Meranalah orang yang suka berfikiran negatif kerana mindanya akan terkongkong dengan keburukan yang sering difikirkan. Berfikirlah secara positif kerana jiwa yang bersangka baik akan berbahagia dan mindanya terbuka untuk menerima segala kekurangan seterusnya mencari jalan untuk mencipta kejayaan yang lebih hebat.
Catatan oleh: MerahJambu”

No comments:

Post a Comment