Sunday, March 7, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 7)

“Apa kata engkau beritahu pada Cikgu Naemah? Aku rasa dia mesti ada idea.” Nusrah cuba memberi cadangan kepada Ai Ling yang jelas kesedihan.
“Minta maaf ajelah. Aku takkan beritahu sesiapa pun tentang hal ini. Aku tahulah nak uruskan macam mana. Apa yang Cikgu Naemah tahu? Kalau masalah bahasa, bolehlah dia jawab. Sekarang ni masalah keluarga. Diapun tak kahwin lagi!” ucap Ai Ling seakan-akan kata penamat untuk Nusrah yang terkebil-kebil di hadapannya. Sebenarnya Ai Ling tidak mahu menyusahkan Cikgu Naemah yang suka benar berbaju ungu ke sekolah itu. Ketaksubannya kepada warna ungu terserlah apabila kereta Perodua MyVi yang dipandunya juga berwarna ungu. Ada yang mengatakan bahawa orang yang menggemari warna ungu merupakan seorang yang penuh misteri dan perahsia. Ai Ling tidak akan membiarkan Cikgu Naemah membongkar rahsia hidupnya.
“Kak Yam terlibat tak dalam sambutan Hari Guru tahun ni?” Cikgu Naemah mengajukan soalan kepada Cikgu Mariyam yang sedang menghirup teh tarik yang agak panas.
“Ada. Kak Yam kan suka menyibuk. Walaupun Kak Yam tak masuk dalam jawatan kuasa, Kak Yam menyerah diri untuk baca sajak semasa perhimpunan Hari Guru minggu depan,” jawab Kak Yam. Sempat pula dia mengenyit mata kepada Cikgu Naemah yang pada pandanganya merupakan guru muda yang rajin dan suka membantu itu.
Cikgu Naemah tersenyum manis melihat gelagat Cikgu Mariyam.
“Wah, hebatlah Kak Yam beraksi nanti! Kak Yam baca sajak Sasterawan Negara yang mana satu?” Naemah cuba mencungkil berita.
“Apa pulak nak baca Sasterawan Negara punya sajak? Kak Yam baca sajak yang Kak Yam ciptalah. Lebih penghayatan!” Cikgu Mariyam menyambung kata sambil memegang sudu yang dipegang seolah-olah mikrofon.
Maka, pecahlah derai tawa guru-guru yang sedang menjamu selera di ruang makan guru melihat telatah Cikgu Mariyam yang tidak pernah kering idea memeriahkan suasana. Mungkin kerana sikap kelakarnya itulah murid-murid amat menyenanginya. Pada setiap kali Hari Guru, meja Cikgu Mariam pasti penuh dengan hadiah yang pelbagai rupa dan bentuk. Cikgu-cikgu yang lain pun akan tumpang sama membelek dan membuka hadiah yang pastinya diikuti dengan gurauan yang mencuit hati. Terlupa sejenak keletihan dan perasaan sakit hati dengan kelakuan murid-murid yang menjengkelkan.
“Kak Yam kenal tak dengan Tan Ai Ling murid 5 Angsana?” Pertanyaan Naemah yang tiba-tiba itu menarik perhatian Cikgu Mariam yang menyuap karipap ke mulutnya.
“Budak Cina yang macam Melayu, tu? Yang baik dengan Nusrah anak pensyarah UM, kan?” Cikgu Mariyam ingin mendapatkan kepastian. Cikgu Naemah mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kak Yam memang berkenan sangat dengan budak tu. Bersopan-santun, berbudi bahasa dan fasih betul berbahasa Melayu. Cara dia bercakap tu macam Melayu sejati. Kalah murid Melayu kita yang sebahagiannya tu bila bercakap macam orang putih yang tersesat kat Tanah Melayu,” Cikgu Mariyam menyambung kata-katanya.
Biarpun kata-kata Cikgu Mariyam seumpama berseloka, tetapi begitulah realiti generasi muda bandar yang terpaksa dihadapi oleh Cikgu Naemah. Bukan tidak pernah ditegur supaya berbahasa Melayu dengan teratur tetapi ada pula yang memperlekehkan nasihatnya. Agak sukar bagi dirinya untuk membiasakan diri dengan budaya masyarakat segi tiga emas itu pada mulanya. Serba-serbi mengejutkannya. Terasa kerdil benar dirinya apabila bercakap dengan murid-muridnya yang asyik berbahasa Inggeris walaupun ketika dia mengajar Bahasa Melayu. Bukannya dia tidak tahu berbahasa Inggeris, cuma dia tidak biasa berkomunikasi menggunakan bahasa antarabangsa itu. Terpaksalah dia membuat peraturan iaitu hanya bahasa Melayu yang boleh digunakan ketika dia berada di dalam kelas. Dia juga tidak akan melayan sebarang pertanyaan atau jawapan yang diajukannya jika menggunakan bahasa Inggeris.
“Teacher, it’s difficult for us to follow your regulation. We understand BM and we can score high mark in this subject. So, what for we speak BM in class?” begitu lantang suara Jason mengungkapkan kata-kata tersebut mewakili murid-murid lain yang tersenyum sinis ke arahnya. Ada juga yang menutup mulut untuk menyembunyikan tawa kecil mereka. Tidak kurang juga yang berbisik-bisik sesama sendiri.
“Saya tahu, kamu semua murid yang bijak pandai. Tetapi, kamu akan kelihatan lebih bijak apabila mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan nahu yang betul. Bahasa menunjukkan bangsa. Rugilah negara kita jika mempunyai generasi bijak pandai tetapi lupa untuk mendukung Perkara 152 Perlembagaan Negara Malaysia. Tidak mungkin rakyat asing akan memperkasakan bahasa kebangsaan negara kita. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan.” Panjang lebar Cikgu Naemah melontarkan hujahnya. Sejuk juga hatinya apabila melihat beberapa orang murid yang ada di hadapannya terangguk-angguk kepala tanda setuju dengan kata-kata yang disuarakan.
“Saya rasa Ai Ling tu ada masalah keluarga,” tujuan sebenar pertanyaannya terserlah juga.
Cikgu Mariyam mengangkat sedikit keningnya yang tebal itu dan memandang tepat ke anak mata Cikgu Naemah.
“Oh, ye ke? Macamana Naem tahu?” tiba pula giliran Cikgu Mariyam mencungkil maklumat.
“Sekarang ni dia selalu tak siapkan kerja rumah yang saya beri. Semasa tingkatan empat dulu tak macam ni. Di dalam kelas pun dia asyik termenung. Saya pasti sangat pasal hal ni sebab kawan baik dia yang beritahu.” Cikgu Naemah menuturkan bicara seakan berbisik agar hanya mereka sahaja yang mendengarnya.
“Naem berilah nasihat yang sesuai. Kak Yam rasa remaja sekarang ni penuh dengan masalah. Kecelaruan identitilah katakan. Mereka perlukan seseorang untuk mengadu masalah. Kalau ibu bapa tak dapat beri masa untuk mereka, kitalah insan yang paling sesuai untuk memberi panduan kepada mereka. Kak Yam yakin, Naem boleh handle perkara ni. Kalau tak, sia-sia ajelah ada Master dalam Psikologi Pendidikan!” kata Cikgu Mariyam sambil menepuk mesra bahu Cikgu Naemah yang duduk di sebelahnya.
Cikgu Naemah tersenyum penuh makna.

No comments:

Post a Comment