Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 5)

“Sering kali murid-murid menganggap denda yang diberi oleh guru seakan hukuman yang menjatuhkan maruah mereka. Namun, berapa ramaikah yang sedar bahawa tujuan guru adalah ikhlas dan murni untuk mendidik murid-muridnya agar berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Sekiranya guru tidak memberi denda terhadap murid yang melakukan kesalahan, mampukah murid berkenaan sedar akan kesalahan mereka? Seseorang guru yang mendenda murid atas kesalahan yang dilakukan menunjukkan bahawa guru tersebut mengambil berat terhadap perkembangan anak didiknya dan tidak mahu kesalahan yang sama berulang pada masa akan datang. Murid yang didenda pula hendaklah berfikiran terbuka dan mengakui kesalahan yang dilakukan. Janganlah pula berdendam kepada guru kerana semua guru mahukan anak didiknya berjaya dan cemerlang dalam kehidupan.
Catatan oleh: MerahJambu”
Aduh! Bagaikan satu tamparan yang hebat dirasakan oleh Ai Ling apabila membaca bait-bait kata yang tertera di skrin komputernya.
“Macam ditujukan khas untuk aku aje ni,” berbicara hatinya sayup di dalam.
Ai Ling terbayangkan raut wajah Cikgu Naemah yang lembut. Dahulu, Cikgu Naemah merupakan guru yang amat disenanginya. Sangat mudah memahami isi pelajaran yang ingin disampaikan. Cikgu Naemah juga sering memberi kata nasihat semasa sesi pengajaran dan pembelajarannya. Tapi, sejak akhir-akhir ini, Ai Ling berasakan Cikgu Naemah menuntut terlalu banyak daripada murid-muridnya. Kerja sekolah yang diberikannya juga dirasakan menjadi bebanan yang membosankan. Ditambah dengan dirinya yang sering keseorangan di rumah lantaran ibu dan ayahnya merupakan warga korporat yang sibuk sepanjang masa. Dirinya hanya ditemani oleh pembantu rumah yang setia melayan segala kehendaknya. Kalau dulu, Nusrah sering ke rumahnya untuk mengulang kaji tetapi kini, Nusrah tidak dapat berbuat demikian kerana dia mahu mengulang kaji sendirian di rumah sebagai persediaan untuk peperiksaan SPM.
Tambahan pula, hobi baru Ai Ling yang gemar berfacebook menyebabkan dia tenggelam dalam alam siber sehingga tidak menghiraukan tugasan sekolahnya. Sebenarnya, bukan Cikgu Naemah sahaja yang naik angin kepadanya tetapi begitu juga halnya dengan guru Bahasa Inggeris, Matematik dan Prinsip Akaun. Dia hanya menelan segala kata-kata gurunya dan sesekali ungkapan marah daripada sahabatnya, Nusrah.
“Saya bosan tinggal di rumah sendirian ditemani pembantu rumah. Ibu dan ayah saya sibuk. Saya boleh dikategorikan sebagai murid yang bijak, tapi sekarang saya mula malas belajar. Saya rasa kalau saya tak belajar pun tak mengapa kerana ibu dan ayah saya berharta.
Daripada: Merah saga”
Ai Ling meninggalkan catatan pada ruang chatbox yang terletak pada bahagian kiri blog yang menjadi singgahan tetapnya itu. Sengaja dia menggunakan nama ‘Merah saga’ agar nampak sekufu dengan ‘Merah jambu’. Akan ditunggunya jawapan yang akan diberikan oleh penulis blog yang sudah mula memancing perhatiannya.

No comments:

Post a Comment