Saturday, March 6, 2010

Cerpen : Blog Merah Jambu (Bahagian 4)

“Apa sangatlah yang menariknya dengan facebook tu? Buang masa aje,” akhirnya berjaya juga Nusrah meluahkan perasaan tidak puas hatinya tentang hobi baru Ai Ling.
“Seronok, beb! Dapat kenal dengan macam-macam orang. Dalam negara, luar negara, orang putih, biru, coklat, hitam, semua ada!’ dengan penuh bersemangat Ai Ling memberi penjelasan.
“Sampai lupa nak buat kerja sekolah? Sampai lupa nak buat ulang kaji?” tiba pula giliran Nusrah memulangkan paku buah keras kepada Ai Ling.
“Okeylah, memang salah aku. Aku tak ingat pun pasal homework yang Cikgu Naemah beri tu,” Ai Ling merendahkan suaranya dengan harapan memadamkan api kemarahan yang mula membuak dari nada suara Nusrah.
“Sebenarnya, aku rasa Cikgu Naemah tu saja nak kenakan aku,” tiba-tiba Ai Ling memecahkan kesunyian.
Janggal benar rasanya perjalanan pulang ke rumah pada hari itu. Nusrah lebih banyak berdiam diri. Ai Ling pula seakan sedar yang Nusrah tidak ceria seperti biasa. Selalunya, gelak tawa mereka akan menghiasi perjalanan pulang mereka. Pasti ada sahaja cerita yang melucukan untuk dikongsi bersama.
“Janganlah nak buat tuduhan pulak. Mengaku sajalah kalau dah buat salah!” alunan suara Naemah masih pada tona yang sama.
“Bukannya aku nak buat tuduhan. Tapi, engkau tak ingat ke yang Cikgu Naemah denda aku berdiri kat belakang kelas minggu lepas? Dua hari lepas pulak dia denda aku berdiri sepanjang masa BM,” Ai Ling masih tidak berputus asa untuk menegakkan hujahnya.
“Wahai tuan puteri yang bijak bistari. Adapun tuan puteri diarahkan menjadi hulubalang di belakang kelas kerana tuan puteri sahajalah yang tidak menyembahkan buku latihan tatabahasa. Perihal berdiri itu pula adalah angkara tidak menyiapkan jawapan pemahaman novel seperti yang dititahkan oleh paduka guru,” Nusrah yang sememangnya berbakat dalam kesusasteraan begitu bijak mengatur ayat.
Terkesima dibuatnya Ai Ling yang tidak kurang hebat dalam berpidato. Kedua-dua mereka mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan. Amat sukar untuk mematahkan hujah mereka yang bernas dan penuh analogi yang menarik hati pendengar.
“Aku rasalah, baik engkau berhenti aje berfacebook. Banyak sangat buang masa. Tengok blog lagi best! Adalah jugak unsur ilmiahnya,” Nusrah melontarkan pendapatnya.
Nusrah tahu, bukan mudah untuk mempengaruhi Ai Ling.
“Blog tu boringlah. Aku rasa penulis blog cuma syok sendiri aje sebab dia berikan pendapat berdasarkan apa yang mereka fikirkan. Entah-entah, mereka tu cuma pandai beri nasihat tapi diri mereka sendiri tak buat pun.” Ai Ling menyuarakan pendapatnya.
“Memanglah betul ada blog syok sendiri. Tapi, tak kurang yang bermanfaat dan boleh kita jadikan panduan,” semakin kendur getar suara Nusrah.
“Aku ada jumpa satu blog yang memang best betul. Banyak panduan untuk kita hadapi masalah dunia remaja. Bahasa yang digunakan pun sempoi tapi penuh beretika. Dah dekat sebulan aku jadi follower,” begitu yakin Nusrah melobi blog yang diminatinya itu.
“Wow, nampak macam hebat aje bunyinya! Bukan senang kawan aku nak jadi pengikut setia blog,” Ai Ling menepuk-nepuk bahu Nusrah yang dua bulan lebih muda daripadanya.
“Kalau engkau baca tulisan dalam blog ni, tentu engkau tak berfikiran negatif dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Yang lebih penting, kita akan sentiasa ingin berjaya dalam kehidupan!” semakin bersemangat Nusrah bercerita sambil terbayangkan blog yang berlatarbelakangkan merah jambu dan berhiaskan bunga-bungaan pelbagai warna.
“Baiklah cik puan, sila berikan hamba gerangan alamat blog yang menjadi sebutan itu,” giliran Ai Ling pula berbangsawan.
“Arakian dimaklumkan bahawa alamat blog tersebut ialah merahjambu.blogspot.com. Sudikanlah apa kiranya tuan puteri melayarinya untuk membersih nurani yang bergelora. Tetapi, usah melayarinya sehingga terlupa tugasan yang lainnya. Kelak merana esok didenda,” untaian kata-kata Nusrah disambut oleh tawa mesra mereka berdua.

No comments:

Post a Comment